Cari Blog Ini

Datuk Husam Musa Umum Pertahan Jawatan Naib Presiden PAS



Datuk Husam Musa hari ini mengumumkan beliau akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PAS yang disandangnya sekarang sekaligus menolak pencalonan untuk jawatan timbalan presiden parti itu.

Dalam satu kenyataan media yang diedarkan hari ini, Husam berkata beliau memahami hasrat dan keprihatinan PAS kawasan yang mencalonkannya untuk jawatan presiden dan timbalan presiden parti Islam itu.

"Saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua kawasan yang terlibat yang telah memberikan  kepercayaan dan harapan yang begitu tinggi kepada saya, termasuk untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti.

"Saya memahami hasrat dan keprihatinan mereka, terutama terhadap hala tuju perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS dalam konteks Malaysia bagi dekad-dekad akan datang.

"Dengan memohon berbanyak maaf kepada semua kawasan dan ahli yang meletakkan harapan besar itu, saya hanya berhasrat menerima pencalonan  jawatan Naib Presiden PAS yang saya sandang sekarang," katanya.

BACA: Tuan Ibrahim sah cabar Mat Sabu untuk jawatan nombor dua PAS

BACA: PAS Kuala Kedah pilih Hadi terajui parti

BACA: Tuan Ibrahim 'malu alah', Abdul Hadi belum bagi 'signal' turun - Penganalisis

Dalam kenyataannya juga Husam menegaskan apa yang dicapai oleh PAS hari ini adalah kerana kesinambungan dari pendekatannya, strategi dan kaedah yang telah diputuskan oleh pendahulu parti itu secara syura pada semua peringkat.

Katanya, matlamat membentuk kerajaan persekutuan dan pendekatan 'PAS For All' untuk memenangi hati pengundi bukan Islam bukan diputuskan oleh mana-mana individu.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor ini berkata ia merupakan keputusan yang dibuat oleh jamaah peringkat demi peringkat.

"Jika matlamat itu difikirkan tidak syar'ie, jamaah perlu membuat keputusan yang baru dan tidak boleh mana-mana pihak dalam jamaah mengambil sikap untuk menidakkan keputusan yang telah dibuat sebelum ini.

"Politik Islam yang mengatasi sempadan kaum sehingga membuahkan kepercayaan penyokong bukan tradisi adalah sebahagian dari buah kejayaan dalam rangka jangka panjang dakwah dan siasah Islami.

"Ia kejayaan dan keberkatan  dari apa yang telah disyurakan sebelum ini," katanya lagi.

Keputusan Husam untuk tidak bertanding jawatan timbalan presiden PAS menjadikan setakat ini hanya dua calon, Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berhasrat untuk merebut jawatan tersebut.

Jawatan nombor dua PAS itu kini disandang oleh Mat Sabu selepas berjaya menewaskan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada pemilihan 2013.

Mohd Amar, yang turut dicalonkan sekali lagi kali ini, dikatakan calon yang berpotensi untuk menewasakn Mat Sabu pada pemilihan dua tahun lalu.

astro awani

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.