Cari Blog Ini

Kemalangan Ngeri : Nahas 4 Kenderaan Ragut 2 Nyawa


Nahas 4 kenderaan ragut 2 nyawa
Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat Mohd Ghani yang tersepit di dalam lorinya akibat terjunam ke dalam gaung
Nahas 4 kenderaan ragut 2 nyawa
Orang ramai melihat kereta Rohaiza yang remuk teruk
Nahas 4 kenderaan ragut 2 nyawa
Bantuan kren turut digunakan untuk mengeluarkan lori yang terjunam di dalam gaung
[sinar]- Laluan Kuala Terengganu-Kota Bharu terus bermandi darah apabila dua lagi maut dalam kemalangan berdekatan Kampung Sungai Ikan, Tepuh, semalam.

Kejadian berlaku kurang 24 jam daripada insiden yang berlaku di Kampung Selamat, Sungai Tong, Setiu, kelmarin, yang turut mengorbankan dua nyawa.

Kemalangan kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku di Kilometer 29 berhampiran Tapak Pelupusan Sampah, Sungai Ikan, di sini, membabitkan empat kenderaan, iaitu sebuah lori 10 tan, dua Perodua Myvi dan sebuah van jenis Toyota Hiace yang membawa empat penumpang.

Mangsa yang maut adalah pemandu lori, Mohd Ghani Embong, 44, beralamat di Kampung Tok Ba, Wakaf Mesira, Tepuh dan pemandu Perodua  Myvi, Rohaiza Yusof, 35.

Pemandu sebuah lagi Perodua Myvi, juga seorang wanita, cedera, manakala keempat-empat penumpang van tidak cedera.

Lori berpusing rempuh 3 kenderaan

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu hilang kawalan, berpusing lalu merempuh tiga kenderaan lain yang berada di laluan bertentangan, sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam tiga meter.

Seorang saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Nik berkata, sebelum  kejadian, lori terbabit berada di belakangnya dan dipandu laju sebelum cuba memotong kenderaan yang dipandunya.

“Setibanya di tempat pembuangan sampah (tapak pelupusan sampah di Sungai Ikan), lori itu memotong.

Saya lihat  di hadapan jalan becak kerana baru lepas hujan," katanya.

Katanya, sebaik sahaja lori itu memotong, lori itu berpusing lalu melanggar kenderaan di hadapannya.

“Saya terkejut, terus tekan brek, tapi keadaan jalan ketika itu sangat licin dan dalam masa sama saya cuba mengelak sebuah lagi kereta Myvi yang menuju ke arah saya,” katanya.

Mangsa tersepit

Sementara itu, Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.50 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera.

“Setibanya di tempat kejadian, kita dapati dua mangsa tersepit, iaitu pemandu lori dan wanita yang memandu Perodua Myvi. Mereka meninggal dunia.

“Pihak kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit menggunakan pelbagai peralatan menyelamat, termasuk bantuan kren, kerana berdepan sedikit kesukaran, memandangkan lori tersebut terjatuh ke dalam gaung,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dengan kepakaran dan kekuatan 15 anggota, akhirnya mereka berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit akibat rempuhan kuat itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kedua mayat itu dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, seorang wanita bersama rakannya maut dalam kemalangan di Kilometer 46 Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu di Kampung Selamat, Setiu, ketika pulang ke kampung bagi menziarahi bapa saudaranya yang meninggal dunia.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, Proton Iswara dinaiki mangsa, Rosnazira Mahmud, 33, beralamat di Kampung Keroh Kuala Krai bersama Mohd Hafizan Jusoh @ Ab Ghafar, 35, berasal dari Kubang Parit, Kuala Terengganu, bertembung dengan Toyota Fortuner.

                          

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.