Cari Blog Ini

Umno Gunakan Hudud Untuk Pecahkan Pakatan Rakyat



Pihak dalaman PAS menyalahkan Umno yang tidak berhenti dan terus-menerus memainkan isu untuk melaksanakan undang-undang syariah, termasuk hudud, sehingga menimbulkan pergeseran antara parti dalam Pakatan Rakyat.

Bekas ahli Exco Kelantan dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) berkata beliau yakin Umno cuba memecahbelahkan perpaduan dalam Pakatan.

Beliau juga tidak fikir rang undang-undang persendirian itu boleh pergi jauh selagi Umno tidak membuat pendirian jelas mengenai perkara itu.

"Bagi saya, isu paling besar di sini sebelum kita pergi lebih jauh, adalah untuk mengetahui apakah pendirian Najib.

Adakah BN akan menyokong rang undang-undang persendirian ini?

Jika benar, maka kita boleh berbincang. Jika tidak, jelas mereka hanya mempermainkan PAS demi kepentingan agenda mereka," katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak minggu lepas, bahawa Umno bersedia mendengar cadangan PAS mengenai pelaksanaan hudud.

"Kita hendak tahu cadangan PAS. Kita tidak tahu lagi sebenarnya. Kalau PAS hendak kemukakan pada kita, kita sedia terima," Najib berkata.

"Lihatlah apa yang PAS hendak cadangkan," katanya.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini mengumumkan rancangan kerajaan negeri Kelantan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian dalam Parlimen untuk membolehkan hudud dilaksanakan di negeri itu.

Rang undang-undang berkenaan akan membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang diluluskan pada 1993 oleh Dewan Undangan Negeri dikuatkuasakan.

Pengumuman Ahmad Yakob dibuat kira-kira seminggu selepas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa Putrajaya akan menyokong langkah kerajaan untuk melaksanakan hudud.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah berkata minggu lepas, kerajaan negeri tidak perlukan restu PKR dan DAP untuk melaksanakan hudud kerana isu ini bermula sebelum PAS bersama Pakatan Rakyat.

Turut bersetuju dengan Husam, seorang aktivis parti memberitahu The Malaysian Insider bahawa terdapat puak tertentu dalam parti yang bertekad untuk menguatkan sokongan Melayu kepada PAS.

Ahli-ahli puak ini juga, menurut beliau, yang mengatur pertemuan hujung minggu lalu antara Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Mereka mahu mengulangi perpecahan Barisan Alternatif  (BA) yang terjadi selepas PAS cuba melaksanakan hudud di Terengganu. Ia menyebabkan DAP keluar dan BA hancur.

"Jika itu berlaku, maka PAS boleh bergabung tenaga dengan Umno," kata aktivis itu.

Satu lagi sumber dalaman parti berkata, kumpulan itu mahu mempunyai "hubungan kerja" dengan Umno dan pada masa yang sama mahu kekal dalam PR.

"Bagaimana ini akan dicapai, masih lagi diusahakan, " katanya.

Hubungan PAS-DAP menjadi tegang selepas Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke mencadangkan PAS meninggalkan Pakatan sekiranya ia berniat melaksanakan hudud di Kelantan.

Ahli Parlimen Seremban mendesak PAS menghormati dan mematuhi konsensus yang dipersetujui oleh PKR, DAP dan PAS.

Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memburukkan keadaan apabila beliau dipetik dalam media berkata pada hari Ahad bahawa PR bersetuju dengan agenda hudud PAS di Kelantan.

Dakwaan itu segera disangkal pemimpin DAP, termasuk Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, mengingatkan Hadi bahawa DAP tidak pernah bersetuju berhubung pelaksanaan hudud di mana-mana negeri.

Dalam usaha menenangkan situasi, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa pemimpin parti berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu dan menunggu mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan.

Pemimpin Pakatan sedang bersedia untuk bertemu dalam beberapa hari lagi.

Kit Siang berkata, mesyuarat itu akan diadakan secepat mungkin, namun belum ada maklumat berkenaan tarikh atau tempat ia diadakan.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, satu mesyuarat akan diadakan secepat mungkin.

"Kita akan bertemu untuk membincangkan isu itu dan saya berharap penyelesaian akan dicapai," kata Mohamad kepada The Malaysian Insider.


Hudud: PAS perlu nilai sedalamnya ‘sokongan’ Umno

DAP menggesa PAS menilai sedalam-dalamnya kesan politik yang bakal dihadapi, akibat termakan dengan ‘sokongan’ Umno dalam rancangannya melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

Ini kerana Umno selama ini tidak pernah menyokong, malah menjadi penghalang utama parti itu dalam melaksanakannya sejak era pentadbiran bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di sini semalam.

“Perangkap Umno dibuka melalui kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen, kononnya Umno sanggup menolong PAS melaksanakan hudud.

“Dengan jatuh ke dalam perangkap Umno, PAS berisiko mengkhianati sokongan pengundi bukan-Islam yang memilihnya dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 dan (mencetuskan) perpecahan Pakatan Rakyat yang sangat diidam-idamkan Umno.

“PAS juga pada PRU akan datang menanggung risiko kehilangan Kelantan sepertimana Terengganu dalam PRU pada tahun 2004 selepas meluluskan hudud pada tahun sebelumnya, serta tewas semua kerusi yang dimenangi dengan sokongan bukan-Muslim di negeri-negeri lain,” tegas Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Isu yang sering menjadi senjata Umno terhadap PAS itu kembali timbul, selepas PAS Kelantan merancang membentangkan rang undang-undang persendirian pelaksanaan hudud di Parlimen Jun ini.

Sehingga tahun 2011, Umno konsisten menentang hudud apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika itu menyatakan, kerajaan tidak akan menguatkuasakannya ekoran faktor keadaan dan realiti semasa.

Namun, nada itu tiba-tiba berubah selepas Najib baru-baru ini dilaporkan berkata, bersedia mendengar cadangan PAS dan mendapatkan sokongan Ahli-ahli Parlimen Umno.

Mesyuarat CEC semalam juga menegaskan semula asas kerjasama parti-parti dalam Pakatan Rakyat, iaitu dasar Pakatan perlu mendapat persetujuan bersama ketiga-tiga parti PAS, DAP dan PKR.

“DAP konsisten dalam pendiriannya bahawa pelaksanaan hudud ke atas orang Islam, sama ada oleh PAS, Umno atau mana-mana parti di Kelantan atau Terengganu, adalah bertentangan dengan Perlembagaan, semangat Merdeka 1957 dan konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Justeru, beliau meminta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membaca dan memahami secara keseluruhan kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada tahun 2011, yang jelas menunjukkan pendirian DAP berhubung isu itu.

Pada 26 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Abdul Hadi bahawa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tidak pernah membuat keputusan untuk menolak hukum hudud.

“Pimpinan DAP akan sentiasa berhubung dengan PAS bagi menekankan bahawa kami tidak pernah bersetuju dengan undang-undang itu yang diluluskan PAS di Kelantan dan Terengganu, sebelum atau selepas penubuhan Pakatan pada tahun 2008,” katanya lagi.

- Roketkini

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

betul jgk ckp berahim ali...x sokong susah...sokong susah...opportunist betul pkr dan tali barut ni

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.