Cari Blog Ini

Ditinggalkan Sekutunya, Kempen PAS Di Rompin Suram !




Kurang 2 hari sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin yang dijadualkan berlangsung esok, PAS dilihat seakan bersendirian dalam usahanya cuba merampas kerusi Parlimen itu dari Barisan Nasional (BN), tanpa sokongan ketara rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) yang kelihatan lebih menumpukan kepada kempen untuk PRK Permatang Pauh yang berlangsung pada waktu yang sama.

Calon PAS, Nazri Ahmad yang berdepan calon BN, Datuk Hasan Arifin, kelihatan lemah dari segi gerak kerja dan susun atur kempennya yang lebih menumpukan kepada kawasan penempatan peneroka Felda, yang membentuk sebahagian besar populasi pengundi di situ.

Jadual ketua Pemuda PAS Pahang itu yang tidak tersusun seolah-olah menunjukkan PAS seperti tidak bersedia untuk memenangi kerusi Parlimen yang disandang bekas menteri kabinet Tan Sri Jamaluddin Jarjis sejak 6 penggal lalu.

Kepimpinan tertinggi PAS sendiri seakan tidak mengambil peduli berkenaan kempen di Rompin, apabila sesi ceramah perdana sempena Himpunan Derita Rakyat (Hindar) 2.0 yang berlangsung di Muadzam Shah malam tadi, hanya dihadiri kepimpinan peringkat negeri.

Ia hanya menyaksikan kehadiran Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga naib presiden PAS merangkap pengarah pilihan raya PRK Rompin PAS, tanpa disertai wakil rakan komponen PR memberi ucapan seperti kebiasaannya.

Kempen PAS pada waktu malam seperti kebanyakan pilihan raya yang pernah ditandingi mereka juga sedikit berbeza apabila tinjauan The Malaysian Insider di sekitar kawasan Kuala Rompin mendapati bilik gerakan PAS di sepanjang jalan utama hanya memainkan ulangan ceramah ataupun rakaman ucapan ustaz terkenal dari Terengganu, Azhar Idrus, di skrin gergasi mereka.

Persoalan timbul, sama ada PAS seperti "hilang bisa" apabila bergerak bersendirian tanpa rakan komponen pembangkang dari PR, apabila DAP dan PKR lebih memberi tumpuan kepada gerak kerja mereka di PRK Permatang Pauh yang ditandingi Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang akan berlangsung 7 Mei ini.

Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hasan, ketika ditemui The Malaysian Insider semasa ceramah Hindar 2.0, malam tadi bagaimanapun ada jawapan bagi persoalan itu.

"Sekitar 70% pengundi (Parlimen Rompin) datang dari kawasan Felda. Kita pun buat penumpuan di kawasan itu," katanya sambil menambah, gerak kerja kempen PAS tidak terjejas meskipun tanpa bantuan rakan komponen mereka.

"Tanpa komponen, kita 'okay', PRK Permatang Pauh serentak, tenaga kerja terbahagi," katanya, dan menambah, jentera dan pimpinan PKR turut membantu kempen PAS, namun tidak menamakan mereka.

"Tetapi tenaga PKR ada datang, jentera ada, pimpinan pun ada," katanya

Parlimen Rompin mempunyai populasi pengundi seramai 53,596 orang, dengan majoriti 87% pengundi Melayu yang menetap di 14 penempatan Felda.

Manakala kelompok kedua terbesar ialah dari komuniti masyarakat Orang Asli, diikuti 9% komuniti India dan hanya 2% pengundi berbangsa Cina.

Tuan Ibrahim turut memberitahu The Malaysian Insider, PAS tidak menjalankan kempen mereka secara umum, sebaliknya menggunakan pendekatan berbeza di setiap kawasan penempatan berdasarkan aktiviti ekonomi pengundi.

"Pendekatan kita tidak sama di satu-satu kawasan. Fokus kita kawasan Felda, kerana berhadapan dengan agensi. Mekanisme agak berlainan.

"Dengan petani dan nelayan di Rompin, kita berbeza. Kita kunjungi rumah pengundi dan mengamalkan pendekatan kebajikan," katanya.

Penganalisis politik Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff berpendapat, situasi itu berlaku terhadap PAS, selain kerana ia bersendirian menghadapi PRK Rompin, hakikat yang kawasan itu kubu kuat BN juga menjadi faktor.

Agus turut berpendapat, faktor kekangan kewangan turut menjadi punca poster dan kain rentang yang digunakan sebagai bahan kempen untuk PAS agak terhad.

"PAS bergerak bersendirian. Program dan poster, semua memerlukan dana yang besar. Jadi, gerak kerja PAS, program PAS, tidak banyak," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau yang turut melawat ke kawasan Parlimen itu bagi melihat sendiri situasi kempen bagaimanapun percaya, BN menerusi calonnya, pemangku Ketua Umno Rompin, akan mengekalkan kedudukan mereka di kawasan tersebut.

"Persoalannya cuma berapa majoriti yang akan dicapai," soalnya.

Beliau berkata, faktor pengundi atas pagar juga seharusnya dipertimbangkan sebelum mencadangkan PAS akan kalah teruk dalam PRK Rompin.

Beliau percaya 'silent voters' yang terdiri daripada anak muda yang bekerja di kawasan bandar berupaya menjadi penentu kejayaan PAS.

"Ada generasi kedua dan ketiga Felda mempunyai pandangan berlainan daripada ibu bapa mereka," katanya lagi.

Menyedari perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat cuba menawan hati pengundi dari kelompok pengundi generasi kedua dan ketiga Felda, apabila menurunkan harga rumah untuk mereka kepada RM90,000 seunit berbanding RM125,000.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagaimanapun menafikan ianya sebagai "gula-gula politik" untuk PRK Rompin, sebaliknya berkata, pengumuman Najib itu suatu "kebetulan".

Ketika ditanya dalam sidang medianya sebelum ini, berkenaan strategi PAS yang menumpukan kepada kawasan Felda, Hishammuddin hanya berkata: "Kita tunggu keputusan, sama ada kempen mereka berkesan atau tidak."

Nasruddin turut memaklumkan kepada The Malaysian Insider, tiada lagi sebarang ceramah PAS pada hari ini, dan himpunan Hindar 2.0 malam tadi merupakan ceramah terakhir mereka dalam kempen di Rompin.

"Malam ini ceramah akhir. Untuk esok, jentera akan fokus di unit peti undi masing-masing," katanya.

Pada pilihan raya umum 2013, Jamaluddin menewaskan calon PAS, Nuridah Mohd Salleh, dengan majoriti 15,114 undi daripada keseluruhan undi, dengan Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan itu memperolehi 14,926 undi.

Sejumlah 45,849 atau 85.5% pengundi keluar mengundi, manakala sejumlah 883 atau 1.6% undi dilaporkan rosak.

- The Malaysian Insider

PRK Rompin : PAS Nafi Kempen Tidak Dapat Sokongan DAP, PKR

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.