Cari Blog Ini

'Anwar Tak Pernah Setuju Kerajaan Perpaduan Dengan Umno', PKR Menafikan Sekeras-Kerasnya Dakwaan Presiden PAS


Anwar tak pernah setuju kerajaan perpaduan dengan Umno, kata PKR
PKR hari ini menegaskan ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah bersetuju bergabung bersama Umno seperti didakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata beliau diberi mandat biro politik PKR menafikan sekeras-kerasnya perkara itu.

"Anwar atau mana-mana pimpinan parti tidak pernah bersetuju idea bergabung dengan Umno di dalam sebuah kerajaan perpaduan seperti yang dirujuk Hadi semalam.

"PKR berharap kami tidak diheret di dalam persoalan dalaman PAS," kenyataan itu dipetik.

Hadi semalam mendakwa idea kerajaan perpaduan pernah dipersetujui Anwar dan bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Hadi, idea digagaskan sebenarnya meliputi penyatuan semua parti ke dalam parti tunggal yang membentuk kerajaan selepas berlaku krisis perlembagaan di Perak.

"Kita tak mahu lari menyertai BN. Biasanya sejarah ini tetap berulang, Sebab itu kita kemukakan unity government ini – semua parti dalam kerajaan.

"Ini dipersetujui bersama semua dalam satu pertemuan di antara saya, Anwar dan arwah mursyidul am kita, "Kita bersetuju mengetengahkan perkara ini dan kita kemukakan kepada DAP.

Tetapi malangnya, ia terbantut kerana Barisan Nasional (BN) tak boleh menerimanya," kata Hadi pada program Bicara Harakah.

Menurut Rafizi, PKR tekal dalam usahanya menggantikan Umno sebagai kerajaan.

"Fokus PKR ialah membela rakyat dan memperbaiki institusi kerajaan yang rosak di bawah BN, apatah lagi di saat-saat rakyat tertekan dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), penggunaan dana-dana rakyat dalam Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain.

"PKR percaya Umno berada pada keadaan yang paling lemah dan ini masa terbaik untuk memberi peluang perubahan kepada rakyat Malaysia," katanya.

The Malaysian Insider


         Anwar, Nik Aziz setuju kerajaan perpaduan tetapi ditolak BN, kata Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuka ruang perbincangan baru isu kerajaan perpaduan apabila mendakwa idea tersebut pernah dipersetujui Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Hadi, idea digagaskan sebenarnya meliputi penyatuan semua parti ke dalam parti tunggal yang membentuk kerajaan selepas berlaku krisis Perlembagaan di Perak.

"Kita tak mahu lari menyertai BN. Biasanya sejarah ini tetap berulang. Sebab itu kita kemukakan unity government ini – semua parti dalam kerajaan.

"Ini dipersetujui bersama semua dalam satu pertemuan di antara saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan arwah mursyidul am kita.

"Kita bersetuju mengetengahkan perkara ini dan kita kemukakan kepada DAP. Tetapi malangnya, perkara itu terbantut kerana Barisan Nasional tak boleh menerimanya.

"Itu ceritanya, benda itu dah hilang luput daripada sejarahnya," kata Hadi pada program Bicara Harakah di Kuala Lumpur tengah hari ini.

Isu kerajaan perpaduan sentiasa menjadi perbincangan hangat dalam PR apabila PAS dilihat cuba intim dengan Umno bagi menjayakan cita-cita hududnya.

Versi kerajaan perpaduan yang melibatkan penyatuan PAS dan Umno semakin bertiup kencang apabila semua ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan daripada Umno menyokong pindaan hudud oleh PAS di DUN Kelantan baru-baru ini.

Pada masa sama, DAP menolak terus idea hudud sementara PKR pula membantah pelaksanaan hudud buat masa ini.

Sebelum ini, satu lagi versi kerajaan perpaduan timbul pada 2013 apabila Anwar berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencadangkan perkara itu kepada PR menerusi seorang perantara iaitu bekas Presiden Indonesia Jusuf Kalla.

Anwar bagaimana pun menolak cadangan itu ekoran serangan yang dibuat akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, ke atas masyarakat Cina dan India selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

The Malaysian Insider

                    

                    

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.