Cari Blog Ini

MH370 : Kerajaan Akan Menyembunyikan Maklumat, Jika Kotak Hitam Ditemui !


Kerajaan dikhuatiri sorok maklumat MH370 jika kotak hitam ditemui
[kd]- Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen bimbang kerajaan akan menyembunyikan maklumat kotak hitam pesawat MH370 jika kerajaan mendapat hak pemilikan alat perakam tersebut.

Katanya, kelemahan kerajaan dalam pengendalian pencarian pesawat ini akan terus dipersoal jika Malaysia menyimpan rahsia maklumat kotak hitam tersebut.

“Sekarang pesawat masih belum ditemui lagi. Jika kotak hitam berada di tangan kerajaan, maklumat akan disembunyikan

“Rakyat ragu sama ada data kotak hitam akan dirahsiakan oleh kerajaan,” katanya.

Sebelum ini mengikut kajian dalam portal Malaysian Insider mendapati, lebih 50 peratus penduduk Malaysia yakin kerajaan menyembunyikan maklumat pencarian MH370.

“Tinjauan tersebut (menyatakan) rakyat tidak beri kepercayaan kepada kerajaan dalam menguruskan pencarian MH 370, ” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa hak kotak hitam tersebut tidak perlu menjadi isu utama, kerana penyampaian maklumat secara telus adalah lebih penting dalam misi pengendalian kehilangan pesawat ini.

“Soalnya sekarang bukan tuan punya kotak. Kena beri pakar untuk uruskan supaya dapat memberi maklumat yang lebih telus,” katanya.

Kerajaan Malaysia menhantar Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berunding di peringkat antarabangsa mengenai pihak mana yang wajar mempunyai hak ke atas alat perakam data penerbangan (kotak hitam) jika ia ditemui.

Rundingan kini dibuat bersama Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)di United Kingdom (UK).


                                  Kotak hitam: Hak jagaan sedang dibincang

Malaysia sedang berbincang dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan pakar-pakar mengenai siapakah sebenarnya yang berhak menjaga kotak hitam penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang itu.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail kini berada di United Kingdom untuk membincangkan perkara itu termasuk dengan agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

"Peguam Negara kini di UK (United Kingdom) membincangkan dengan pihak berkuasa berkaitan seperti ICAO dan pakar-pakar yang terlibat, berdasarkan undang-undang tempatan dan antarabangsa, siapa sebenarnya mempunyai hak penjagaan ke atas kotak hitam itu," beliau memberitahu wartawan selepas melawat tapak pameran Defence Services Asia, di sini hari ini.

Boeing 777-200ER itu didaftarkan di Malaysia dan dimiliki MAS. Di bawahKonvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa, negara asal pesawat itu, Malaysia perlu melakukan siasatan dan mendapatkan serpihan pesawat.

Bagaimanapun, Malaysia telah meminta Australia untuk mengetuai pencarian pesawat itu di selatan Lautan Hindi.

Namun, Hishammuddin berkata tumpuan tetap kepada mencari pesawat itu dahulu, yang telah hilang selama 37 hari daripada skrin radar sejak 8 Mac lepas.

Beliau berkata tiada panggilan telefon dari pembantu juruterbang MH370, Fariq Abdul Hamid ketika pesawat itu terbang rendah pada hari ia hilang seperti dilaporkan dalam akhbar-akhbar.

Bagaimanapun, beliau berkata isu itu dalam perhatian polis dan lain-lain agensi antarabangsa berkaitan dan akan didedahkan apabila masanya tiba.

"Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai perkara itu untuk menghormati keluarga juruterbang dan pembantu juruterbang, dan saya tidak mahu mengganggu penyiasatan yang berjalan sekarang, tidak hanya oleh polis Malaysia tetapi agensi perisikan lain," katanya.

Hishammuddin juga berkata berdasarkan siasatan semasa, tiada keadaan yang mencurigakan pada manifes penumpang dan polis masih menyiasat empat kemungkinan di atas kehilangan MH370.

"Polis masih menyiasat kemungkinan rampasan, isu keganasan, masalah peribadi dan psikologi. Siasatan masih berjalan," katanya.

Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac lepas dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di atas Laut China Selatan.  Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

- Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.