Cari Blog Ini

Setahun Sudah Ditipu Oleh Umno BN !


Setahun sudah ditipu, masih lagi berkompromi – Edy Noor Reduan
Hari ini, genaplah setahun kita ditipu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Seperti yang ditegaskan sejak setahun yang lalu, kita tidak wajar mengiktiraf kemenangan Barisan Nasional walau dengan apa pun hujahnya.

Dakwat tidak kekal memberi ruang manipulasi kepada 300 ribu pengundi awal - ini jangan sesekali dilupakan.

Membiarkan BN terus memerintah negara ini walaupun dalam hati tidak bersetuju dan tidak redha, adalah bersubahat dengan penipuan yang dilakukan.

Mengekalkan beberapa negeri tidak harus jadi alasan untuk bertahan, kerana rakyat terus sengsara dengan dasar dan polisi sebuah kerajaan yang menang secara menipu.

Natijahnya cukup besar apabila kita membiarkan aparat ini terus berkuasa.

Kenaikan harga gula, harga petrol dan tarif elektrik yang seterusnya menjadi anjakan kenaikan kepada hampir semua sektor perbelanjaan rakyat Malaysia.

Malah pemberian BR1M yang dijanjikan sebanyak RM1,200 dalam manifesto BN sebagai umpan hanya dapat separuh sahaja, kini timbul pula ura-ura BR1M bakal dimansuhkan kononnya kerana ia bebankan kerajaan dan gagal hapus kemiskinan.

Ini disebut sendiri oleh Tun Mahathir dan Ahmad Maslan selaku menteri berkaitan. Apalah nasib, penyokong BN pun ditipu hidup-hidup.

Rakyat Malaysia terus dirudum malang apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan.

GST diluluskan di Dewan Rakyat dengan sokongan 119 ahli Parlimen BN.

Bagi mengolah persetujuan ramai, ratusan juta wang rakyat dibelanjakan untuk propaganda betapa indahnya rupa GST.

Semua kebaikan GST yang diamalkan oleh negara maju dijaja dengan fakta yang penuh tersembunyi.

Mantiknya, mereka boleh menipu dalam pilihanraya untuk mengekalkan kuasa, mereka juga boleh menipu dalam melaksanakan GST.

Satu contoh mudah, mereka katakan tiada GST untuk pengguna lebuhraya bertol, tetapi pengguna tol akan dikenakan 6% GST setiap kali isian semula 'Touch n Go'. Nampak?

Anda tentu pernah dengar cadangan untuk semua pengguna lebuhraya diwajibkan guna 'Touch n Go' untuk elak kesesakan di lebuhraya. Nampak?

Satu lagi contoh, mereka katakan pembelian rumah dikecualikan dari GST, namun segala ramuan untuk menyiapkan rumah dikenakan GST.

Pemaju perumahan tidak terkecuali dikenakan GST untuk setiap batu bata, simen, besi, pasir dan sebagainya.

Ya, benar harga rumah tiada GST, tetapi harga jualan tetap akan melambung tinggi. Maksudnya, GST dikenakan sebelum rumah tersebut sedia untuk dijual.

Jika GST yang dilaksanakan di luar sana dikatakan baik untuk negara dan rakyatnya, pelaksanaan GST 'versi Malaysia' adalah tembolok untuk kerajaan Umno dan malapetaka buat rakyat Malaysia.

Justeru itu, sempena Hari Buruh, 1 Mei 2014 menyaksikan lebih 50 ribu rakyat protes secara berhimpun mewakili jutaan rakyat Malaysia membantah pelaksanaan GST.

Paling dramatik, satu perarakkan bersejarah 'Hari Buruh' berlangsung dari KLCC ke Dataran Merdeka melalui Bukit Bintang dan Pudu.

Perarakan tersebut disertai oleh ribuan anak muda dan kaum buruh dengan agenda membantah GST.

Selesai tunjuk perasaan, selesai ceramah, apakah hasilnya aksi kali ini? Dalam masa tidak sampai tempoh 24 jam, satu pengumuman dibuat oleh pihak kerajaan.

Pengumuman oleh menteri yang berbunyi, "Kerajaan akan tetap melaksanakan GST pada April 2015".

Lihatlah betapa angkuhnya mereka, tidak langsung mempertimbangkan aspirasi rakyat yang tersepit. Jelas petualang ini tidak peduli.

Mungkinkah kerana pilihan raya lambat lagi? Apakah kita perlu tunggu pilihan raya dan akhirnya ditipu lagi?

Dataran Merdeka mungkin sudah tidak mendatangkan gerun buat mereka.

Mengimbau kembali, malam tahun baru 2014 menjadi saksi bagaimana anak muda berjaya masuk ke Dataran Merdeka dengan jumlah yang hampir sama dengan aksi 1 Mei.


Ketika itu tiada kebenaran polis, tiada ceramah politik, malah tiada penganjur rasmi. Hanya yang ada ialah amaran keras daripada anak muda.

Aksi ini berhasil, selain daripada mendapat liputan berita dunia, hasrat kerajaan menaikkan harga tol sebagai menu hidangan kepada kroni juga terpaksa dibatalkan.

Maka dapatlah dirumuskan bahawa perhimpunan yang berkompromi dengan kerajaan tidak akan membuahkan hasil, malah dihina pada hari berikutnya.

Jumlah kehadiran 50 ribu bukanlah satu angka yang boleh dibanggakan kerana kita pernah gegarkan Kuala Lumpur dengan angka 250 ribu, suku juta dalam tempoh dua tahun sebelumnya.

Jangan sesekali kecewa dengan hasil perjuangan kali ini, jangan sesekali mengalah hanya kerana perhimpunan itu 'ceramah'.

Kita anak muda perlu berjiwa besar dan perlu terus menyusun gerakan ampuh untuk mengajar regim erti kuasa rakyat.

Barangkali jika perhimpunan aman itu berlangsung di Putrajaya seperti yang pernah dicadang, meninggalkan tiada ruang untuk pentas ceramah diatur, tiada ruang untuk berkompromi.

Jangan jadikan logistik sebagai alasan. Ya benar, bukan senang untuk ratusan ribu muncul berhimpun di Putrajaya kerana faktor logistiknya.

Tetapi harus juga diingat, bukan senang ratusan ribu mahu pulang selepas berjaya masuk ke Putrajaya.

Berbalik kepada jubli setahun penyelewengan demokrasi rakyat, renungkanlah kembali dalam masa setahun ini, apakah kita akan terus bersabar menjelang tahun-tahun yang mendatang?

Apakah kita akan terus bersubahat?

Kita tidak harus berserah dan menunggu, kita akan terus ditipu dan mereka terus bermewah merompak khazanah negara.

Ingatlah, janji Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah nasibnya sendiri (bangkit dan lawan).

Malah bala (GST) itu tidak mengenal siapa yang kamu sokong dalam pilihan raya 5 Mei yang lalu, sokong PR pun terkena, sokong BN pun terkena, semua tidak terkecuali.

* Penulis ialah aktivis blogger dan Pengarah Propaganda SAMM

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.