Cari Blog Ini

Remaja OKU Muhammad Firdaus Hanya Pandai Bercakap Tiga Perkataan, "IBU, Ummi Dan Makan"


Gambar pengasuh bersama Muhammad Firdaus [gambar fail]
[sinar]- IBU, ummi dan makan...'. Hanya tiga perkataan itu saja mampu diucap Muhammad Firdaus Dullah, remaja OKU malang yang ditemui dalam keadaan kebuluran dan tidak terurus di rumah pangsa Taman Semarak, Nilai, Sabtu lalu walaupun usianya sudah 15 tahun.

Perkataan 'ibu' itu merujuk kepada pengasuh remaja berkenaan, Norfitri Radius, 42, yang menjaganya selama lapan tahun sejak 2003, sementara 'ummi' merujuk kepada ibu remaja berkenaan yang kini masih ditahan reman bagi membantu siasatan atas penemuan mengejutkan seluruh rakyat negara ini.

Manakala, perkataan 'makan' pula biasanya akan keluar daripada mulutnya setiap kali lapar.

Perkara itu didedahkan Pengarah Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Datuk Dr Jaafar Che Mat berhubung tahap kesihatan Muhammad Firdaus selepas dua hari dirawat dan dijaga rapi di hospital berkenaan.

Ketiga-tiga perkataan itu juga menunjukkan 'dunia' Muhammad Firdaus sebelum ini hanya tertumpu kepada pengasuh dan ibunya saja, tanpa melihat dan mengenali orang lain di sekeliling, sehingga ada kala dia kelihatan takut pada orang ramai.

Berat hanya 15kg

Jaafar berkata, amat menyedihkan apabila Muhammad Firdaus kelihatan rakus ketika pertama kali diberi makan oleh pihak hospital.

Beliau berkata, remaja yang menghidap penyakit celebral palsy itu hanya seberat 15 kilogram ketika pihak hospital menerimanya.

“Hari pertama kami terima anak ini, keadaannya amat teruk. Kami semua geleng kepala melihat keadaan fizikalnya.

“Dia kelihatan rakus bila diberi makan roti seperti sudah lama tidak makan dan begitu kelaparan,” katanya.

Menurutnya, Muhammad Firdaus turut mengalami masalah kulit akibat terlalu lama berada dalam persekitaran kotor.

"Dia juga kekurangan protein disebabkan tidak mendapat makanan berkhasiat. Kita akan merawat kulitnya dan beri makanan berkhasiat agar kembali pulih, sebelum membuat rawatan fisioterapi untuk anggota badannya yang lemah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan dijalankan terhadap remaja itu mendapati tiada kesan penderaan pada fizikalnya.

“Tiada kesan menunjukkan dia didera, tetapi jika dikurung dan dibiarkan sudah termasuk dalam kes penderaan.

Kita sudah serahkan laporan kesihatan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, semalam.

Jaafar berkata, untuk memulihkannya akan mengambil masa lama, bagaimanapun Muhammad Firdaus sudah menunjukkan respon positif berbanding sebelum ini.

“Kita akan pastikan dia pulih sepenuhnya sebelum serahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Sementara itu, katanya, adik tiri remaja terbabit, Muhammad Haziq Jali, 7, turut dirawat di hospital berkenaan dan diletakkan bersebelahan Firdaus.

“Adiknya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan cuma mengalami masalah hiperaktif,” katanya.

Jiran tak tahu remaja terkurung

Sementara itu, di NILAI, penderitaan Muhammad Firdaus itu ternyata mengejutkan penduduk sekitar rumah pangsa Taman Semarak.

Tinjauan Sinar Harian di rumah pangsa itu semalam mendapati, penduduk sekitar serta jiran-jiran tidak mengetahui ada remaja OKU terkurung di sebuah bilik di blok 15, selama ini.

Kawasan perumahan yang rata-rata didiami warga asing itu kelihatan suram, selain berada dalam keadaan tidak terurus.

Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam blok berkenaan, hidung mula terbau sesuatu kurang menyenangkan, dengan hancing serta busuk.

Setibanya di hadapan rumah nombor 19 iaitu tempat Muhammad Firdaus ditemui, bau busuk terus menerpa kuat sebaik saja pintu dikuak.

Tidak cukup dengan itu, kelihatan keadaan rumah berselerak seperti tidak berpenghuni, malah apabila ditanya jiran sebelah, mereka sendiri tidak tahu dan tidak kenal penghuni rumah itu.

Salah seorang jiran yang tinggal depan rumahnya, Farhat, 30, berkata, selama tiga tahun dia tinggal di situ, dia jarang melihat wanita atau ibu kepada Muhammad Firdaus berada di rumah.

Farhat yang berasal dari Bangladesh dan fasih berbahasa Melayu berkata, hanya sebulan sekali saja dia nampak wanita itu datang mengemas rumah dan membuang bungkusan sampah yang banyak.

“Saya jarang nampak ada orang dalam rumah itu. Cuma setiap malam, saya sering terdengar suara kanak-kanak menangis dari rumah berkenaan. Suara itu akan diam sendiri selepas itu.

“Sudah tiga tahun saya tinggal di sini, tetapi tidak pernah kenal dengan penghuni di depan rumah saya ini.

Kali terakhir saya nampak dia (ibu Muhammad Firdaus) bulan lalu, ketika itu dia sedang angkat sampah dengan seorang anak lelaki kecil. Lepas itu tidak nampak lagi," katanya.

Bagaimanapun, beberapa wanita tempatan yang ditemui mengakui ibu Muhammad Firdaus itu tinggal bersama kerana pernah ternampak wanita berkenaan di situ.

Dalam pada itu, pengerusi flat berkenaan, Abdul Razak Nasir berkata, ibu kepada Muhammad Firdaus kelihatan keluar rumah awal pagi dan pulang lewat malam, dipercayai bekerja.

“Keluarga remaja OKU ini tidak pernah bergaul atau berbual dengan penduduk di sini. Malah, kami sendiri tidak tahu dia mempunyai anak OKU sehinggalah berita ini tersiar,” katanya.

Ibu mengaku tinggal bersama

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Abdullah Roning berkata, ketika disoal siasat, wanita yang dikenali sebagai Lola itu mengaku masih tinggal bersama Firdaus di rumah berkenaan dan bukan tinggal di tempat lain.

“Hasil percakapan pegawai penyiasat kami dengan wanita berkenaan, mereka masih tinggal serumah, cuma anaknya yang OKU itu diasingkan di sebuah bilik berlainan.

“Semua keterangan daripada wanita berkenaan telah pun direkodkan dan diambil, sebelum tindakan lanjut dilakukan,” katanya, semalam.

Abdullah berkata, polis kini sedang mengesan bapa Muhammad Firdaus bagi melengkapkan kertas siasatan.

Ibu remaja itu direman selama empat hari sehingga esok.

Manakala, Timbalan Pengarah JKM Negeri Sembilan, Mohamad Hapil berkata, pihaknya akan mengesan bapa kepada remaja berkenaan.

“Setakat ini, kita tiada maklumat mengenai ayahnya. Jika gagal dikesan, JKM akan mohon perintah sementara bagi menjaga dan melindunginya buat sementara sebelum proses ke mahkamah,” katanya.

* Bekas Pengasuh OKU Yang Malang Tidak Mampu Menahan Air Mata Melihat Keadaan Muhammad Firdaus
* Jiran Selalu Dengar Tangisan Pada Waktu Malam, Tidak Tahu Itu OKU Muhamad Firdaus Dikurung

'Tidak ubah seperti mimpi ngeri'
                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.