Cari Blog Ini

Isu Memali : Lagi Pendedahan Musa Hitam, 'Beliau Tidak Memangku Jawatan PM Pada Hari Peristiwa Memali Berlaku'


'Saya Tidak Memangku Jawatan PM Pada Hari Peristiwa Memali Berlaku' - Musa Hitam
Tun Musa Hitam pada Jumaat mendakwa beliau tidak memangku jawatan Perdana Menteri pada hari peristiwa Memali berlaku kerana Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berada di dalam negara.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata pada hari kejadian, beliau bersama Pemangku Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Amin Osman telah menemui Dr Mahathir di pejabatnya dan Mohd Amin memberikan taklimat tentang perkara yang berlaku.

Taklimat itu mengenai operasi polis di Memali yang melibatkan kematian empat anggota polis dan 14 orang awam.

"Dalam pertemuan tersebut saya memohon agar Dr Mahathir menangguhkan program lawatan ke China atas tiga sebab (iaitu) peristiwa ini berlaku di negeri Kedah, negeri perdana menteri sendiri; peristiwa ini melibatkan orang Melayu beragama Islam.

"(Dan) dengan menangguhkan lawatan ke China, Dr Mahathir memperlihatkan sifat ia mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam kejadian pada 19 November 1985 itu, seramai 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.

(Menurut laporan media, pertempuran antara pihak polis dan penduduk kampung Memali berlaku apabila penduduk cuba menghalang Ibrahim Libya dari ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.)

Musa berkata, beliau memaklumkan cadangannya untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen kepada Dr Mahathir yang pada ketika itu membuat keputusan untuk tetap berlepas ke China.

"Saya telah membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat pada keesokkan harinya (20 November 1985) dan selanjutnya mengadakan perjumpaan media," katanya.

Namun, Musa, yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, berkata beliau mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap apa yang berlaku walaupun tidak terlibat secara langsung dalam peristiwa berkenaan.  
"...tetapi (saya) menyerahkan kepada budi bicara pihak polis untuk melaksanakan operasi dari segi menentukan waktu terbaik ia dilakukan serta kaedah dan pendekatan untuk melaksanakan operasi.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri (pada ketika itu) saya telah menggariskan panduan umum, memberi ingatan dan mengarahkan pihak polis tentang dua perkara (iaitu) proses undang-undang hendaklah dipatuhi dan elakkan kekerasan dan pertumpahan darah," katanya.

Musa berkata, beliau tidak berniat untuk mencetuskan polemik baharu berkaitan Memali, tetapi ia dihidupkan semula berikutan responsnya kepada soalan yang diajukan oleh seorang moderator dalam program diskusi anjuran kerajaan negeri Kelantan, 27 Mac lepas.

"Saya berterus terang dan dengan ikhlas serta penuh insaf mengaku bahawa titik hitam dalam sejarah karier politik saya ialah peristiwa Memali," katanya sambil menambah beliau telah dicerca, dicela dan dinista mengenai peristiwa itu oleh pelbagai pihak terutama oleh parti PAS.

"Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan Menteri; tidak ada pihak baik daripada kerajaan, begitu juga parti Umno yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar.

"Saya pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus atas subjek peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia mewawancara saya.

"Saya sedar dan memahami ketika itu tidak ada pihak yang bersedia berhadapan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan dan batang tubuh seorang Perdana Menteri yang sedang berkuasa," katanya.

Musa berkata, beliau sedar perkembangan terbaru itu telah menjemput pelbagai ulasan dan pandangan positif mahupun negatif, tidak terkecuali yang berbentuk tohmahan, tuduhan dan fitnah baharu ke atas dirinya.

"Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah Ilahi memakbulkan doa saya.

"Saya serahkan segala-galanya kepada Allah yang Maha Mengetahui akan kebenaran dan kepada Nya saya memohon petunjuk dan keadilan," katanya.

- Bernama


Memali: Dr Mahathir ada di Kuala Lumpur dengar taklimat bersama pemangku KPN, kata Musa

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam (gambar) berkata beliau dan pemangku ketua polis negara pada masa itu memberikan taklimat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu pada hari kejadian Memali, 19 November 1985.

