Cari Blog Ini

Isian Semula Telefon Prabayar Akan Terus Dijual Dengan Dikenakan GST


Pelaksanaan harga asal kad prabayar mustahil dilaksanakan 1 Mei [gambar fail]
Pelaksanaan harga asal kad prabayar mustahil dilaksanakan mulai esok kerana ia melibatkan isu teknikal, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, syarikat telekomunikasi perlu membuat konfigurasi terhadap sistem dan perisian komputer di seluruh negara yang akan mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.

"Bayaran kad prabayar ini juga melibatkan pembayaran melalui bank serta pembayaran secara elektronik selain ia melibatkan seramai 30,000 ejen seluruh negara ... perubahan perisian dan sistem perlu dilakukan bagi memastikan ia berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M)di Kampung Tekek di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman Datuk Mohd Johari Hussain.

Pusat internet berkenaan merupakan pusat kelapan dibangunkan di daerah Rompin selain di bandar Muadzam Shah, Felda Selancar 5, Felda Keratong 10, Felda Keratong 2 dan Kampung Pianggu.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad sebelum ini dilaporkan mengumumkan harga kad prabayar kembali kepada harga asal seperti sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berdasarkan kepada konsep “termasuk cukai”, mulai 1 Mei.

Ini bermakna, jika kad prabayar itu bernilai RM10 maka pengguna akan membayar RM10 mulai 1 Mei tanpa GST 6%, katanya.

Ahmad Shabery berkata, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kastam Diraja Malaysia sebelum ini telah mencapai persetujuan melaksanakan satu kajian bagi mendapatkan maklum balas daripada pengguna berhubung pelaksanaan GST pada kad prabayar.

"Sebagai contoh, jika pengguna membeli kad prabayar berjumlah RM10, kita ingin melihat sama ada pengguna selesa dengan bayaran 60 sen bagi enam peratus GST atau mereka ingin membeli pada kadar RM10 tetapi hanya diberikan kredit masa berbual RM9.43," katanya.

Beliau berkata, kajian itu sepatutnya selesai pada minggu ini dan akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang.

Bagaimanapun katanya, SKMM bersedia melaksanakan harga kad prabayar berdasarkan konsep 'tax inclusive' itu secepat mungkin sekiranya pihak kastam mempunyai kaedah tertentu bagi mengatasi masalah teknikal berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata kad prabayar pada masa ini tetap dikenakan GST kerana belum terdapat peraturan yang mengecualikannya.

"Saya bimbang timbul kekeliruan dalam kalangan rakyat bahawa kad prabayar tidak dikenakan GST, ini tidak boleh dibuat kerana ia tidak diumumkan sebagai barangan 'zero rated/ dan saya difahamkan ia tidak akan berlaku," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata lebih 96 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara telah mendapat liputan 2G sementara lebih 80 peratus kawasan dapat menikmati kemudahan 3G selain 32 kawasan khususnya di bandar telah mendapat perkhidmatan 4G.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan sentiasa berusaha meningkatkan capaian internet rakyat dengan menyediakan infrastruktur telekomunikasi di seluruh kawasan berpenduduk.

- Bernama


Arahan kad prabayar pada harga asal ditangguh, kata Kastam
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menangguhkan arahan kepada syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga asal perkhidmatan kad prabayar yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Mei.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata ia selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bahawa kajian mengenai layanan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas perkhidmatan kad prabayar masih dijalankan oleh syarikat telekomunikasi.

"Maka, arahan Ketua Pengarah Kastam bertarikh 28 April kepada syarikat telekomunikasi mengenai layanan GST ke atas perkhidmatan kad prabayar yang akan berkuat kuasa pada 1 Mei, adalah ditangguhkan," katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Khazali dalam satu sidang media mengumumkan bahawa mulai 1 Mei ini, harga kad prabayar telefon perlu kembali kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan GST pada 1 April, yang mana jika kad prabayar itu bernilai RM10 maka pengguna akan membayar RM10 mulai 1 Mei.

Menurutnya, beliau sendiri sudah mengarahkan kesemua empat syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga asal berdasarkan kepada konsep 'tax inclusive' berkuat kuasa 1 Mei dalam satu surat pada 28 April.

Semalam, Pengerusi MCMC Datuk Seri Dr Halim Shafie dalam satu kenyataan selepas pengumuman Khazali itu, pula berkata isian semula telefon prabayar akan terus dijual dengan dikenakan GST.

Isian semula RM10 sebagai contoh akan dijual pada harga RM10.60 termasuk GST 6%.

Menurut Halim, agak mustahil untuk pembekal perkhidmatan melaksanakan perubahan dengan kembali kepada kadar pra-GST bermula 1 Mei seperti yang diminta kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula kepada sistem.

- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.