Cari Blog Ini

Jika MT UMNO Sokong, Kenapa Najib Dan Muhyiddin Bermasam Muka ?


Najib-Muhyiddin2

[tmt]- Air muka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berjumpa dengan media jelas menunjukkan berlaku ketegangan semasa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno berlangsung petang Isnin.

Bekas Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa, Shahbudin Husin berkata bukan sahaja muka Najib yang kelihatan tidak begitu ceria malah wajah Timbalan Perdan Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga kelihatan masam mencuka.

“Adakah semuanya sudah beres dan keakraban kembali seperti sedia kala apabila Najib berkata semua ahli MT memberi sokongan penuh kepada beliau dan timbalannya?

“Apakah hubungan Najib dengan Muhyiddin sudah pulih dan mereka benar-benar tiada masalah lagi hanya dengan adanya pertemuan hati ke hati pada sebelah pagi sebelum mesyuarat semalam?

“Kenapa ketika bercakap dengan media wajah Najib tidak begitu ceria manakala Muhyiddin kelihatan masam mencuka?” soal Shahbudin dalam entri terbarunya di shahbudindotcom.blogspot.com.

Selepas Najib selaku Presiden Umno mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Putra World Trade Center (PWTC) petang semalam, beliau memberitahu bahawa ahli Majlis Tertinggi parti menyatakan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinannya meskipun beberapa pemimpin tertinggi parti itu telah melahirkan rasa kurang senang dengan isu kontroversi syarikat milik Najib iaitu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah, sebelum mesyuarat itu berlangsung juga bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata beliau telah menerima maklumat mengatakan ahli MT Umno telah menerima hakikat bahawa pimpinan Najib sudah tidak lagi releven berhubung isu 1MDB.

Isu 1MDB keruhkan hubungan Najib-Muhyiddin

Sementara itu, Shahbudin pula berpandangan situasi menjadi lebih keruh kerana Najib dan Muhyiddin tidak pernah berbincang terutama sekali tentang isu 1MDB.

“Mungkinkah kerana tidak pernah diajak berbincang itu menyebabkan Muhyiddin mengatakan beliau tidak tahu nak jawab apa mengenai 1MDB setiap kali rakyat meminta penjelasan daripadanya dan ia akhirnya menjadi sebab utama kekalahan BN di Permatang Pauh?

“Adakah Najib selama ini mentadbir seorang diri atau beliau sebenarnya ada rakan bincang yang lain selain Muhyiddin?

“Selain itu, kenapa pula Najib memberitahui beliau  ada perbincangan hati ke hati dengan Muhyiddin pada pagi sebelum mesyuarat MT kali ini?” soal ahli Umno itu.

Kenapa baru sekarang terima pandangan ahli Umno?

Tegasnya lagi, setelah enam tahun 1MDB ditubuhkan, barulah sekarang Najib cuba menerima pandangan beberapa ahli MT yang menawarkan kepakaran dan pengetahuan mereka untuk menyelesaikan masalah berkaitan 1MDB.

“Kenapa hanya setelah enam tahun dan hutangnya sudah mencanak melebihi RM42 bilion baru  Najib mahu berbuat demikian? Mengapa tidak bersikap telus sejak awal penubuhan 1MDB lagi?

“Hakikat ini menunjukkan syarikat itu memang menghadapi masalah besar dan Najib nampaknya sudah tidak berupaya lagi merungkai kekusutannya.

Patutlah banyak pertanyaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mampu dijawabnya?

“Secara langsung hampir benarlah dakwaan pelbagai pihak termasuk Tun Mahathir terhadap 1MDB selama ini!

“Dilihat daripada ketegangan beberapa hari sebelum mesyuarat MT kali ini, Najib mungkin kelihatan berjaya merumuskan sokongan tetap yang diberikan oleh ahli-ahli MT kepadanya dan juga Muhyiddin serta semuanya kelihatan beres, walaupun hakikatnya cuma di permukaan saja.

“Soalnya berapa lamakah sokongan itu mampu dipertahankan, terutama jika terbongkar lagi isu-isu lain seperti Tabung Haji (TH) yang dikaitkan dengan 1MDB tempohari?” ujar beliau.

Isu 1MDB menjadi semakin hangat baru-baru ini setelah TH dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) membeli hartanah daripada syarikat itu di Tun Razak Exchange (TRX) dengan harga yang jauh lebih mahal daripada harga yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.

KWAP telah bersetuju membayar diantara RM1 bilion hingga RM1.2 bilion untuk bangunan 40 tingkat manakala untuk sebidang tanah itu pula dibayar dengan harga RM2,300 bagi setiap kaki persegi.

TH sebelum ini membayar kepada 1MDB RM2,774 sekaki persegi atau RM188.5 juta, untuk 0.64 hektar tanah miliknya di TRX.


                          Tiada sengketa antara saya dan Muhyiddin - Najib

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan beliau tidak sehaluan dengan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"kalau ada apa-apa berita angin yang tersebar sebelum mesyuarat ini, maka kecewalah mereka yang menyebar berita palsu tersebut," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Najib berkata, beliau beliau menghargai idea bernas yang dikemukan oleh timbalan presiden dan cadangan-cadangan lain dari ahli Majlis Tertinggi dalam mesyuarat yang berlangsung selama lebih tiga jam itu.

"Saya amat menghargai sumbangan idea bernas yang diberikan oleh timbalan presiden dalam mesyuarat.

"Saya berjumpa dari hati ke hati dengan timbalan presiden pagi tadi.

Kita akan selalu bincang, dari hati ke hati untuk pastikan kepemimpinan UMNO diperingkat pucuk pimpinan berada dalam keadaan yang selesa dan kukuh supaya tiada pihak yang cuba memecah belahkan kita, terutamanya saya dengan timbalan presiden," katanya.

Katanya, Majlis Tertinggi dalam mesyuarat hari ini menyatakan sokongan yang padu kepada presiden dan timbalan presiden.

Beliau menjelaskan Majlis Tertinggi UMNO mahu Presiden dan Timbalan Presiden serta semua pemimpin tertinggi parti bekerja dalam satu pasukan untuk menangani cabaran.

Majlis Tertinggi juga kata Najib berharap jika ada sesuatu isu berbangkit, mereka diberi ruang dan peluang untuk menyumbang idea dan cadangan positif supaya isu berbangkit dapat ditangani sebaiknya.

Kenyataan Najib hari ini sekaligus menafikan dakwaan yang dibuat oleh bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dalam blognya bahawa presiden UMNO itu tidak mendapat sokongan daripada partinya sendiri.

Zainuddin dalam tulisannya mendakwa Najib akan diberitahu secara ikhlas dan sopan mengenai sokongan yang merosot dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini.

Selain itu, sebelum ini timbul khabar angin mengatakan hubungan antara Najib dan Muhyiddin renggang berhubung isu-isu yang timbul terutamanya melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kenyataan Muhyiddin mengenai 1MDB, yang mahu isu tersebut dijelaskan supaya tidak dilibatkan dengan UMNO, dilihat oleh sesetengah pihak sebagai tidak sehaluan dengan Najib.

astro awani

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.