Cari Blog Ini

Peristiwa Memali : Ada Polis Jumpa Saya Minta Maaf, Kata TG Haji Hadi Awang



Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa ada beberapa anggota Polis yang terlibat dalam operasi yang mengorbankan beberapa nyawa di Kampung Memali 29 tahun lalu datang meminta maaf kepadanya.

Abdul Hadi mendakwa kejadian itu berlaku selepas beliau menyampaikan ceramah di Pulau Pinang beberapa hari selepas peristiwa Memali.

Katanya, anggota Polis itu mengakui bahawa mereka terpaksa bertindak kasar terhadap ahli-ahli PAS di penduduk Kampung Memali ketika kejadian itu kerana mendapat arahan dari pihak atasan.

"Beberapa hari selepas berlakunya peristiwa Memali, saya hadir ke Pulau Pinang untuk menyampaikan ceramah atas jemputan PAS negeri tersebut.

"Selepas ceramah ada beberapa anggota Polis datang menemui saya dan memohon maaf kerana bertindak kasar terhadap ahli-ahli PAS di Kampung Memali.

"Mereka kata terpaksa bertindak begitu kerana mendapat arahan daripada pihak atasan," katanya ketika menyampaikan ceramah sempena program Himpunan Keadilan Untukmu Memali di sini, malam tadi.

Katanya, permohonan maaf dari anggota Polis itu merupakan bukti jelas bahawa Kerajaan telah bertindak zalim terhadap mangsa-mangsa kejadian Memali.

Sementara itu, timbalannya, Muhamad Sabu menegaskan peristiwa Memali merupakan bukti bahawa UMNO sering mengambil kesempatan ketika PAS berada dalam keadaan lemah.

Katanya, UMNO melalui kerajaan Barisan Nasional (BN) bertindak terhadap PAS ketika parti itu belum bergabung dengan mana-mana parti pembangkang seperti hari ini.

"Ketika berlakunya peristiwa Memali,  PAS belum bertahaluf dengan DAP, jadi ini bukti bahawa UMNO sentiasa mengkhianati perjuangan kita (PAS)," katanya.

Mohamad berkata, peristiwa Memali merupakan antara detik hitam dalam perjuangan PAS dan tidak akan dilupakan selagi kerajaan tidak membatalkan Kertas Putih yang telah dibentangkan sebelum ini.

Bagi Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar pula, kerajaan sepatutnya memulihkan hubungan dengan penduduk Kampung Memali dengan membatalkan Kertas Putih yang dibentangkan di Parlimen 28 tahun lalu.

Katanya dengan cara itu kerajaan akan lebih dilihat berjiwa besar dan bertanggungjawab terhadap apa yang beliau dakwa sebagai satu kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Kalau dengan Komunis pun kerajaan boleh mengadakan rundingan di Baling ini, kenapa tidak dengan keluarga mangsa-mangsa Memali?" Katanya.

astro awani

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.