Cari Blog Ini

1MDB : Bukti Akan Hilang Jika Tidak Pecat Ahli Lembaga Pengarah Kata Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan



Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dilihat hanya membuka peluang kepada ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menghilangkan maklumat dan bukti kes jika pihak berkenaan tidak segera dipecat.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kenyataan Abdul Rahman juga sengaja memberi masa dan jawapan kepada ahli lembaga pengarah 1MDB untuk memanipulasi dokumen seandainya masih berada di jawatan masing-masing.

"Sekiranya mereka yang telah menjadi punca bebanan hutang 1MDB ini dipecat ataupun digantung tugas, ia tidak akan melambatkan serta menyukarkan proses siasatan kerana semua yang terbabit itu masih boleh di panggil atas dasar 'personal capacity' selaku bekas kakitangan 1MDB.

"Apa masalahnya kalau dipecat semua lembaga pengarah yang sepatutnya bertanggungjawab di atas kegagalan 1MDB ini?

Apakah pemecatan ini membuatkan mereka semua tidak boleh dipanggil sebagai saksi dalam proses siasatan?

"Peruntukan undang-undang masih membenarkan mereka untuk disapina polis, Rahman terlupa pelbagai risiko manipulasi dokumen boleh berlaku jika semua yang terlibat masih ada di premis 1MDB," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: 1MDB: 'Najib, tolonglah dengar nasihat Muhyiddin' - Syed Ali

Khairuddin mengulas kenyataan Abdul Rahman yang menyifatkan tindakan memecat ahli lembaga pengarah 1MDB tidak akan memberikan jawapan terhadap isu yang membabitkan 1MDB.

Kata Abdul Rahman, sekiranya saranan yang diutarakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dilaksanakan, belum tentu kebenaran sebenar akan dapat diperolehi.

BACA: 1MDB: 'Dokumen akan dimanipulasi jika lembaga pengarah tak dipecat' - Khairuddin

Dalam pada itu, Khairuddin turut mengingatkan ada peruntukan undang-undang memerlukan seseorang pegawai kerajaan atau kakitangan swasta yang ditangkap atas sebarang kesalahan akan diberikan cuti semasa proses siasatan berjalan.

"Malahan dalam portal Sarawak Report juga melaporkan semua program di komputer riba kakitangan 1MDB telah dipadam pada Disember tahun lepas.

"Pemecatan, gantung tugas atau dicutikan apabila perkhidmatan yang tidak memuaskan adalah satu normal ataupun praktis yang selari dengan peraturan," jelasnya.

BACA: 1MDB: "Saya beritahu PM pecat semua ahli lembaga pengarah syarikat" - Muhyiddin

Sebelum ini, Muhyiddin mengesahkan telah memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memecat semua ahli lembaga pengarah 1MDB.

Muhyiddin berkata demikian semasa mengulas tentang video yang dikatakan bocor semasa pertemuan tertutup dengan ahli UMNO yang disebarkan sebuah blog.

BACA: 1MDB: Ahmad Zahid sedang siasat individu rakam video di ILMU - Ab Rauf

Bagaimanapun, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusuf berkata, parti dalam proses menyiasat individu yang merakam video ucapan Muhyiddin dalam pertemuan tertutup bersama pemimpin di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU) di Janda Baik, Sabtu lalu.

Jelasnya, siasatan yang diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu juga dijangka selesai dalam sedikit masa lagi.

- astro awani

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.