Cari Blog Ini

GST Kad Prabayar : Punca Shabery Cheek Berdolak-Dalih !



                Kenapa menteri benarkan syarikat telco catut harga?-Tony Pua

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini menyelar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek kerana cuba berdolak-dalih isu pencatutan harga kad prabayar pasca Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST).

Hal ini dibangkitkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua apabila semalam Shabery memberitahu media bahawa Putrajaya akan kehilangan RM 800 juta pendapatan tahunan jika tidak mendapat tiada kutipan cukai dari jualan kad prabayar.

“Shabery tak ikhlas ketika cakap begitu kerana kontroversi ini bukan berkaitan isu pelaksanaan GST terhadap kad prabayar, tak ada siapa yang mahu kad prabayar jadi sifar cukai.

“Isu sebenar ialah syarikat-syarikat telco yang ambil peluang catut harga dari pelaksanaan GST sehingga enam peratus,” ulas Tony.

Tony mengatakan ini bukan kali pertama syarikat telco cuba catut harga, namun apa yang dipersoalkan adalah tindakan menteri membenarkan hal itu berlaku.

Ahli parlimen itu menambah wujud dua pilihan kepada kabinet untuk ditentukan. Pertama kementerian mencadangkan kad prabayar dijual dengan harga RM 10.60 bagi nilai perkhidmatan sebanyak RM 10.

Kedua, menjualnya dengan harga RM 10 bagi nilai perkhidmatan RM 9.43.

“Nampaknya jika sebelum ini pengguna akan bayar RM 9.43 untuk dapat nilai RM 10, lepas ini mereka terpaksa bayar RM 10 untuk dapat nilai RM 9.43.

“Kenapa menteri boleh benarkan syarikat telco ini catut harga? Pada 2011 mereka cuba guna SST untuk naikkan harga kepada pengguna, namun ia ditentang sehingga percubaan itu gagal.

“Kali ini serupa juga, cuma GST pula digunakan untuk dimanipulasi bagi keuntungan sendiri,” jelas Tony lagi.

- Roketkini


                    Harga kad prabayar ‘tetap naik’, menteri memihak kartel telco

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menyelar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek yang mempertahankan langkah syarikat telekomunikasi menaikkan harga kad prabayar pasca Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu berkata, ini kerana Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan sebelum ini mengumumkan harga kad prabayar tidak naik dan akan dikuatkuasa pada 1 Mei.

Namun kata Tony, kenyataan kedua Menteri itu bercanggah antara satu sama lain.

“Syarikat-syarikat telekomunikasi tidak menurunkan semula harga pra GST kad prabayar semalam. Shabery Cheek juga mempertahankan mereka dan mendakwa penurunan harga itu agak mustahil dilaksanakan kerana kerumitan mengubah sistem perisian.

“Shabery Cheek ‘menang’ dalam mempertahankan syarikat telco. Ini benar-benar tamparan hebat kepada rakyat Malaysia ekoran pelaksanaan GST. Alasan menteri itu semuanya adalah omong kosong saja,” jelas Tony.

Menurutnya syarikat telekomunikasi bersikap seperti sebuah kartel dalam menggunakan cukai sebagai cara mencatut dengan alasan pelaksanaan GST.

Ujarnya, di bawah pentadbiran sebelum Perdana Menteri Najib Tun Razak, pengguna hanya membayar RM 9.43 untuk mendapat nilai perkhidmatan sebanyak RM 10 ringgit bagi satu kad prabayar.

Namun sekarang tanpa mengambil kira cukai, pengguna terpaksa membayar enam peratus lebih dari RM10 yang dibayar bagi perkhidmatan tambah nilai bernilai RM 10.

Tony turut menyelar kenyataan Najib yang menggesa pihak berkuasa bertegas terhadap peniaga-peniaga yang kononnya memanipulasi GST bagi mendapatkan keuntungan, namun dalam masa yang sama tidak bertindak kepada syarikat-syarikat besar.

“Kenapa pihak berkuasa dibenarkan bertegas kepada peniaga biasa yang terpaksa menaikkan harganya kerana GST?

“Kenapa syarikat telco yang besar-besar secara semberono menaikkan harga, mendapat untung lebih menggunakan alasan GST namun dilayan dengan begitu baik?

