Cari Blog Ini

Dua Mangsa Culik Di Semporna Berjaya Dibebaskan



[mstar]- Dua wanita yang didakwa diculik dari sebuah resort di Sabah pada April lalu telah berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan perkara ini melalui akaun Twitternya setelah dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jumaat.

"Saya baru sahaja diberi taklimat oleh PDRM bahawa dua wanita yang diculik di sebuah resort di Sabah pada April lalu telah diselamatkan oleh pihak berkuasa kita.

"Kita sedang mengambil langkah untuk memudahkan urusan membawa pulang warga China ke negaranya secepat mungkin," katanya menerusi 'Tweet' kira-kira pukul 7.30 petang Jumaat.

Najib yang sedang mengadakan lawatan kerja ke China selama enam hari berkata mereka yang diculik dilepaskan tanpa perlu membayar wang tebusan.

"Tiada wang tebusan dibayar untuk pembebasan mereka.

"Kejayaan ini kerana kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menyelesaikan kes ini.

April lalu, seorang wanita warga China yang dikenal pasti sebagai Gao Hua Yun, 29 dan pekerja resort dari Filipina, Marcy Dayawan, 40 telah diculik dari resort Singamata Reef, berhampiran Semporna.

Polis percaya kumpulan yang bertanggungjawab menculik dua wanita itu berpangkalan di selatan Filipina dan mahu mendapatkan wang tebusan.

Polis turut mengesyaki bahawa kumpulan lelaki bersenjata itu mendapat "bantuan dalaman'' untuk memasuki resort itu.

Sementara itu The Star Online melaporkan bahawa kedua-dua mangsa telah dibawa keluar dari pulau Jolo Selatan Filipina dan tiba di Sandakan pada pukul 4.30 petang Jumaat.

Mereka diiringi anggota keselamatan dari Malaysia.

Menurut seorang pegawai keselamatan, dua orang pegawai telah bertolak ke Jolo pada pukul 10.30 pagi dan tiba di sana dua jam kemudian.

Dengan bantuan rakan-rakan dari Filipina, pegawai tersebut berjaya menyelamatkan Gao dan Marcy dari lokasi pergunungan terpencil di pulau itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.