Cari Blog Ini

1MDB Bakal Beri Kesan Buruk Terhadap Umno, Kata Muhyiddin



Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini secara terbuka mengkritik cara kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangani, dengan berkata isu itu sangat serius dan bakal menjadi parah.

Bercakap pada wartawan yang bersamanya dalam rombongan rasmi ke Milan, Itali, timbalan perdana menteri itu berkata isu hutang 1MDB merupakan faktor utama kekalahan Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh semalam.

Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno, berkata beliau sendiri tidak tahu bagaimana menjelaskan perkara tersebut kepada orang ramai ketika berkempen.

"Saya tidak tahu apa nak cakap apa.

"Rakyat mahu tahu, bukan sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad," kata Muhyiddin, merujuk bekas perdana menteri yang sejak kebelakangan ini mengasak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak berkenaan 1MDB.

"Rakyat mahu tahu mengapa tidak ada seorang pun didakwa, mengapa lembaga 1MDB tidak dipecat, dan status CEO serta perdana menteri sebagai penasihat," kata Muhyiddin.

Tambahnya, perkara itu makin melarat dan bakal memberi kesan buruk bukan sahaja ke atas rakyat tetapi juga Umno.

Dr Mahathir, perdana menteri yang paling lama berkhidmat di negara ini, mengkritik 1MDB dan menggesa perdana menteri untuk meletakkan jawatan susulan cabang pelaburan negara itu "kehilangan dana".

Katanya, beliau tidak akan memaafkan Najib berhubung hutang sebanyak RM42 bilion yang ditanggung 1MDB dan menimbulkan kebimbangan ke atas urus niaga 1MDB, termasuk pembelian beberapa aset dan tanah milik kerajaan.

Muhyiddin juga pernah mengulas tentang 1MDB sebelum ini.

Pada 6 Mac lalu, beliau berkata dana awam tidak boleh digunakan untuk menyelamatkan 1MDB, sambil menambah ahli lembaga pengarah syarikat itu juga perlu bertanggungjawab jika terdapat salah laku.

Beliau juga berkata, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara boleh memulakan siasatan mereka sendiri ke atas syarikat pelaburan strategik itu dan mengingatkan pengurusan 1MDB supaya memastikan setiap perancangan yang dicadangkan tidak meletakkan kerajaan dalam "keadaan tidak stabil".

Dalam kontroversi terbaru terhadap 1MDB, Tabung Haji, badan pengelola dana simpanan umat Islam untuk ke tanah suci Mekah, semalam mengesahkan sudah membeli sebidang tanah daripada projek Tun Razak Exchange bernilai RM188.5 juta yang didakwa mendapat "potongan" harga.

Tabung Haji merancang untuk membina sebuah menara kediaman di kawasan berkenaan.

"Pelaburan itu adalah keputusan komersial yang sesuai dengan selera risiko Tabung Haji dan melalui semua proses sewajarnya," kata ketua pegawai eksekutif Tabung Haji Datuk Johan Abdullah dalam satu kenyataan ringkas selepas pendedahan dibuat berhubung pembelian tanah itu oleh sebuah blog yang tidak dikenali.

The Malaysian Insider


                  Isu Tabung Haji goncang tiang seri Umno, kata penganalisis

Isu pembelian tanah milik 1MDB oleh Lembaga Tabung Haji (TH) kini menggoncang tiang seri sokongan terhadap Umno iaitu orang Melayu, dan menggugat kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata penganalisis politik.

Ibrahim Sufian dari Merdeka Center dan Mohamad Hisommudin Bakar dari Ilham Centre sepakat bependapat pentadbiran Najib tergugat teruk kerana TH merupakan nadi penyatuan ekonomi umat Islam di segala peringkat.

Namun, wang untuk tujuan murni kini kelihatan dikotorkan.

"Bacaan kami memperlihatkan kemelut ini boleh menghakis sokongan orang Melayu yang kini menjadi teras sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional.

