Cari Blog Ini

DAP Dan MCA Buat Laporan Polis, Presiden Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) Disiasat Bawah Akta Hasutan


Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman bertegas kenyataannya adalah fakta sejarah mengenai orang Cina di Malaysia. Gambar fail.Saya tidak mohon maaf, ia fakta sejarah, kata presiden Isma

[tmi]- Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman hari ini menyelar DAP kerana membuat laporan polis terhadapnya atas apa yang didakwanya sebagai "fakta sejarah" mengenai orang Cina di Malaysia.

"DAP sepatutnya lebih demokratik, kenapa saya tidak dibenarkan untuk mengatakan apa yang saya ingin?

Mereka mendakwa mereka berjuang untuk kebebasan bersuara, tetapi jelas mereka tidak, "Tindakan mereka menunjukkan mereka tidak gentlemen," katanya kepada The Malaysian Insider, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke parti itu akan membuat laporan polis terhadapnya di seluruh negara atas kenyataannya terhadap masyarakat Cina.

Abdullah berkata semalam, orang Cina yang datang ke Tanah Melayu adalah "penceroboh" dan mempersoalkan kerakyatan dan kekayaan diberikan kepada mereka tetapi tidak menyatakan bagaimana cara untuk membetulkan yang dikatakan salah itu.

Kenyataannya mencetuskan kemarahan di kalangan masyarakat Cina, dengan ahli-ahli politik pelbagai kumpulan menuntut tindakan diambil terhadapnya.

Hari ini DAP dan MCA membuat laporan polis terhadap Abdullah di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis memulakan siasatan ke atas Abdullah di bawah Akta Hasutan.

Khalid juga memberi amaran kepada semua pihak yang membuat kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan.

Bagaimanapun, Abdullah berkata, kenyataan beliau tidak ada salahnya kerana beliau hanya menyatakan "satu fakta sejarah".

"Mengapa saya perlu memohon maaf untuk apa yang saya kata sebagai satu fakta sejarah; Cina terlupa asal-usul mereka, jadi saya mesti mengingatkan mereka.

"Saya enggan memohon maaf, mereka  (Cina) yang perlu berhati-hati dengan perasaan kita (orang Melayu).

"Mereka tidak seharusnya meminta kita saja yang menjaga perasaan mereka," kata Abdullah.

Abdullah berkata, beliau tidak terganggu dengan siasatan yang dimulakan polis terhadapnya, dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis.

Semalam, Abdullah bertanya melalui laman web Isma: "Siapa yang memberikan mereka kewarganegaraan dan kekayaan sehingga tindakan pencerobohan mereka dilindungi sehingga hari ini?

"Ini semua perlakuan British, yang bekerjasama dengan China untuk menindas dan membuli orang Melayu,” katanya.

Abdullah berkata, ini adalah satu kesilapan yang terpaksa diperbetulkan tetapi dia tidak mengatakan bagaimana.

"Tiada siapa yang mempunyai hak untuk menggadaikan kedaulatan Islam dan Melayu di atas tanah ini," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web Isma semalam.


DAP dan MCA buat laporan polis terhadap Isma

[tmi]- Dua parti yang berasaskan Cina, DAP dan MCA membuat laporan polis hari ini susulan daripada kenyataan NGO Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang mendakwa kaum Cina penceroboh bersama penjajah British‎.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam kenyataannya berkata laporan yang dibuat itu bertujuan menggesa pihak polis untuk segera mengadakan siasatan kerana kenyataan itu jelas bakal menjejaskan perpaduan keharmonian diantara kaum.

"Hari ini kita hadir bersama dan kita membuat sebanyak 9 laporan daripada DAP, untuk pihak polis segera menyiasat dibawah Akta Hasutan, Suruhanjaya Komunikasi atau apa sahaja akta yang berkaitan," katanya pada pemberita di hadapan Balai Polis Dang Wangi hari ini.

Kata Ahli Parlimen itu beliau juga mendesak, pihak berkuasa untuk segera menyiasat siapakah sebenarnya yang menulis kenyataan itu adakah Presiden Abdullah Zaik Abdul Rahman atau pun sebaliknya.

Terdahulu‎, MCA yang diwakili Biro Undang-Undang Pemuda Eric Choo Wei Sern turut membuat laporan terhadap NGO Islam itu di balai polis yang sama,

"Ini merupakan perkara yang tidak patut berlaku menuduh kaum Cina sebagai penceroboh tanah Melayu.

"Pihak berkuasa tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku, mereka harus segera bertindak, agar ia tidak menjadi kritikal lagi," katanya.