“Najib mesti hentikan dasar layanan tidak adil yang hanya memihak syarikat besar.

“Akta anti-pencatutan mesti dikuatkuasa secara adil terhadap peniaga yang menaikkan harga selepas GST, selain tegas terhadap syarikat-syarikat besar tidak bertanggungjawab yang mendapat untung berbilion ringgit,” tegas Tony.

- Roketkini


                                 Shabery ikrar selesai segera isu kad prabayar

Usaha mencari penyelesaian kepada isu kad prabayar harus menjurus kepada kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
  
Selain itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata hasil perbincangan dengan semua pihak berkenaan haruslah bersifat 'menang-menang' yang memanfaatkan semua pihak sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk tindakan selanjutnya.
  
"Kami akan cari jalan terbaik bagaimana mencari kaedah-kaedah dan pilihan yang sesuai, dan akhirnya menguntungkan rakyat dan negara.
  
"Dan, saya mahukan pihak telco (syarikat telekomunikasi) juga beri kerjasama serta memahami sentimen rakyat, kerana ini perkara yang tak boleh saya kompromi," katanya kepada pemberita di pusat media Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Permatang Pauh, hari ini.
  
Sehubungan itu, Ahmad Shabery berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan segera mengadakan perbincangan yang komprehensif dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Komunikasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta syarikat-syarikat telekomunikasi.

Ahmad Shabery berkata perbincangan dan kajian juga harus dibuat dengan teliti kerana proses  mencapai penyelesaian adalah agak kompleks, dan ia perlu mengambil kira kesulitan yang dialami semua pihak.
  
"Sebagaimana kita tahu, ini bukan soal 60 sen (penambahan daripada harga asal kad prabayar) atau enam peratus (nilai cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan), kerana ia melibatkan banyak pihak.
  
"Kad prabayar atau tambah nilai prabayar merupakan suatu ekonomi tersendiri...ia melibatkan akar umbi yang banyak dalam sistem kita. 


Ia seperti wang dan syarikat telco (telekomunikasi) bukannya menjual secara langsung tetapi ia mempunyai lapisan tertentu yang semuanya mesti diambil kira dalam soal ekonomi prabayar," jelas beliau.
  
Sebagai contoh, katanya, kebanyakan ejen penjual kad prabayar di peringkat bawahan sudah membeli baucar dengan nilai terdahulu dan agak sukar untuk mereka menjual kepada pelanggan sekiranya nilainya berubah mendadak.
  
"Ini antara perkara yang perlu kita teliti kerana ia tidak boleh diubah dalam masa sehari dua," katanya.

Ditanya mengenai kekeliruan yang timbul akibat kenyataan berbeza daripada agensi-agensi terlibat, Ahmad Shabery berkata semua pihak mengeluarkan kenyataan berdasarkan dasar dan profesionalisme dalam tugas masing-masing.
  
"SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sebenarnya memberitahu secara teknikal bahawa proses untuk mengubah sistem ini tidak boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat...itu sahaja," kata beliau.
  
Sebelum ini, media melaporkan Kastam mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk menetapkan semula harga kad prabayar telefon kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan GST pada 1 April.
 
Bagaimanapun, arahan iu yang sepatutnya berkuat kuasa semalam, ditangguhkan selepas Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie menyatakan pada Rabu bahawa isian semula telefon prabayar akan terus dijual dengan kadar dikenakan GST.
  
Penyelarasan harga kepada kadar pra GST itu agak mustahil untuk dilaksanakan bermula 1 Mei seperti yang diminta kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula kepada sistem, katanya.

Ditanya mengenai pilihan yang akan diambil kira, Ahmad Shabery berkata antara cadangan itu ialah kemungkinan meminta syarikat telekomunikasi menyerap cukai 6 peratus itu.
  
Namun, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengkaji peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan perkara itu dapat dilakukan.
  
Selain itu, katanya, kementerian akan mencadangkan kepada kesemua syarikat telekomunikasi untuk menyalurkan keuntungan yang diperoleh kepada golongan sasar sekiranya mahu harga selepas GST dikekalkan.
  
"Mungkin mereka dapat memikirkan pakej yang lebih baik lagi untuk golongan yang memerlukan," katanya.
  
- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.