Cari Blog Ini

Hudud : UMNO Mahu Kerjasama Dengan PAS, Kata Muhyiddin


Muhyiddin Nik Aziz
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menziarahi bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediamannya di Pulau Melaka
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno ingin bekerjasama dengan PAS bagaimana untuk memberikan pemahaman kepada semua pihak tentang hudud.

Tetapi yang penting, kata beliau, adalah duduk semeja untuk berbincang sebelum PAS bertindak membawa usul hudud ke Parlimen.

Timbalan Presiden Umno itu berkata beliau telah mengutarakan cadangan itu kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini.

Mohd Amar memberi reaksi positif, kata Muhyiddin.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Profesionalisme Pengurusan Pendidikan: Kepimpinan Berprestij Tinggi, di Bahagian Teknologi Pendidikan di sini.

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Noor Zahidi Omar, Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan Hussain Awang, dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Ditanya sama ada Umno akan menyokong PAS dalam perkara hudud itu, Muhyiddin berkata ketika ini tiada siapa pun berhak membuat andaian sama ada menyokong atau tidak kerana apa yang bakal berlaku itu adalah perkara baharu dalam sejarah negara.

(Kerajaan PAS Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu akan membawa usul rang undang-undang persendirian (hukum Hudud) di Dewan Rakyat Jun depan bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan hukum hudud di negeri itu).

"Tidak boleh buat andaian. Kita mahu tahu ceritanya dahulu. Kalau tak sokong nanti kata tak sokong hudud...ia membawa banyak makna.

Kita mungkin tidak bersetuju mengenai usul itu. Ini satu perkara baharu dalam negara.

"Ia perlu diperhalusi dan diteliti dan persoalan kerana khuatir akan berbangkit kemudian.

Ada perkara lain yang perlu diselesaikan dahulu sebelum dibawa ke Parlimen," katanya.

Muhyiddin berkata hukum hudud itu perlu diperbincangkan secara halus kerana masih ramai yang tidak memahami hudud.

"Saya fikir ada orang Islam yang masih tidak faham dan ini memerlukan penerangan yang meluas dan mendalam.

"Orang bukan Islam pun mahu tahu keadaan itu kerana ini sebuah negara yang merdeka dan rakyat lain berhak tahu walaupun dia bukan Islam.

"Pasal dia takut kesan kepada pelaksanaan itu akan membawa kesan kepada mereka," katanya.

"Sebab itu kena duduk berbincang dan daripada situ kita akan memperolehi penemuan dan perakuan iaitu situasi sebenar sebelum usul itu dibawa ke Parlimen.

"PAS hanya ada 21 wakil di Parlimen. Sebab itu mereka memerlukan sokongan daripada yang lain.

Siapa yang mahu sokong...Umno sahaja kah? atau ahli Parlimen Islam yang lain," katanya.

Beliau berkata parti sekutu PAS iaitu DAP tidak perlu mempertikaikan keikhlasan Umno untuk berbincang mengenai hudud itu kerana Umno mempunyai pendirian yang perlu diterima.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Umno bercadang mewujudkan sebuah jawatankuasa teknikal mengenai hudud di peringkat kebangsaan.

Jawatankuasa itu akan disertai pihak yang arif mengenai hukum hudud termasuk pakar-pakar hukum agama dari luar negara, katanya.

- Bernama


                     Hudud: PAS sedia terima keputusan undian di Parlimen

Presiden Umno wajar menyatakan pendirian dan sikap sebenar dengan ikhlas dan berhenti dari berdolak dalik berhubung rang-rang undang-undang yang ingin dibawa PAS di Parlimen.

Justeru, Ketua Whip Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata PAS bersedia memberi laluan kepada kerajaan untuk membawa cadangan pindaan undang undang untuk membolehkan Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 secara demokratik dan sedia menerima apa pun keputusan undian di Parlimen.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat menyatakan demikian dalam satu kenyatan hari ini, sebagaimana di bawah.

