Cari Blog Ini

Isu Tanah Yang Dibeli Dari 1MDB : Laporan Polis Dibuat Terhadap Tabung Haj


3 laporan polis terhadap Tabung Haji, polis KL akan siasat
Tiga laporan polis setakat ini dibuat terhadap Lembaga Tabung Haji berhubung perjanjian pembelian tanah seluas 0.63 hektar dengan syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di tapak projek Tun Razak Exchange (TRX).

Kesemua laporan itu kini di bawah kajian Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, kata ketua polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa.

"Siasatan akan dijalankan satu pasukan dari ibu pejabat polis persekutuan.”

Dua daripada laporan itu dibuat hari ini oleh Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan seorang pembantu khas exco Selangor, Abdul Razak Ismail, menggesa polis menyiasat pembelian pada harga RM188.5 juta itu, dan tiga pegawai tinggi yang terlibat dalam kedua-dua syarikat.

Tabung Haji pada Khamis mengesahkan membayar RM188.5 juta kepada 1MDB bagi membeli tanah bagi tujuan pelaburan hartanah di pusat kewangan TRX itu.

"Kami khuatir wujud percanggahan kepentingan kerana ketiga-tiga eksekutif Tabung Haji itu juga memegang jawatan di dalam 1MDB," kata Nik Nazmi selepas membuat laporan di balai polis Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Tiga eksekutif yang dimaksudkan itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Datuk Johan Abdullah dan Ahli Panel Pelaburan Tan Sri Dr Abdul Samad Alias.

Mengenai laporan polis dibuat Tabung Haji berkenaan dokuman sulit tentang perjanjian itu yang didakwa dibocorkan blog yang dikenali dengan nama “The Benchmark”, Tajuddin berkata, polis menyiasat kes itu bukan sahaja mengikut Akta Rahsia Rasmi, tetapi juga Seksyen 500 Kanun Keseksaan, kerana jenayah fitnah, dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Pasukan jenayah komersial Kuala Lumpur sedang menyiapkan kertas siasatannya,” katanya.

Blog “The Benchmark” mendakwa, Tabung Haji membeli dua plot tanah di projek TRX dengan harga sejumlah RM772 juta tunai, sedangkan sebenarnya hanya satu plot tanah yang dibeli dan pada harga potongan RM188.5 juta.

Dalam laporan polis dibuat Johan semalam, beliau menyatakan, tanah seluas 67,954 kaki persegi itu ialah bagi membina kondominium mewah dan menafikan yang Tabung Haji dalam proses memperoleh sebuah “Signature Tower” seperti didakwa blog itu.

The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.