Cari Blog Ini

Najib Bertindak Lebih Seperti Maharaja, Kata Bekas Menteri


Bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seperti maharaja kaya dan tidak berasa perlu untuk bertanggungjawab atas tindakannya atau menjelaskan apa-apa kepada sesiapa walaupun kritikan sengit ditujukan terhadap tadbir urusnya dan beberapa dasar kerajaan itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 April, 2015.
Najib bertindak lebih seperti maharaja daripada PM, kata bekas menteri
Datuk Seri Najib Razak bertindak lebih seperti maharaja daripada seorang perdana menteri, kata bekas menteri Umno, Datuk Zaid Ibrahim, menambah asakan kepada suara yang mendesak beliau meletak jawatan.

Menulis di dalam blognya hari ini, Zaid berkata, Najib seperti maharaja kaya dan tidak berasa perlu untuk bertanggungjawab atas tindakannya atau menjelaskan apa-apa kepada sesiapa walaupun kritikan sengit ditujukan terhadap tadbir urusnya dan beberapa dasar kerajaan itu.

"Najib berpendapat beliau Louis XIV. Raja Perancis terkenal yang dengan bangganya mengisytiharkan beliau ialah negara Perancis itu (L'etat cest moi), bermakna apa sahaja yang beliau katakan ialah undang-undang dan kuasa lain tidak dihiraukan.

"Tiada siapa boleh atau berhak menyoal beliau, Beliau menghabiskan wang negara sesuka hatinya dan tidak menjawab kepada sesiapa, walaupun kepada pihak berkuasa.

Arahannya dituruti dan penyokong setianya hidup makmur," beliau menulis.

Beliau berkata, dengan cara yang sama, Najib ialah "maharaja pertama" negara ini, "Dia sangat kaya kerana, seperti Louis XIV, beliau mewarisi sejumlah besar kekayaan, seperti yang didakwa pejabatnya," kata Zaid.

Beliau merujuk satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang kekayaan Najib datang dari warisan keluarga susuan laporan The New York Times mengenai anak tiri beliau, Riza Aziz, yang membeli hartanah mahal di New York City.

"Apabila adik-beradiknya bersuara, mengatakan arwah bapa mereka - perdana menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak - tidak kaya, Najib tidak menjelaskan dari mana beliau memperolehi wang itu.

"Dia tidak peduli untuk memberitahu orang ramai berapa banyak hartanya, kerana seperti maharaja, dia tidak perlu untuk menjelaskan apa-apa kepada sesiapa pun," katanya.

Zaid, yang berkhidmat selama enam bulan di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas pilihan raya umum 2008 berkata, perdana menteri moden di bawah sistem Parlimen menerima yang beliau mempunyai kewajipan undang-undang dan moral menjawab kepada rakyat yang melantiknya.

Ini juga bermakna seorang perdana menteri menerima yang beliau adalah seorang pemimpin yang bertanggungjawab atas setiap apa yang dilakukan dan tidak dilakukan, termasuk menjelaskan dengan ringkas isu berkepentingan awam yang dibangkitkan rakyat, dengan sejujur yang beliau boleh.

Bagaimanapun, Zaid berkata, apabila seorang bekas pengawal peribadi Najib, Sirul Azhar Umar membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu sembilan tahun yang lalu, perdana menteri tidak berasa perlu untuk bertanya kenapa.

"Dia tidak sama sekali berminat untuk menjelaskan keadaan pelik ini apabila semua orang lain hendak tahu mengapa pembunuhan itu berlaku.

"Beliau hanya berminat untuk bersumpah demi Allah, yang beliau tidak mengenali wanita itu.

Seperti maharaja, dia tidak perlu bertanggungjawab atau menjelaskan tindakannya, begitu juga, pengawal peribadinya."

Menyentuh syarikat yang dibebani hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas menteri yang bertanggungjawab hal-ehwal undang-undang itu berkata, Najib sebagai menteri kewangan, bertanggungjawab terhadap dana pelaburan negara itu, tetapi beliau tidak peduli untuk menjelaskan bagaimana ia mengumpulkan hutang berjumlah lebih RM42 bilion.

"Beliau seperti tidak rasa malu apabila syarikat kerajaan itu baru-baru ini terpaksa merayau mencari dana bagi mendapatkan RM2 bilion yang diperlukan untuk membuat bayaran faedah kepada bank.

Tetapi beliau tidak peduli untuk jawab begitu banyak persoalan yang dibangkitkan mengenai 1MDB kerana beliau seorang maharaja."

Rakyat Malaysia tidak mengundi untuk seorang maharaja pada pilihan raya umum ke-13 dua tahun lalu, kata Zaid, sambil menambah masanya sesuai untuk semua orang bersatu memilih orang yang sesuai menggantikan Najib.

"Mari sertai saya dan beberapa orang rakan pada 23 Mei untuk menjelaskan kenapa sekarang kita perlu mencari seorang perdana menteri baru. Saya akan maklumkan anda apabila tempatnya sudah diperolehi.

Sila tunjukkan sokongan anda dengan bekerjasama secara aman untuk melantik seorang perdana menteri yang sewajarnya."

The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.