Cari Blog Ini

Kerajaan Mesti Bebas Hutang Kata Mahathir



[mstar]- Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selagi pentadbiran kerajaan bebas daripada hutang.

Bekas perdana menteri itu menegaskan bahawa kerajaan perlu memberi penjelasan mengenai apakah yang berlaku kepada wang dan pinjaman yang diambil oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Agenda kerajaan adalah membayar hutang. Jika kerajaan dapat menguruskan untuk bebas hutang, saya tiada masalah.

"Bagaimanapun, masalahnya adalah bukan setakat RM1 juta atau RM2 juta yang tidak dapat dikesan, tetapi dianggarkan antara RM14 bilion dan RM20 bilion.

"Ke mana wang itu hilang? Ini adalah wang rakyat dan ia akan memberikan kesan kepada kewangan negara," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib pada Selasa: "Biarpun kita sedang diasak dan dikritik, sebagai sebuah kerajaan yang telus, saya selaku Perdana Menteri, bersama-sama Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan didukung pula oleh menteri serta rakan anggota pentadbiran, tidak akan sesekali berganjak atau menyerah kalah. Malah, akan tetap beristiqamah dan berjuang merintis sejuta lagi jalan baru demi kebaktian kepada rakyat dan negara."

Bekas perdana menteri turut menggesa kerajaan supaya mendedahkan sama ada 1MDB ada memindahkan dananya ke Singapura atau tidak.

"Beliau memberi kenyataan bertulis (di Parlimen) bahawa wang itu berada di Singapura, tetapi bank negara Singapura memberi kenyataan yang bercanggah," kata Dr Mahathir.

Mengenai kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Masalan bahawa beliau tidak mempunyai perspektif yang tepat mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Dr Mahathir berkata: "Dia jaga kewangan, tetapi dia tidak faham apa-apa tentang kewangan."

Ahmad menafikan adanya pemimpin tinggi Umno memberi amaran supaya beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung GST.

Katanya, tiada sebab untuk beliau berhenti bercakap mengenai sistem cukai itu sama ada pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin atau Permatang Pauh.

"Jika saya berhenti bercakap mengenai GST, kemungkinan besar pembangkang akan menang," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.