Pada masa sama Lim juga menegaskan ‎bahawa DAP selama ini mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan iaitu meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

"Laporan ini tidak bermaksud kita menentang orang Melayu, atau Islam tidak kerana kita cukup menghormati Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Lim juga berharap agar pihak berkuasa kali ini dapat bertindak ke atas presiden NGO tersebut.

"Kita tahu ini bukan kali pertama NGO itu mengeluarkan kenyataan yang berkaitan dengan sensitiviti kaum dan bukan kali pertama pihak polis hanya berdiam diri akan hal ini.

"Kita ingin mendesak pihak polis kalau Ahli Parlimen Seputeh boleh didakwa kenapa tidak presiden tersebut yang secara jelas menghina kaum Cina," katanya.

Lim juga berkata, pemimpin termasuk pemuda DAP seluruh negara akan terus membuat laporan polis mengenai perkara ini.

"‎Pemuda DAP, dan ahli parlimen seluruh negeri akan membuat laporan polis hari ini seperti di Mantin, Negeri Sembilan, Sabah, Ipoh dan banyak lagi," katanya.

Susulan daripada kenyataan kontroversi itu, hari ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan presiden Islam Abdullah Zaik disiasat mengikut Akta Hasutan susulan kenyataan dikeluarkannya berhubung kaum Cina yang dibawa ke Tanah Melayu adalah "penceroboh".

Khalid dalam satu kenyataannya berkata, Abdullah sedang disiasat berikutan kenyataannya itu.

Khalid  juga memberi amaran akan bertindak kepada mana-mana pihak yang cuba membuat kenyataan yang mengapikan permusuhan.

Semalam Abdullah Zaik dalam laman web rasmi Isma berkata, orang Cina yang datang ke Tanah Melayu adalah "penceroboh" dan mempersoalkan kerakyatan dan kekayaan yang diberikan kepada mereka tetapi tidak menyatakan bagaimana ia bercadang untuk membetulkan yang dikatakan salah ini.

"Siapa yang memberikan mereka kewarganegaraan dan kekayaan sehingga keputusan menceroboh mereka dilindungi sehingga hari ini?

"Ini semua perlakuan British, yang berada dalam kumpulan yang sama dengan China untuk menindas dan membuli orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan, seperti yang dilaporkan di laman web kumpulan itu.

Abdullah berkata, ini adalah satu kesilapan yang terpaksa diperbetulkan tetapi beliau tidak mengatakan bagaimana.

"Tiada siapa yang mempunyai hak untuk menggadaikan kedaulatan Islam dan Melayu di atas tanah ini," katanya, semalam.


Ketua polis negara sahkan presiden Isma disiasat bawah Akta Hasutan

[tmi]- Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman disiasat mengikut Akta Hasutan susulan kenyataan dikeluarkannya berhubung kaum Cina yang dibawa ke Tanah Melayu adalah "penceroboh".

Khalid dalam satu kenyataannya berkata, Abdullah sedang disiasat berikutan kenyataannya itu.

Khalid  juga memberi amaran akan bertindak kepada mana-mana pihak yang cuba membuat kenyataan yang mengapikan permusuhan.

"Nasihat saya kepada semua adalah berhati-hati dalam membuat kenyataan yang boleh membawa kepada ketegangan kaum dalam negara ini," katanya.

Abdullah dikritik hebat hari ini apabila ahli politik Cina daripada kedua-dua kumpulan politik meluahkan kemarahan atas kenyataan kumpulan itu terhadap masyarakat Cina di negara ini.

Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong mendesak polis menyiasat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu kerana mengatakan kaum Cina yang dibawa ke Tanah Melayu adalah "penceroboh " kerana kenyataan seperti itu berbahaya kepada masyarakat .

"Apabila anda membuat tuduhan seperti itu, sudah tentu anda akan mendapat reaksi. Masyarakat Cina akan marah, keseluruhan MCA marah dengan kenyataan ini, " kata Ahli Parlimen Barisan Nasional Ayer Itam itu kepada The Malaysian Insider, hari ini.

"Ia tidak baik, ia tidak boleh diterima dan pihak berkuasa perlu menyiasat Isma . Malah, penyiasatan ini sudah lambat dan polis tahu undang-undang terbaik untuk menyiasat mereka,” katanya.

Beliau berkata, presiden Isma gagal memahami sumbangan orang Cina kepada negara ini dan menggesa beliau menghentikan menyamakan seluruh komuniti itu.

"Abdullah, jangan sekali-kali fikir orang Cina adalah orang jahat. Kami bekerja keras, dan kami anggap negara ini adalah satu-satunya negara kami, tidak ada tempat  lain lagi untuk kami pergi.

