Cari Blog Ini

Raja Bomoh Ibrahim Mat Zin Bakal Diwarta Sesat, Kata Mufti Perak


Ibrahim Mat Zin (tengah), dikenali juga sebagai Raja Bomoh akan diwartakan sesat dan haram kerana terpesong daripada agama Islam sebenar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 April, 2015.
Ibrahim Mat Zin (tengah), dikenali juga sebagai Raja Bomoh akan diwartakan sesat dan haram kerana terpesong daripada agama Islam sebenar
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan dalam mesyuaratnya semalam untuk mewartakan bomoh kontroversi Ibrahim Mat Zin, dikenali juga sebagai Raja Bomoh, sebagai sesat dan haram, lapor Berita Harian.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata keputusan itu dicapai setelah melihat amalan dan ajaran yang dibawa oleh bomoh tersebut yang didapati terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

"Amalan dan ajaran Raja Bomoh itu bakal diwartakan haram dan sesat kerana terpesong daripada agama," beliau dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, menurut akhbar itu hari ini, jawatankuasa itu tidak dapat menjangkakan tarikh sebenar pewartaan tersebut kerana ia perlu melalui pelbagai proses.

Harussani berkata, antara proses tersebut ialah, jawatankuasa mufti perlu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan ia perlu dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Raja Bomoh yang berpengalaman selama 50 tahun itu menjadi popular apabila terlibat memberi perkhidmatannya dalam beberapa kes bencana negara termasuk kejadian Highland Tower runtuh, kes pencarian mayat semasa banjir di Kuala Dipang, Kampar, Perak dan kes pembunuhan seorang ahli politik oleh Mona Fendy.

Terbaru, beliau mencetuskan kontroversi apabila menawarkan diri membantu mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang hilang tahun lalu.

Raja Bomoh itu mendakwa dijemput seorang pegawai tertinggi negara bagi menggunakan kaedah ilmu tradisional dan solat hajat.

Bagaimanapun, kehadiran beliau di KLIA, dengan melakukan ritual seperti yang digambarkan dalam filem P Ramlee  'Laksmana Do Re Mi'  mengejutkan orang ramai hingga mengundang kritikan banyak pihak.

Ibrahim dan pembantunya datang ke KLIA pada hari pertama dengan sangkar dan teropong buluh untuk mencari pesawat itu, manakala pada hari kedua datang dengan buah kelapa dan “tikar terbang”.

Meskipun menerima kecaman, Ibrahim yang didakwa bomoh terkenal di kalangan pemimpin Umno, mempertahankan tindakannya dengan menegaskan upacara yang dilakukannya di KLIA itu menggunakan ayat suci Al-Quran dan berlandaskan syariat Islam.

The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.