Cari Blog Ini

Azeez Perlu Jaga Kepentingan Penyimpan Tabung Haji, Bukan Arahan Najib, Kata Bekas Hakim


[gambar fail]
Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim silap apabila menurut nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menjual tanah yang dibeli daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata seorang bekas hakim.

Datuk Seri Gopal Sri Ram (gambar, kanan) berkata, menurut undang-undang, pengarah mana-mana syarikat atau institusi perlu bebas dan bertindak demi menjaga kepentingan terbaik organisasinya.

"Mereka tidak wajar bertindak menurut telunjuk pihak ketiga tetapi menyerahkannya kepada ahli lembaga pengarah.

"Jika mereka bertindak demikian dan institusi tersebut rugi, mereka perlu bertanggungjawab secara peribadi," kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu kepada The Malaysian Insider.

Beliau mengulas langkah Tabung Haji menjual sekeping tanah seluas 0.63 ekar yang dibeli daripada 1MDB pada harga RM188.5 juta.

Pembelian tersebut mencetuskan kekecohan di kalangan penyimpan Tabung Haji dan pemimpin dari kedua-dua blok politik yang mempertikaikan urus niaga melibatkan 1MDB yang sarat dibebani hutang.

Dalam satu sidang media Sabtu lepas, Azeez berkata, Tabung Haji dinasihati Najib agar menjual tanah di Tun Razak Exchange (TRX) itu demi menghormati "sensitiviti" penyimpannya.

Menurutnya, Najib menasihati beliau agar melepaskan tanah itu demi memastikan nama baik Tabung Haji tidak "tercemar" ekoran urus niaganya dengan 1MDB.

Najib adalah menteri kewangan merangkap pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Isu kebebasan korporat dan pertembungan kepentingan politik turut diserlahkan oleh badan pemantau anti-rasuah, Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4).

C4 mendakwa urus niaga itu dicemari bukan sahaja oleh pertembungan kepentingan korporat tetapi juga kepentingan politik memandangkan Azeez – selain daripada seorang ahli lembaga pengarah Tabung Haji – adalah juga ahli Umno di bawah pimpinan Najib.

Azeez ialah ahli Parlimen Baling yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, sementara Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruddin, Timbalan Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Mohamad Aziz dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Rosni Sohar juga berada dalam ahli lembaga pengarah Tabung Haji.

Situasi ini menambahkan kerumitan pertembungan kepentingan urus niaga ini, kata pengasas C4 Cynthia Gabriel.

Azeez pada sidang media itu menafikan wujud pertembungan kepentingan dalam urus niaga itu, walaupun sebahagian pegawai tertinggi Tabung Haji juga memegang jawatan dalam 1MDB.

Menurutnya, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail, yang turut berada dalam ahli lembaga pengarah 1MDB, tidak terlibat dalam rundingan urus niaga itu.

Bagaimanapun, katanya, seorang lagi eksekutif kanan Tabung Haji dan dua orang lagi ahli lembaga pengarah yang turut berjawatan dalam 1MDB, tidak berkecuali daripada rundingan itu kerana mereka tidak memegang jawatan pembuat keputusan 1MDB.

Menurut Azeez, tanah itu akan dijual kepada pembeli dengan keuntungan sekurang-kurangnya RM5 juta dan jualan itu akan dimuktamadkan dalam beberapa minggu akan datang.

Tabung Haji sebelum ini membeli tanah itu dengan tujuan membangunkan menara kediaman yang akan memberi pulangan keuntungan sekurang-kurangnya RM180 juta dalam masa 3 tahun, katanya.

Lembaga itu tertakluk kepada Akta Tabung Haji 1995 dan Seksyen 6 undang-undang itu menyatakan, pengerusinya hendaklah dilantik oleh menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga urusan haji.

Ahli lembaga pengarah yang lain terdiri daripada wakil Jabatan Perdana Menteri, seorang wakil perbendaharaan dan tidak lebih daripada tujuh lain yang hendaklah dilantik oleh menteri.

The Malaysian Insider

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

malulah, org islam yg menyeleweng dinasihati non muslim. by the way tahun ni tak pergi umrah/hajeee lagi?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.