Dalam pertemuan itu, beliau memohon Dr Mahathir menangguhkan program lawatan ke China atas tiga sebab :-

1. Peristiwa ini berlaku di Kedah; negeri perdana menteri sendiri.

2. Peristiwa ini melibatkan orang Melayu beragama Islam.

3. Dengan menangguhkan lawatan ke China, Dr Mahathir menunjukkan beliau mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang berlaku di dalam negeri.

Bagaimanapun, Musa berkata, Dr Mahathir membuat keputusan untuk tetap berlepas ke China.

"Saya memaklumkan kepadanya cadangan untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen," kata Musa dalam satu kenyataan bertulis, hari ini.

Musa menjelaskan perkara itu susulan polemik yang timbul selepas kenyataannya dalam satu forum di Kota Baru sebelum ini mengenai Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur dan bukannya di China ketika kejadian Memali yang menyebabkan 14 orang dan empat anggota polis terbunuh.

Musa berkata, beliau tidak berniat mahu mencetuskan polemik baru berkaitan Memali.

"Ia dihidupkan semula berikutan respons saya kepada soalan yang diajukan oleh moderator dalam program diskusi yang diadakan," katanya merujuk kepada diskusi di Kota Baru itu yang turut disertai Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Profesor Dr Mohammad Agus Yusof sebagai moderator.

Berikutan dakwaannya itu, Dr Mahathir berkata, beliau akan mengkaji semula kenyataan Musa dan akan memberikan jawapan selepas kajian dibuat kerana perkara itu sudah lama berlaku.

Ketika Dr Mahathir berdiam diri, pelbagai tulisan dan kenyataan dikeluarkan oleh penyokong Dr Mahathir untuk mempertahankan beliau termasuk bekas menteri penerangan dan ketua pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zainudin Maidin yang lebih dikenali sebagai Zam.

Zam berkata, Dr Mahathir berada di China pada ketika itu tetapi ia berdasarkan ingatan beliau sahaja.

Musa berkata:"Berdasarkan penyelidikan daripada bahan rujukan yang masih dapat saya temui, nyata Dr Mahathir berada di dalam negara pada hari tercetusnya peristiwa Memali, dan saya tidak memangku jawatan perdana menteri pada hari tersebut.”

Katanya, pengakuan beliau Dr Mahathir berada di dalam negara ketika peristiwa Memali juga ditegaskan sebelum ini.

Sewaktu berlangsung prosiding kes dakwaan beliau terhadap seorang penulis di mahkamah beberapa tahun lalu (ketika Dr Mahathir masih perdana menteri) di mana beliau berjaya dalam kes itu, peguam bela bertanya dua soalan yang serupa, sama ada Dr Mahathir berada di dalam negara pada hari peristiwa Memali berlaku dan adakah beliau memangku jawatan perdana menteri.

"Saya beri jawapan konsisten iaitu beliau berada di dalam negara dan saya tidak memangku jawatan perdana menteri.

Tetapi tidak ada media yang sedia melaporkan fakta ini," katanya.

Katanya, sekian lama beliau dicerca, dicela dan dinista mengenai peristiwa Memali oleh pelbagai pihak terutama oleh PAS.

"Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan menteri; tidak ada pihak baik daripada kerajaan, begitu juga parti Umno yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar," kata  Musa.

Musa berkata, beliau pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus mengenai peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia menemubualnya.

"Saya sedar dan memahami ketika itu tidak ada pihak yang sedia berdepan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan dan batang tubuh seorang perdana menteri yang sedang berkuasa.

"Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah Ilahi memakbulkan doa saya," katanya.

Ruang tersebut, katanya, memberikan beliau peluang untuk memperbetulkan fakta sejarah mengenai peristiwa penting yang melibatkan dirinya.

"Saya bersyukur ke hadrat Ilahi yang memberikan peluang kepada saya.

Saya sedar perkembangan terbaru ini menjemput pelbagai ulasan dan pandangan secara positif dan negatif, tidak terkecuali yang berbentuk tohmahan, tuduhan dan fitnah baru ke atas diri saya.

"Saya serahkan segala-galanya kepada Allah yang Maha Mengetahui kebenaran dan kepadaNya saya memohon petunjuk dan keadilan," kata Musa dalam kenyataan itu.

The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.