Tiang seri Umno kini kian bergoncang," kata Hisommudin kepada The Malaysian Insider.

Ibrahim pula berpendapat, tekanan terhadap Najib bukan saja daripada pengkritiknya tetapi juga pemimpin akar umbi Umno susulan tekanan langsung pemegang akaun TH.

"Saya yakin, isu ini akan menekan ketua-ketua bahagian Umno di seluruh negara secara langsung daripada ahli di peringkat bawah.

Apabila itu berlaku, mereka pula akan menekan pucuk pimpinan Umno khasnya perdana menteri sendiri," kata Ibrahim kepada The Malaysian Insider.

Sehingga kini, Pemuda Umno secara terang-terangan mempertikaikan cara 1MDB dikendalikan, apatah lagi dengan pinjaman TH kepadanya.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar sendiri mempersoalkan transaksi antara TH dan 1MDB dalam proses pembelian tersebut.

"Pemuda Umno tidak menafikan keperluan TH untuk membuat pelaburan, Pelaburan dalam pasaran modal (pembelian saham) dan sektor hartanah harus dibuat oleh TH bagi menjana pulangan yang dapat diagih kepada pendeposit TH dalam bentuk dividen.

"Yang menjadi pertikaian dalam pembelian tanah TRX ini cara bagaimana transaksi ini dilaksanakan," kata Khairy semalam.

Ilham Centre menjangkakan isu ini menjadi ruang terbaik bagi pengkritik Putrajaya dan Najib, kerana TH melibatkan pegangan pelaburan orang Melayu Islam.

Beliau berkata, isu ini mudah mengetuk kefahaman rakyat kerana melibatkan soal simpanan untuk tujuan ibadah, berbanding isu 1MDB mahupun GST, yang kelihatan agak rumit difahami.

Maka, Hisommudin berkata isu ini juga menyertai senarai baharu tekanan ke atas Najib selepas serangan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kes Altantuya, 1MDB dan gaya hidup Datin Seri Rosmah Mansor.

Semalam, Dr Mahathir sekali lagi bersuara, dan terang-terangan meminta TH membatalkan serta merta pembelian tanah 1MDB.

Menulis di blognya, bekas perdana menteri itu menyatakan kekesalannya dengan situasi tersebut apabila TH menggunakan wang penyimpan bagi memulihkan atau menjamin hutang 1MDB.

Hisommudin berkata walaupun Umno dan Najib mendakwa masih mendapat sokongan daripada ketua bahagian Umno seluruh negara, sokongan itu hanya lapisan atas yang mendapat laba politik dan bukannya mewakili seluruh suara Umno dan orang Melayu.

"Spektrum sokongan veteran dan penyokong Umno yang mengagumi Tun Mahathir, dan anak muda Melayu kian kritis dan mula beralih sokongan daripada Umno," katanya yang banyak membuat kajian tentang politik orang Melayu dan Islam.

Kesimpulannya, Hisommudin berkata isu TH ini bakal mengheret kredibiliti Najib, dan mencabar akauntabiliti TH dalam menjelaskan kebimbangan rakyat khususnya orang Melayu Islam.

"Jika gagal kali ini, bersedialah Najib untuk berundur dan masa depan Umno kian malap," katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata apa yang berlaku sekarang adalah kesan buruk yang berlaku kepada 1MDB sehingga semua yang tersentuh dengannya "menjadi arang".

"Penjelasan yang diberikan pula tidak meyakinkan orang ramai," katanya mengulas tekanan ke atas Najib ekoran isu terbaharu melibatkan TH.

Beliau bersetuju dengan Hisommuddin isu TH-1MDB meletup kerana melibatkan "wang suci" untuk umat Islam menunaikan haji.

Namun, Ibrahim tidak dapat menjangka selama mana Najib boleh bertahan, walaupun tekanan ke atasnya semakin berat.

- The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.