Cari Blog Ini

Pertukaran Menteri Besar, Politik Terengganu Kembali Panas


Suhu politik Terengganu kembali panas
[sinar]- NAMA Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman kembali panas apabila beliau sekali lagi dikaitkan bakal mengambil alih jawatan Menteri Besar Terengganu, seperti mana desas-desus yang bertebaran sebelum ini.

Isu pertukaran pemimpin utama negeri ini dilihat sedikit mencalarkan sambutan genap setahun pentadbiran BN yang mentadbir Terengganu Isnin lalu, yang berjaya mempertahankan kemenangan dalam PRU13 5 Mei tahun lalu, sekali gus menyaksikan politik negeri ini kembali bergelora.

Kemenangan tipis BN dengan kedudukan kerusi 17-15 turut didakwa antara faktor penyebab Datuk Seri Ahmad Said menjadi sasaran, ditambah pula dengan wujud kumpulan tertentu dalam parti berkenaan hingga mengakibatkan berlaku perpecahan dalam kalangan ahli Umno itu sendiri.

Walaupun Ahmad Razif telah beberapa kali menafikan hal berkenaan, namun namanya sekali lagi menjadi perhatian apabila laporan sebuah akhbar Bahasa Inggeris tempatan semalam, mendedahkan mengenai sumber daripada Putrajaya yang mengatakan wakil rakyat itu diminta untuk bersedia bagi menggantikan kepimpinan utama negeri ini.

Isu berkait pertukaran Menteri Besar Terengganu telah beberapa kali hangat diperkatakan sejak tahun lalu, namun kembali ‘tenang’ setelah ia dinafikan sekeras-kerasnya pelbagai pihak termasuk baru-baru ini, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengatakan tiada perancangan ke arah itu (membabitkan pertukaran Menteri Besar).

Bagaimanapun, penjelasan daripada pemimpin utama negara nyata belum mampu meredakan isu tersebut apabila nama Ahmad Razif yang telah dua penggal memimpin Dun Seberang Takir terus hebat dicanang pelbagai pihak sebagai pengganti Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika ini.

Namun, laporan akhbar berbahasa Inggeris itu seakan mengiyakan perkara tersebut (pertukaran Menteri Besar) apabila Ahmad Razif difahamkan membatalkan kehadiran beliau dalam Majlis Penyerahan Jersi Kejohanan Bola Sepak Adun Seberang Takir yang diadakan di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir, malam semalam, secara tiba-tiba atas sebab tidak diketahui.

Berdasarkan sumber terdekat dengan anak jati Seberang Takir itu, pihak media dimaklumkan beliau terpaksa ke Kuala Lumpur dan dijangka menaiki penerbangan pada jam 4.15 petang semalam, namun sehingga jam 5.30 petang, beliau tidak muncul.

Ahmad Razif bagaimanapun dipercayai menggunakan jalan darat untuk ke Kuala Lumpur bagi mengelak bertemu media yang berkumpul di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).

Turut difahamkan, tujuan beliau ke ibu negara adalah untuk menemui pucuk pimpinan utama parti berkait pertukaran Menteri Besar yang dikhabarkan bakal dibuat pada 15 Mei ini, seperti mana yang diperkatakan ramai pihak sebelum ini.

Ahmad Razif yang merupakan satu-satunya wakil rakyat BN yang berjaya mempertahankan kerusi dalam PRU13 lalu di Parlimen Kuala Nerus dikatakan antara nama yang disenarai pendek sebagai Menteri Besar yang baharu.


                   Kenapa MB T’ganu seorang ada perjanjian dengan Najib ?

[hd]- Agak mengejutkan penggantian Menteri Besar Terengganu dikatakan kerana Datuk Seri Ahmad Said mempunyai perjanjian dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bersetuju untuk memegang jawatan itu untuk tempoh setahun saja selepas pilihan raya umum 5 Mei 2013 lalu.

“Memanglah tiada salahnya dan merupakan hak Najib untuk menukar mana-mana Menteri Besar atau pemimpin lain yang dikehendakinya,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya semalam.

Menurutnya, Najib boleh menukarnya dengan apa saja alasan atau tanpa alasan sekali pun kerana itulah kelebihan sebagai Perdana Menteri.

Tetapi yang ingin diketahui ialah benarkah Ahmad Said ada perjanjian tamat tempoh dengan Najib?

Tanya beliau, dpakah pula alasan perjanjian itu dibuat, adakah kerana prestasi buruk Umno Terengganu dalam pilihanraya umum lalu dan untuk menyuntik semangat baru menghadapi PRU14, maka seorang pemimpin baru perlu dilantik.

“Jika benar Ahmad Said ada perjanjian tamat tempoh yang perlu dipatuhi, bagaimana pula dengan peminpin negeri yang lain?" tanya beliau.

Baginya, tidakkah Menteri Besar Pahang dan Ketua Menteri Sabah yang lebih lama berkhidmat dan turut dilanda prlbagai masalah dalaman, juga sebenarnya perlu menandatangani perjanjian tamat tempoh yang sama.

Begitu juga, ujarnya bagaimana pula dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Perak dan lain pemimpin-pemimpin negeri yang turut mempunyai masalah tersendiri.

Beliau menambah, andainya hanya Ahmad yang diperlukan menandatangani perjanjian tamat tempoh dengan Najib, tentulah ia terlihat sesuatu yang tidak adil walaupun karektor dan kepimpinannya di Terengganu menimbulkan banyak masalah di negeri itu.

Ini, katanya kerana bukan Terengganu saja yang memerlukan suntikan semangat baru bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang, tetapi banyak negeri lain juga memerlukan perkara yang sama.

“Jika begitu, selain menukar Menteri Besar Terengganu, Najib sebenarnya perlu memberi perhatian yang seimbang untuk menukar ketua kerajaan di negeri yang lain juga,” ulasnya lagi.

Cumanya, bagi Shahbudin pertukaran itu mestilah disusuli dengan pertukaran di beberapa negeri lain serta rombakan yang serius di peringkat pusat.

Itu pun, katanya jika Najib benar-benar serius mahu menyuntik semangat baru dan masih mempunyai keinginan untuk memenangi pilihanraya umum akan datang yang masih berbaki tempohnya empat tahun lagi.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno negeri, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar pula mengatakan Najib telah berjanji dalam mesyuarat MT Umno dua minggu lalu bahawa Ahmad akan terus kekal mengetuai kerajaan negeri, hakikatnya tiada masalah jika pertukaran itu ingin dilakukan.

* [Panas] Ahmad Said Telah Menandatangani Surat Persetujuan Meletak Jawatan Sebagai Menteri Besar !

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.