"Apabila warga internet di China menyerang Malaysia (ekoran kehilangan pesawat MH370), mereka tidak mengecualikan Cina Malaysia kerana mereka tahu kita adalah sebahagian daripada Malaysia, ini adalah negara kita,” kata Wee.

Pemimpin Umno, bekas Timbalan Menteri Pelajaran Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah juga kesal dengan kenyataan Abdullah dan menggesa polis menyiasatnya.

"Hentikan sentimen anti-Cina dan anti-Kristian sebelum ia bertukar kepada sesuatu yang lebih teruk. Pihak berkuasa perlu menyiasat, " katanya melalui akaun Twitternya, hari ini.

Abdullah Zaik berkata, orang Cina yang datang ke Tanah Melayu adalah "penceroboh" dan mempersoalkan kerakyatan dan kekayaan yang diberikan kepada mereka tetapi tidak menyatakan bagaimana ia bercadang untuk membetulkan yang dikatakan salah ini.

"Siapa yang memberikan mereka kewarganegaraan dan kekayaan sehingga keputusan menceroboh mereka dilindungi sehingga hari ini?

"Ini semua perlakuan British, yang berada dalam kumpulan yang sama dengan China untuk menindas dan membuli orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan, seperti yang dilaporkan di laman web kumpulan itu.

Abdullah berkata, ini adalah satu kesilapan yang terpaksa diperbetulkan tetapi beliau tidak mengatakan bagaimana.

"Tiada siapa yang mempunyai hak untuk menggadaikan kedaulatan Islam dan Melayu di atas tanah ini," katanya, semalam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata DAP mengutuk "pembohongan berbahaya" Isma ini yang mengajak kepada pelampau agama dan kaum.

Beliau menyamakan bahasa kumpulan itu dengan yang digunakan terhadap minoriti Rohingya Islam untuk mewajarkan penindasan masyarakat itu di Myanmar.

"DAP juga mengutuk peguam negara kerana gagal bertindak terhadap kenyataan rasis ini dan berfikiran sempit dalam agama yang menggunakan bahasa keganasan, kerajaan BN kelihatan secara tidak langsung menggalakkan kebencian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pembohongan Isma ini mempunyai kecenderungan menghasut di bawah Seksyen 3 (1) Akta Hasutan, dengan menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan yang berlainan dalam Malaysia.

Lim berkata, Isma juga mempersoalkan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan semua rakyat Malaysia.

"Bagaimana peguam negara boleh layak untuk memegang jawatan itu dan berfungsi secara saksama untuk menegakkan undang-undang apabila wujudnya persendaan double standard, " kata Lim.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, berkata parti itu akan memastikan tindakan dibuat terhadap Isma dengan membuat laporan polis terhadap Isma di seluruh negara hari ini.

"Komen bukan saja sangat tidak sensitif dan menghasut, tetapi penyelewengan fakta sejarah. Ini adalah pelampau yang cuba menghancurkan keharmonian antara kaum di negara ini, " kata ahli Parlimen Seremban itu.

"Kewujudan mereka adalah ancaman kepada masyarakat Malaysia sendiri, dan jika dibiarkan , boleh membawa kepada jenayah kebencian di negara ini. Kerajaan mesti menghentikan ini dengan segera, " katanya.

Loke berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menteri Kabinet perlu melangkah ke depan dan mengutuk kenyataan Isma itu untuk memastikan NGO ini dikawal.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang, berkata polis berat sebelah jika gagal menyiasat Isma, selepas polis menyiasat dan mendakwa  Naib Pengerusi  DAP, Teresa Kok atas dakwaan menghasut melalui video sinikalnya.

"Kenyataan Isma menyebabkan perasaan negatif meningkat di kalangan masyarakat, terutama di kalangan masyarakat Cina dan Melayu, dan ia pasti memerlukan siasatan polis.

"Jika polis tidak mengambil tindakan, ia akan dilihat sebagai double standard kerana sebelum ini mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap Kok," kata Tan kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, Abdullah perlu disiasat di bawah Akta Multimedia, kerana komen diberikan di laman web Isma sendiri.

"Saya tidak bersetuju dengan penggunaan Akta Hasutan kerana saya tidak fikir Kok patut dikenakan tindakan di bawah akta itu. Jadi pilihan yang jelas adalah Akta Multimedia.

"Isma hanya perlu diam, atau kurang bercakap. Semakin mereka bercakap, lebih banyak orang benci Isma, " kata Tan.

                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.