Cari Blog Ini

MH370 : Maklumat Bercanggah, Hishamuddin Perlu Jelas



Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengecam laporan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dikeluarkan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam (1 Mei).

Dalam satu kenyataan media, Lim mendakwa laporan kehilangan pesawat itu tidak selari dengan laporan awal, pada 9 April lalu dan menyifatkan laporan itu bercanggah, selain Putrajaya merahsiakan operasi mencari serta menyelamat di Selat Melaka.

“Kawasan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) daripada awal pagi kehilangan Boeing 777 diperluaskan dari Laut Cina Selatan ke Selat Melaka tidak terdapat dalam laporan awal Hishammuddin bertarikh 9 April lalu tetapi hanya didedahkan dalam kenyataan, semalam.

“Mengapa Hishammuddin tidak mengumumkannya pada awal, sebaliknya menunggu 55 hari sehingga semalam mengeluarkan kenyataan bersama laporan awal kehilangan MH370?.

“Dua kenyataan laporan awal oleh Hishammuddin hanya menimbulkan lebih banyak persoalan,” katanya.

Beliau berkata, laporan yang dikeluarkan semalam itu tidak memuaskan dan tidak lengkap seterusnya berbeza dengan laporan insiden pesawat lain sebelum ini seperti Air France 447 dan insiden letupan enjin pesawat di Singapura, pada 2010.

“Laporan kehilangan pesawat Air France 447 mempunyai 128 muka surat dan laporan awal letupan enjin di Singapura mempunyai 40 muka surat yang lebih lengkap dengan diagram dan carta.

“Dalam laporan awal, kerajaan Malaysia hanya membuat satu cadangan keselamatan iaitu memasang sistem penjejak masa nyata dalam semua pesawat komersil,” katanya.

Sehubungan itu, Lim mendesak Hishammuddin memberikan penjelasan berkenaan percanggahan maklumat yang diberikan dalam laporan awal kehilangan MH370 yang dikeluarkan, semalam.

“Hishammuddin harus memberikan penjelasan memuaskan ke atas percanggahan terbaru ini. Beliau dan kerajaan harus memikul tanggungjawab dan dipersalahkan,” katanya.

Semalam, laporan awal yang didedahkan itu menyatakan Pusat Penyelarasan Menyelamat Kuala Lumpur (RCC) diaktifkan pada jam 5.30 pagi pada 8 Mac lalu, selepas semua usaha untuk berkomunikasi dan mengesan pesawat gagal.

Menurut laporan itu, pusat kawalan trafik udara Ho Chi Minh bertanya kepada Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) berkenaan kedudukan MH370 pada jam 1.38 pagi.

KLATCC kemudian menggerakkan usaha membabitkan Pusat Operasi MAS, Markas Tempur Udara Singapura (ACC), ACC Hong Kong dan ACC Phnom Penh untuk menentukan kedudukan MH370, namun unit ATC tidak dapat membuat sebarang komunikasi dan RCC digerakkan pada jam 5.30 pagi.

- selangorkini

                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.