Cari Blog Ini

UIA Pula Akan Ambil Tindakan Terhadap Pelajar Sertai Perhimpunan Bantah GST



Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sedang menunggu maklum balas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum mengambil tindakan ke atas pelajar yang menyertai perhimpunan bantah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Kuala Lumpur pada 1 Mei.

Bagaimanapun, menurut Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim (gambar), setakat ini tiada siswazah universiti tersebut dikenal pasti terlibat.

Bernama memetik Rais sebagai menyeru tindakan tegas dikenakan terhadap penuntut universiti yang turut serta dalam perhimpunan Khamis lalu, yang dihadiri puluhan ribu belia dan berakhir tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Rais, yang juga Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, juga mempertahankan pelaksanaan GST, dengan berhujah adalah salah untuk sesiapa melanggar sebarang undang-undang yang telah dipersetujui.

Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang GST pada 7 April dengan 118 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional bersetuju, manakala 81 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah.

"Apabila ia (undang-undang pelaksaaan GST) sudah dipersetujui dan dikuatkuasakan, ia tidak boleh dicabul dan apa sahaja yang mahu dilakukan seharusnya mengikut lunas perundangan.

"Pelajar juga perlu sedar tugas mereka adalah menuntut ilmu dan memenuhi harapan ibu bapa, bukan untuk berpolitik kerana ada tempatnya jika mahu berpolitik," kata Rais seperti dilaporkan Bernama, selepas menghadiri program "Planting for the Future" di kampus UIA, hari ini.

Rais juga mengkritik peserta perhimpunan yang membawa anak-anak kecil, dengan berkata ia bukan perbuatan yang dilakukan masyarakat negara maju.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.