Cari Blog Ini

Kemalangan Maut Di Lebuh Raya Duke Membabitkan Tiga Nyawa : Tiada Pilih Kasih, Ahli Umno Atau Bukan, Kata Timbalan Menteri



Baik ahli Umno, mahupun bukan, tidak ada sesiapa yang akan terlepas dari tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah dalam kemalangan maut membabitkan tiga nyawa Jumaat lalu, kata Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Timbalan menteri pengangkutan itu berkata, tiada pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang meskipun sekiranya suspek yang terlibat mempunyai kaitan dengan Umno atau “orang dalam”.

"Tidak, saya tidak pasti (sama ada ahli Umno), atau tidak," katanya merujuk dakwaan yang suspek pemandu yang dikenalpasti melanggar kereta tiga beranak itu, dikenali sebagai Yana, adalah ahli Puteri Umno Gombak.

"Tidak kira siapa pun, tidak akan ada pilih kasih dalam hal ini. Pihak berkuasa akan menyiasat dan siapa pesalah pasti akan dikenakan hukuman," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kemalangan maut yang berlaku pada Jumaat lepas di Lebuhraya DUKE arah Damansara dan melanggar kereta jenis SUV Pajero Sport, mengorbankan nyawa sepasang suami isteri dan seorang bayi.

Difahamkan, kemalangan maut yang berlaku pada jam 12.30 pagi itu berpunca dari 6 buah Perodua Myvi yang berlumba sesama mereka dan melanggar Pajero yang dinaiki mangsa itu.

- The Malaysian Insider


Ini soal nyawa, 'orang dalam' pun akan diambil tindakan - Zahid Hamidi
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada pihak yang terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) pada Sabtu lalu yang mendakwa ada 'orang dalam' bahawa mereka tidak akan mudah terlepas.

Ahmad Zahid menegaskan, tindakan tegas tetap akan diambil terhadap individu yang menjadi punca kematian tiga beranak dalam kemalangan tersebut.

Beliau juga memberi jaminan akan memastikan mereka yang terlibat dalam kemalangan berkenaan dihadapkan ke muka pengadilan.

"Jangan ambil mudah apa yang berlaku, konon ada pihak yang berkata ini boleh dirundingkan, ini bukan soal berunding, ini soal nyawa.

"Konon ada laporan arwah tidak beri signal tukar lorong, kita tidak mudah terima laporan, jangan ingat pihak polis akan menutup kes ini dengan mudah.

"Jangan ingat konon ada 'orang dalam', saya akan pastikan 'orang dalam' itu pun diambil tindakan jika ada.

"Ini bukan mahu berpihak, ini soal nyawa," tegas beliau hari ini ketika menziarahi anak pasangan yang maut dalam kemalangan di Kilometer 6.2 Lebuh Raya Duke pada Sabtu lalu.

BACA: "Tangkap orang yang langgar ayah saya," luah Nur Firuza Amira kepada Zahid

BACA: 'Kami beri kerjasama, sokong pemandu Myvi bersalah dihukum' - Wakil FMC

WAWANCARA KHAS: Saksi terawal ceritakan detik cemas kemalangan DUKE

CCTV: Rakaman CCTV bukti pemandu kereta Myvi seperti berlumba

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 pagi Sabtu lalu, tiga sekeluarga termasuk seorang bayi tujuh bulan maut setelah kenderaan utiliti sukan (SUV) Pajero Sport yang dinaiki mereka berlanggar dengan dua buah Perodua Myvi sebelum terbalik.

Mangsa, Fairuz Nizam Husain,35, yang memandu Pajero Sport disahkan maut di tempat kejadian sementara isterinya, Nova Safitri Azhari,27, dan bayinya, Nur Firuza Annisa yang turut tercampak ke jalan raya dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Berdasarkan maklumat yang menjadi viral di laman sosial, kemalangan dipercayai berpunca daripada enam kereta Perodua Myvi yang sedang berlumba sebelum dua daripadanya bergesel dan merempuh sehingga terbalik Pajero Sport yang dinaiki mangsa.

Bagaimanapun dakwaan itu masih dalam siasatan pihak polis.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menasihatkan semua ahli kelab permotoran supaya mematuhi semua peraturan yang terdapat dalam undang-undang jalan raya.

Katanya, ahli kelab permotoran tidak boelh mementingkan kepuasan diri semata-mata sebaliknya perlu mengambil kira keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

"Kalau tidak sayang nyawa sendiri, tolong, tolong ambil kira nyawa orang lain, "Saya minta kepada yang sangat berminat nak cabut nyawa sendiri, tolong ingat nyawa orang lain," katanya.

- astro awani



                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.