Cari Blog Ini

PRK Teluk Intan 31 Mei, Kos RM1.5 Juta, Kata SPR



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, P 076, ditetapkan pada 31 Mei.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata proses penamaan calon pula akan diadakan pada 19 Mei manakala pengundian awal pada 27 Mei.

Beliau berkata pilihan raya kali ini akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 yang diwartakan pada 30 April 2014 selain dikemas kini sehingga 1 Mei 2014.

Abdul Aziz berkata daftar pemilih itu mengandungi 60,349 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 59,927 orang pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

“SPR akan menggunakan Sekolah Menengah Seri Perak, Teluk Intan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi selain turut membuka 35 pusat mengundi yang lain.

Manakala pusat pengiraan undi awal akan diadakan di bilik audit Jabatan Perbendaharaan Majlis Perbandaran Teluk Intan.

“Sebanyak 36 pusat mengundi itu merangkumi 35 pusat pengundian biasa yang mengandungi 120 tempat mengundi (saluran) dan satu pusat pengundian awal yang mempunyai satu tempat mengundi (saluran)," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan PRK Parlimen Teluk Intan

Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian penyandangnya mendiang Leoh Seah Leong Peng, 48 tahun yang meninggal dunia akibat penyakit barah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 7.45 pagi 1 Mei lalu.

Menurut Abdul Aziz, proses PRK Parlimen Teluk Intan akan melibatkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pasir Bedamar dan Changkat Jong dan anggaran kos perbelanjaan PRK itu adalah RM1,470,347.

Selain itu, katanya, SPR juga telah bersetuju melantik Yang DiPertua Majlis Perbandaran Teluk Intan,Datuk Ibrahim Ahmad sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK tersebut.

“SPR juga akan melantik 957 orang petugas pilihan raya untuk mengendalikan proses PRK ini selain menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau setiap aktiviti sepanjang tempoh berkempen." ujarnya.

Sementara itu, katanya, daftar pemilih pilihan raya bagi PRK berkenaan akan mula dijual pada 17 Mei dan pengundi yang ingin membuat semakan boleh melayari laman sesawang www.spr.gov.my serta melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888 mulai tarikh sama.

Pengundi juga boleh menelefon Ibu Pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-88856565 dan Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak (05-2544195).

Dalam pada itu, Abdul Aziz meminta semua pihak mematuhi setiap arahan pihak berkuasa sepanjang urusan PRK berkenaan supaya proses pelaksanaan berjalan lancar dan mengelak daripada perkara tidak diingini berlaku.

“Pemimpin parti-parti politik, calon-calon, petugas serta penyokong parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mana-mana individu lain yang terlibat semasa berkempen hendaklah mematuhi undang-undang, peraturan pilihan raya dan etika berkempen yang ditetapkan semasa tempoh rasmi kempen.

“Maklumat lain berhubung dengan PRK ini akan dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR atau Pengarah Pilihan Raya Perak dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Teluk Intan" jelasnya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, mendiang Leong Peng memenangi kerusi itu dengan majoriti 7,313 menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong (20,086) dan calon Bebas, K. Moralingam (279).

astro awani
 
                          

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.