Cari Blog Ini

Festival Arak Oktoberfest : Ahli Parlimen PAS Khalid Samad Pertahan Kenyataan


Khalid pertahan kenyataan, PBT perlu main peranan kawal ketat pesta arak
Ahli Parlimen PAS Khalid Samad hari ini mempertahankan kenyataannya yang sambutan festival arak Oktoberfest boleh dibenarkan di negara ini, tetapi dengan syarat sensitiviti dan hak masyarakat Islam perlu dilindungi.

Wakil rakyat Shah Alam itu berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memainkan peranan utama dengan mengenakan syarat dan kawalan ketat terhadap penganjur yang juga syarikat pengeluar produk minuman keras, Carlsberg Malaysia.

Antaranya, dengan melarang penganjurannya di kawasan penduduk majoriti beragama Islam, melarang pengiklanan secara terbuka di papan iklan dan Facebook serta menghadkan penyertaannya kepada bukan Islam sahaja, "PBT perlu menguruskannya dengan baik.

Nak perkenalkan arak atau pesta perlu dibuat di kawasan yang majoritinya bukan Islam, jangan buat di Shah Alam contohnya, jangan iklan merata-rata dan jangan panggil orang Islam hadir.

"Jika semua ini dipatuhi untuk masyarakat Islam, saya rasa tidak ada masalah," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kenyataan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu sebelum ini yang membenarkan Oktoberfest atas alasan negara majmuk menimbulkan reaksi negatif apabila dikatakan tidak memahami konsep Islam sebagai agama Persekutuan.

Namun Khalid menegaskan, Islam sebagai agama global juga mengajar umatnya cara untuk berurusan dengan bukan Islam memandangkan penggunaan minuman dan makanan beralkohol dibenarkan dalam ajaran agama lain.

Jelasnya, tidak ada halangan bagi bukan Islam makan dan minum sesuatu yang dihalalkan mengikut kepercayaan agama masing-masing, cuma pelaksanaannya perlu mengambil kira suasana dan realiti masyarakat.

"Kalau ambil pendekatan 'ini negara Islam agama rasmi' maka akhirnya bukan Islam tidak nampak keadilan dalam Islam.

"Sebaliknya mereka nampak seolah-olah terpaksa tunduk dan akur kehendak Islam."

Katanya, sehingga kini masih wujud perbahasan antara ulama mengenai isu pengambilan hasil cukai arak oleh kerajaan.

Ada mazhab yang membenarkan hasil cukai melalui keuntungan jualan arak digunakan untuk rakyat dengan membina kemudahan awam, tetapi ada juga yang mengasingkannya untuk kegunaan rakyat beragama Islam dengan bukan Islam.

"Di Malaysia, kita tidak ada sistem pengasingan itu. Tetapi di Kelantan, cukai arak tidak dicampur dalam cukai yang bersih.

"Menjadi amalan pentadbiran Kelantan mengasingkan cukai lesen jualan arak dan memasukkannya dalam tabung yang berasingan," katanya.

Mengulas dakwaan Pengerusi Umno Datuk Seri Noh Omar terhadap iklan Oktoberfest yang dipasang disekitar kawasan Shah Alam, Khalid menafikannya dan menganggap dakwaan itu sebagai palsu.

Oktoberfest bermula sejak 24 September lalu di beberapa lokasi termasuk di Saujana Hotel Subang dan Berjaya Times Square.

Kemuncak pesta akan diadakan pada 10 hingga 12 Oktober di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya.

The Malaysian Insider


                    Ahli Parlimen PAS bercanggah pendapat isu Oktoberfest

Dua pemimpin PAS berbeza pendapat dalam isu pesta arak ‘Oktoberfest’ anjuran Carlsberg Malaysia dengan seorang mengatakan ia tidak boleh dihalang sementara seorang lagi mengatakan ia mesti segera dicegah.

Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan mengatakan pihak berkuasa, bermula daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Tempatan, mesti mengambil tindakan segera menghentikan pesta arak yang dipromosikan secara meluas itu.

Katanya negara tidak boleh dibiarkan membangun dengan budaya mungkar dan maksiat kerana ia akan membinasakan tamadun dan maruah, dan negara ini tidak mendapat keberkatan dan akan dimurkai Allah.

"Pesta arak yang dipromosi besar-besaran ini menjadi mungkar terbuka meskipun ia dilakukan dalam ruang bangunan tertutup.

