Cari Blog Ini

Kabinet Najib Bertambah, Gaji Dari Poket Rakyat



[hd]- Pengumuman perlantikan tiga menteri dan tiga timbalan menteri baru daripada MCA dan Gerakan semalam oleh Perdana Menteri menjadikan Kabinet Malaysia kini diperbesar menjadi 62 orang anggota dengan 35 menteri dan 27 timbalan menteri.

Berikutan itu juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kini bertambah kepada 10 orang berbanding hanya 8 orang sebelum daripada ini dan secara purata tidak pernah mencecah angka 8 pada zaman Tun Abdullah Badawi dan Tun Mahathir Mohamed.

"Implikasi langsung pertambahan ini ialah bertambahnya belanja mengurus negara sebanyak RM166,563 sebulan dan jumlah keseluruhan bagi menggaji anggota kabinet mencecah hampir RM10 juta sebulan," ujar Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan

Katanya, duit bagi menggaji kesemua anggota kabinet ini pasti sekali dari poket rakyat.

Baginya, keanggotaan JPM dengan 10 menteri dan seorang timbalan menteri membuktikan ketidakupayaan Najib untuk berperanan secara efektif sebagai PM dan tidak fokus menjalankan tugasnya.

Lebih mengecewakan, ujarnya perlantikan dua menteri di JPM dibuat terlebih dahulu tanpa ada portfolio khusus yang ditentukan.

Menurutnya, jawapan "akan diumumkan kemudian" oleh PM semalam memperlihatkan bahawa perlantikan yang baru dibuat itu bukan atas faktor keperluan dan kelayakan, hanya sebagai menunaikan janji politik.

Sepatutnya, kata beliau susun atur semula kabinet ketika ini perlu dibuat secara menyeluruh mengambil kira saiz kabinet yang sepadan dengan perbelanjaan negara dan keperluan semasa serta prestasi Menteri dan Timbalan Menteri sedia ada termasuk PM dan TPM sendiri.

"Jika tidak, perubahan kabinet itu tidak akan memberi apa-apa kesan positif terhadap urus tadbir negara dan semakin menambah beban masalah dan kewangan kepada negara dan rakyat," katanya lagi.


                          Kerajaan perlu cekap, bukan tambah anggota kabinet

Rakyat negara ini memerlukan kerajaan yang cekap dalam melaksanakan tanggungjawab kepada dan bukannya berbangga dengan jumlah anggota kabinet yang besar.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata pengumunan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pelantikan beberapa anggota kabinet baru semalam amat mengecewakan dan dilihat satu pembaziran.

"Saya melihat pengumuman anggota kabinet yang dilakukan Najib semalam adalah perkara yang mengecewakan dan pembaziran untuk sebuah negara yang mempunyai rakyat seramai 30 juta penduduk.

"Rakyat hanya inginkan sebuah kerajaan yang berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dan bukannya menambah anggota bagi memenuhi janji politik individu," katanya kepada Harakahdaily sebagai respons kepada penambahan anggota kabinet yang diumumkan Najib itu.

Katanya lagi, transformasi yang dilaungkan Najib dalam urus tadbir kerajaan tidak mencerminkan kesungguhan beliau dalam memastikan penjimatan dan kecekapan bekerja.

"Bila tambah anggota kabinet, ini menyebabkan tugas anggota kabinet akan lebih ringan dan saya pasti akan ada satu anggota kabinet akan laksanakan satu tugas sahaja.

"Sebagai sebuah kerajaan kita memerlukan seseorang yang dilantik itu boleh menjalankan pelbagai tugas yang diberikan.

"Jelas transformasi Najib ini tidak mencerminkan kecekapan pentadbiran tetapi merupakan transformasi pembaziran dengan pertambahan kos yang melampau," ujar Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.

Beliau berkata, walaupun Negara China mempunyai jumlah rakyat yang ramai namun anggota kabinet masih kecil berbanding kabinet Najib hari ini.

Menurutnya, pengumuman itu turut memalukan apabila negara luar melihat kegagalan Najib mentadbir dengan keadaan kabinet yang tidak seimbang mengikut jumlah rakyat berbanding dengan negara-negara luar.

Pengumuman semalam, anggota kabinet Najib menjadi 35 orang menteri penuh dan 27 timbalan menteri, 10 daripadanya berkhidmat dalam Jabatan Perdana Menteri.

Berdasarkan pakej saraan yang ditetapkan parlimen Malaysia, barisan baru kabinet itu akan menelan wang pembayar cukai kira-kira RM530,000 dalam bentuk gaji atau RM6.3 juta setahun.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.