Cari Blog Ini

Isu Peminta Sedekah Yang Cemar Imej Ibu Kota : Menteri Wilayah Persekutuan Hina Peminta Sedekah !


Bukan sedekah yang cemar imej ibu kota, PAS jawab Ku Nan [gambar fail]
PAS menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turun sendiri melihat warga kota susah sebelum membuat kenyataan bersifat 'menghina' mereka.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS tidak bersetuju dengan kenyataan menghina Tengku Adnan yang menyalahkan usaha murni yang dilakukan oleh Soup Kitchen memberikan makanan kepada mereka yang susah dan tidak berumah di Kuala Lumpur sebagai faktor yang menjejaskan imej bandar raya Kuala Lumpur.

Menurut beliau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya berganding tangan dengan NGO-NGO yang terbabit dengan Soup Kitchen dan bukan menghalau mereka.

"PAS mencadangkan agar Tengku Adnan turun sendiri melihat warga kota yang susah. PAS sendiri ada memberi makanan percuma kepada rakyat jelata yang susah tanpa mengira latar belakang daripada Pejabat Agong PAS di Jalan Raja Laut secara berkala.

"Lebih elok jika Tengku Adnan mencadangkan agar dalam lingkungan 2 kilometer daripada pusat membeli-belah Lot 10 digazetkan sebagai kawasan bebas penjenayah, kongsi gelap, tandas kotor dan jalan berlubang.

"Itu sebenarnya lebih membantu menaikkan imej bandaraya Kuala Lumpur daripada menghalang aktiviti kebajikan yang dilakukan oleh Soup Kitchen," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tengku Adnan kelmarin yang menyatakan akan mengenakan hukuman ke atas peminta dan pemberi sedekah semata-mata atas alasan perbuatan tersebut mencemarkan imej ibu negara dan bagi mengurangkan budaya mengemis.

Tegasnya, jika kebersihan menjadi satu masalah kepada Tengku Adnan, beliau sepatutnya mengarahkan DBKL untuk membantu membersihkan kawasan-kawasan yang digunakan oleh Soup Kitchen selepas habisnya aktiviti kebajikan mereka, sepertimana servis yang diberikan kepada kawasan-kawasan pasar dan pasar malam sekitar ibu kota.

Mungkin jika dengan kerjasama DBKL ujarnya, aktiviti-aktiviti Soup Kitchen juga boleh berubah menjadi satu kawasan tarikan pelancong yang menguntungkan warga KL.

"PAS akan mengerahkan Unit Amal untuk membantu Soup Kitchen sepanjang aktivitinya, termasuk aktiviti membersihkan kawasan yang digunakan Soup Kitchen untuk memastikan orang yang susah dapat terus diberi bantuan dari mereka yang sudi membantu.

"Kerajaan perlu peka bahawa terdapat banyak rakyat yang hidup susah di Kuala Lumpur.

Betul, imej Kuala Lumpur perlu dijaga tapi bukan dengan menghalang aktiviti kebajikan, sebaliknya aktiviti jenayah," tegasnya.


      Beri amaran kepada pengemis, Ku Nan Menteri paling kejam dalam Kabinet

Tindakan Datuk Seri Tengku Adnan Mansur memberi amaran kepada pengemis dan NGO Soup Kitchen jika terus membantu mereka adalah bukti beliau layak digelar Menteri paling kejam dalam kabinet.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan itu bukan saja tidak berperikemanusiaan malah telah berjaya menandingi kebiadaban Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi yang mempertahankan tindakan membuang kepala lembu di hadapan rumah Adun DAP RSN Rayer, baru-baru ini.

“Nampaknya sikap tidak ada perasaan dan kurang bijak Zahid sedang disaingi Tengku Adnan, apabila beliau memberi amaran sehingga Isnin ini kepada Soup Kitchen dan pengemis untuk menjauhkan diri dari pusat bandar atau berdepan tindakan daripada Majlis Bandaraya.

“Dengan satu tindakan saja, Tengku Adnan kini terbukti menjadi Menteri paling tak berperikemanusiaan dan kejam dalam kabinet,” ujar Kit Siang dalam kenyataannya semalam.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga mempersoalkan tindakan Tengku Adnan tersebut yang dilihat cuba untuk menjenayahkan kegiatan mengemis seperti dilakukan di Norway.

“Adakah Tengku Adnan mendapat inspirasi untuk menjenayahkan pengemis dari Norway?

Sebuah negara antara terkaya di dunia dengan keluaran dalam negara kasar per kapita kira-kira AS$100,000?

“Jika beliau mahu mencontohi Norway, perkara pertama yang harus dilakukan adalah mendapatkan kelulusan Parlimen berkenaan tindakan kejam dan tak berperikemanusiaannya itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kit Siang menggesa Tengku Adnan supaya menarik balik amarannya itu dan mengadakan perbincangan bersama Ahli-Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan dan NGO berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Rundingan untuk mengatasi masalah ini perlu dilakukan bersama kesemua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan dan pihak NGO terlibat supaya penyelesaian terbaik dapat disepakati, dengan mengambil kira kesan sosioekonomi kemiskinan,” katanya.

Kit Siang menegaskan lagi, jika Tengku Adnan masih berdegil mahu menghukum pengemis dan Soup Kitchen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib harus campurtangan dan mengatasinya agar Malaysia tidak berterusan menjadi ejekan dunia.

* "Pemberi, Peminta Sedekah Bakal Berdepan Hukuman", Tengku Adnan Dikecam Hebat

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.