Sekaligus ia mencabar sensitiviti umat Islam, "Samalah seperti aktiviti hubungan seks luar nikah (pelacuran) yang dipromosi kepada umum, ia menjadi maksiat terbuka yang wajib ke atas pihak berkuasa dan seluruh Islam bangkit mencegahnya," katanya di dalam posting Facebooknya hari ini.

Khamis lepas, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dilaporkan laman web Isma berkata penganjuran Oktoberfest tidak boleh dihalang kerana Malaysia sebuah negara majmuk dan ia dianjurkan untuk orang bukan Islam.

"Islam mengiktiraf yang arak bukan sesuatu yang haram mengikut ajaran agama mereka. Tambahan pula pesta kemuncak yang akan diadakan di Petaling Jaya itu di kawasan majoriti bukan Islam.

“Apatah lagi jika mahu dibandingkan dosa arak dengan syirik, sebenarnya dosa syirik lebih besar berbanding arak, namun gereja dan kuil tetap dibenarkan,” katanya kepada wartawan ISMAweb.

Nasruddin berkata beliau tidak menafikan hak arak yang boleh diminum mereka yang agamanya membenarkan begitu, tetapi tidak setuju ia dipromosikan secara besar-besaran.

"Dalam sebuah negara yang Islam menjadi agama Persekutuan seperti negara Malaysia, hak itu mestilah ditunai secara tertutup dan tidak dipromosi apa lagi dipestakan secara besar-besaran begini," katanya.

Dia juga menyeru pihak berkuasa agama seperti jabatan dan majlis agama Islam semua peringkat tidak memandang sepi fenomena ini.

"Ambillah tindakan wajar, Jangan hanya memberi alasan kononnya perkara ini berada di luar bidang kuasa sedang akibatnya kelak akan melanda umat tanpa mengenal di mana kuasa dan kedudukan mereka, Bangkitlah sebelum terlewat," katanya.

Nasruddin memetik hadis Rasulullah yang bersabda Allah akan menurunkan bala kepada mereka yang membuat 15 perkara, salah satunya ialah membiarkan arak diminum secara berleluasa.

Oktoberfest bermula 24 September lalu di sebuah hotel di Subang, diikuti di beberapa tempat di Kuala Lumpur, Puchong, Kepong, Batu Pahat, Petaling Jaya dan Pulau Pinang.

Kemuncak pesta itu dijadualkan diadakan pada 10 hingga 12 Oktober di tempat letak kereta One Utama Petaling Jaya.

Kenyataan Khalid sebelum ini menerima kecaman ramai pihak, termasuk Presiden Isma Abdullah Zaik Abdul Rahman yang mengatakan Khalid sudah 'hilang kompas' dan sedang menghadapi krisis identiti yang serius.

“Dia seorang Islam dan tertakluk kepada undang-undang dan sempadan agama, Dia tidak boleh lupa hakikat ini," katanya sambil memberi amaran kepada Khalid agar berhati-hati dengan 'plotism'.

Plotism, menurut laporan itu, ialah apabila seorang pemimpin Islam mempunyai kefahaman yang terapung-apung dan tidak stabil tentang agama, membuatkan dia dimanipulasi pihak lain untuk membawa kemusnahan terhadap agamanya sendiri.

"Khalid mesti berhati-hati dengan plotism dan seharusnya merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah, bukan ideologi Barat," katanya sambil menambah, kegagalan melakukan demikian menyebabkan Khalid melihat DAP sebagai pilihan yang lebih baik daripada Isma.

Exco Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata kenyataan Khalid perlu dinilai semula, sambil menegaskan penganjuran pesta arak tidak boleh dilakukan secara terbuka.

“Kalau hendak buat sangat kena buat di kawasan tertutup, jangan buat di kawasan terbuka,” katanya menurut laporan ISMAweb.

Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim berkata, kenyataan Khalid Samad menggambarkan beliau seorang individu yang tidak ghirah (cemburu) dengan Islam.

“Khalid tidak melihat dengan penuh rasa cemburu perkembangan yang mencabar ketuanan Islam di tanah air ini.

Walaupun ini negara majmuk, tetapi secara perlembagaan dan sejarahnya, ia masih negara Islam,” tegasnya.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia, Ismail Mina Ahmad dilaporkan menempelak Khalid, menyifatkannya sebagai rosak akhlak apabila mengatakan penganjuran Oktoberfest tidak boleh dihalang.

The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.