Cari Blog Ini

Malaysia Disenarai AS Antara Negara Gagal Banteras Pemerdagangan Manusia


Jabatan Negara Amerika Syarikat

Malaysia telah diletakkan dalam kumpulan terbawah bersama Thailand dan Venezuela oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai antara negara yang didakwa gagal menangani pemerdagangan manusia.

Menurut laporan AFP, Malaysia bersama dua negara itu di samping Gambia menyertai beberapa lagi negara seperti Iran, Korea Utara dan Syria yang telah sedia ada berada di dalam senarai tersebut.

Menurut laporan  '2014 Trafficking in Persons Report' yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS semalam, Malaysia berhadapan dengan risiko dikenakan sekatan oleh negara itu.

Berdasarkan laporan, Malaysia telah diturunkan kepada kumpulan 'tahap 3' itu setelah didakwa tidak mengendahkan amaran untuk merangka rancangan untuk mematuhi piawaian minimum bagi penghapusan perdagangan manusia.

Banyak syarikat di Malaysia didakwa membawa masuk pekerja-pekerja yang menanggung hutang besar kepada penyeludup di mana akhirnya mereka ini terpaksa bekerja secara perhambaan di ladang-ladang, bot-bot nelayan atau sebagai pelacur.

Mereka yang berjaya melarikan diri sering dipenjarakan oleh pihak berkuasa, kadang-kala hingga setahun, yang dilihat oleh pihak Jabatan Negara AS sebagai 'usaha yang tidak mencukupi' untuk melindungi mangsa.

Menurut laporan senarai tersebut, berpuluh-puluh ribu mangsa pemerdagangan manusia berakhir di Thailand sebagai migran yang dipaksa, dipujuk atau ditipu untuk menjadi buruh atau dieksploitasi sebagai pelacur.

Bagaimanapun, pendakwaan berhubung kes pemerdagangan manusia pula meningkat pada 2013 kepada 9,460 kes berbanding 7,705 pada 2012, manakala lebih 44,750 mangsa turut dikenal pasti.

Daripada 188 negara yang berada dalam senarai tersebut, 15 negara diturunkan taraf berbanding tahun lalu, manakala 15 lagi mencatat kenaikan atas usaha mereka menangani pemerdagangan manusia.

Antara negara yang mendapat keputusan positif termasuk Chile dan Switzerland yang kini menduduki peringkat 1 bersama Britain dan AS.

Pada laporan lepas, Malaysia berada dalam senarai tahap 2 di bawah pemerhatian.

Berdasarkan laporan Utusan Malaysia bertarikh 5 Mac 2014, Malaysia kini telah menjadi negara transit dan destinasi jenayah pemerdagangan manusia ini.

Menurut laporan tersebut, ada juga tanda-tanda menunjukkan ia juga boleh menjadi negara sumber, meskipun masih di tahap rendah, namun Malaysia dikatakan bersungguh-sungguh dalam usaha membanteras jenayah ini.

Pada Rabu lepas, sebuah tongkang yang membawa seramai 97 pendatang asing telah dilaporkan karam di Sungai Air Hitam, Banting.

Dalam kejadian itu, 62 mangsa telah diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di mana sembilan mayat telah ditemui.

Ketika dihubungi Astro AWANI, Pegawai Polis yang berada di Balai Banting, Insp Mohd Shamsul Sharif mengesahkan 97 penumpang yang terlibat dalam insiden karam tersebut merupakan warganegara Indonesia.

Minggu lalu pula, empat lelaki maut manakala tujuh lagi parah selepas kereta Honda Accord yang mereka naiki yang sarat dengan 11 penumpang terbabas di Kilometer 134.1 Lebuhraya Pantai Timur dekat Temerloh.

Tiga mangsa yang terkorban dan tujuh yang parah dipercayai warga Myanmar.

Kereta itu sedang dalam perjalanan dari Rantau Panjang, Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.

Dalam satu lagi kejadian pada Mac lalu, dua warga Iran dipercayai menggunakan Malaysia sebagai transit bagi mencari suaka ke negara lain dengan menggunakan pasport curi.

Seorang menggunakan menggunakan pasport Austria yang bernombor P2979523 dan seorang lagi menggunakan pasport  Itali yang bernombor YA3189197.

Mereka kemudiannya berlepas dari KLIA pada 7 Mac  menggunakan pesawat penerbangan Malaysia MH370 yang hilang menggunakan pasport yang sama. - astro awani

                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.