Cari Blog Ini

Bekas Pengasuh OKU Yang Malang Tidak Mampu Menahan Air Mata Melihat Keadaan Muhammad Firdaus


    'Tidak ubah seperti mimpi ngeri'
    'Tidak ubah seperti mimpi ngeri'
[sinar]- KISAH remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditemui dikurung dalam rumah dengan keadaan menyedihkan terus menjadi topik hangat dan mendapat tumpuan ramai pihak.

Semua pasti ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku hingga menyebabkan remaja berkenaan diperlakukan sedemikian.

Bagi Norfitri Radius, 42, yang pernah menjaga Muhammad Firdaus seawal usia empat tahun, kejadian yang berlaku memang sukar dipercayai dan tidak ubah seperti mimpi ngeri.

“Berderai air mata saya apabila melihat keadaannya sekarang, Berbeza benar semasa kali terakhir saya melawatnya pada Jun tahun lalu.

“Pada masa itu, tubuh Muhammad Firdaus sangat berisi dan serba-serbi terjaga.

Dia sudah mula pandai berdiri dan bertutur secara ringkas, selepas dibawa berubat di beberapa tempat sepanjang dijaga oleh saya dari 2003 hingga 2011,” katanya.

Bagaimanapun, Norfitri langsung tidak menyangka, perpindahannya ke Gemencheh kerana mengikut suami lebih kurang tiga tahun lalu, merupakan titik permulaan kisah duka remaja berkenaan.

“Saya sangat terkilan kerana tidak dapat menjaganya lagi, selepas mendirikan rumah tangga, Apakan daya, saya terpaksa akur dengan takdir ILAHI.

“Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini, berikutan Muhammad Firdaus sudah saya anggap seperti anak sendiri.

Seandainya tidak berpindah dahulu, saya akan tetap menjaganya,” katanya ketika menziarahi Muhammad Firdaus di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini, semalam.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Muhammad Firdaus pernah dipukul atau didera ibunya selama ini, Norfitri menafikan perkara tersebut.

“Kita tidak boleh menyalahkan ibunya seratus peratus dalam hal ini, Dia banyak menanggung dugaan seorang diri, memandangkan suami yang jarang pulang ke rumah.

“Tambahan pula, fikiran ibunya mungkin terganggu rentetan masalah kesihatan dialami akibat keguguran beberapa bulan lalu,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Norfitri memberitahu, dia hanya mengetahui nasib malang menimpa remaja terbabit menerusi laporan berita, malam kelmarin.

“Namun, kesedihan saya sedikit sebanyak terubat selepas melihat perkembangan positif ditunjukkan Muhammad Firdaus sepanjang menerima rawatan di hospital.

“Saya juga bersedia mengambil Muhammad Firdaus sebagai anak angkat, sekiranya pihak berwajib mahu memberikan hak penjagaan kepada saya,” katanya yang tiba di hospital kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Katanya lagi, dia juga pernah berhasrat mengambil Muhammad Firdaus di bawah jagaannya pada Jun tahun lalu, tetapi terpaksa dibatalkan atas beberapa kekangan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman ketika melawat remaja berkenaan, di sini, semalam ternyata berpuas hati dengan keadaan Muhammad Firdaus.

“Setakat ini, Muhammad Firdaus sudah mula menerima makanan lembut dan keadaannya bertambah baik, berbanding ketika ditemui sebelum ini.

“Kita harap, kehadiran bekas pengasuhnya dapat memberi kekuatan kepada remaja itu dalam usahanya untuk kembali pulih seperti sedia kala,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning mengesahkan bahawa ibu kepada remaja berkenaan telah ditahan reman selama empat hari, sehingga Rabu depan.

“Kes disiasat bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001, di mana kita akan melihat pelbagai aspek dan merujuk kepada beberapa pihak seperti hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pendakwa raya, sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Pengarah JKM Negeri Sembilan, Abdullah Hanapi pula berkata, kes tersebut hanya akan diambil alih oleh pihaknya untuk tindakan lanjut selepas pemeriksaan kesihatan lengkap selesai dijalankan terhadap remaja itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.