Cari Blog Ini

Khutbah Jumaat : Jakim Perlu Berani Tegur Pemimpin, Selain Memberikan Nasihat Kepada Rakyat


Khutbah Jakim perlu berani tegur pemimpin, bukan hanya rakyat, kata PKR
Selain memberikan nasihat kepada rakyat melalui khutbah setiap hari Jumaat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga seharusnya berani menegur kesilapan pemimpin melalui kaedah sama kerana khutbah Jumaat merupakan salah satu platform mencari penyelesaian dalam Islam, kata PKR.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, khutbah Jakim kebelakangan ini dilihat kerap menyentuh soal pembaziran sedangkan sikap pembaziran kerajaan juga perlu ditegur.

"Khutbah Jumaat bukan hanya untuk rakyat, tetapi juga pemimpin. Tujuan khutbah untuk menasihati, menegur dan cari penyelesaian.

"Namun mimbar Jumaat Jakim menasihati rakyat agar menjauhi hutang, tetapi hutang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Saifuddin berkata, khutbah Jumaat sejak awal bulan lalu kerap menyentuh isu berhubung pembaziran dalam perbelanjaan serta menyentuh soal pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Sudah sampai masa Jakim turut melihat pelaksanaan GST yang sangat membebankan rakyat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

Beliau berkata, dua siri khutbah Jakim yang didengarnya, bertajuk "Memakmurkan Ekonomi Tanggungjawab Bersama" pada 4 April dan "Memperkasa Ekonomi Ummah" pada 11 April, turut menyentuh isu tersebut.

"Isi kandungannya sangat jelas menunjukkan bagaimana Jakim sangat tersisih dengan realiti sebenar kehidupan rakyat bawahan.

"Saya tertanya-tanya sama ada Jakim ambil maklum, daripada 12 juta tenaga kerja di negara kita, kurang 2 juta rakyat membayar cukai kerana pendapatan rakyat diwajibkan tak sampai tahap dikenakan cukai.

"Ini bermaksud jurang pendapatan kaya miskin sangat luas," katanya, dan menambah, "sedangkan pelaksanaan GST beri kesan kepada rakyat pendapatan bawahan".

Minggu lalu, Putrajaya membentangkan rang undang-undang GST yang dijangka berkuatkuasa April 2015.

"Alasan kerajaan bentang GST ialah bertujuan untuk menangani isu hutang negara yang mencecah 48% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Langkah kerajaan melaksanakan GST untuk kumpul RM20 bilion dalam bentuk cukai baru, kerana kerajaan mengatakan beban subsidi dan bergantung kepada minyak dan gas yang berkurangan.

"Bagi tujuan itu kerajaan bentang GST kerana tidak sanggup bergantung beban subsidi dan minyak gas," tambah Saifuddin.

Beliau turut mempersoalkan Jakim sama ada badan penguatkuasa agama itu mengetahui kadar hutang sepanjang pemerintahan Najib hampir menyamai jumlah hutang daripada zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman sehingga Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Adakah Jakim memahami beban hutang ini adalah ketika Najib jadi perdana menteri?" soalnya lagi.

"Kalau tujuan untuk tambah pendapatan negara, perbelanjaan kerajaan perlu lebih berdisiplin," katanya.

The Malaysian Insider

                   
                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.