Lanjutan dari pengumuman yang dibuat oleh YAB Menteri Besar Kelantan berhubung keputusan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian (private member’s bill) bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 atau undang-undang hudud dikuatkuasakan di Kelantan, pelbagai pihak tampil memberikan pandangan, sama ada pro atau kontra.

Sebagai sebuah parti yang sejak dari awal penubuhannya bergerak di atas landasan demokrasi, PAS menghormati dan mengalu-mengalukan apa jua pandangan dan kritikan yang diberikan.

Dalam hal ini, PAS juga ingin menyatakan kesediaan untuk berdialog dengan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan penjelasan atau memberikan kritikan, teguran atau pandangan terhadap rang undang-rang undang yang ingin dibentangkan dan juga terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (hudud) yang ingin dikuatkuasakan.

Meskipun undang-undang hudud adalah undang-undang Allah yang bersumberkan Al-Quran dan Al-Hadis, namun lantaran penguatkuasaannya dilaksanakan oleh manusia, PAS akur bahawa sudah tentu terdapat ruang-ruang yang boleh diperbaiki, baik dari aspek undang-undang substantif mahupun dari aspek prosedural.

Dalam masa yang sama, PAS juga menyeru kepada pihak-pihak yang menentang atau tidak bersetuju dengan penguatkuasaan undang-undang hudud ini supaya sekurang-kurangnya menghormati hak demokratik PAS untuk membentangkan rang undang-undang berkaitan di Parlimen.

PAS berulangkali menegaskan bahawa apa jua agenda dan dasar yang hendak di bawa PAS, ianya tidak akan dipaksakan ke atas rakyat atau di laksanakan secara ‘pintu belakang’ melalui cara-cara yang di luar dari kaedah Perlembagaan dan undang-undang.

Jika sekiranya ketentuan proses demokrasi tersebut tidak menyebelahi kehendak PAS, kami akan akur dan bersedia menerima apa jua keputusan.

Jika dilihat dalam konteks penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 ini, PAS sebenarnya mempunyai pilihan untuk terus menguatkuasakan Enakmen tersebut di Kelantan oleh kerana Enakmen ini telah diluluskan melalui proses perundangan yang sewajarnya di dalam Dun Kelantan lebih 20 tahun yang lalu.

Apatah lagi ianya hanya terpakai di Kelantan untuk orang Islam sahaja.

Bahkan terdapat pakar undang-undang seperti Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang berpandangan bahawa undang-undang hudud yang diluluskan ini adalah berada di dalam bidang kuasa negeri sebagaimana Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu ianya tidak menceroboh bidang kuasa Persekutuan dan tidak tidak timbul keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Namun, PAS menyedari bahawa amat perlu suatu langkah yang besar ini mendapat legitimasi demokrasi melangkaui badan perundangan negeri Kelantan di samping untuk memberi peluang kepada ruang perbahasan nasional yang melibatkan semua pihak di dalam negara ini.

Oleh kerana itu, PAS memilih untuk membentangkan rang undang-undang di bawah Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan agar Parlimen sendiri memberikan kebenaran kepada Dun Kelantan untuk melulus dan seterusnya melaksanakan Enakmen hudud tersebut.

Fakta ini sewajarnya direnungkan dan tidak disembunyikan oleh mereka yang menggelarkan diri sebagai pejuang demokrasi tetapi begitu bersungguh untuk menghalang PAS dari membentangkan rang undang-undang berkaitan di Parlimen.

PAS juga menghormati ketetapan yang dibuat oleh parti dalam kompenan Barisan Nasional dan rakan komponen dalam Pakatan Rakyat yang tidak bersetuju dengan undang-undang hudud ini atas alasan ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sejak awal penubuhan Pakatan Rakyat, PAS sedia maklum pendirian Rakan rakan pakatan rakyat tentang hudud dan Rakan rakan pakatan rakyat juga telah sedia tahu bahawa hudud adalah antara perincian kepada agenda perjuangaan Islam PAS yang mustahil untuk dikompromikan.

Namun, kerjasama yang dibina adalah berteraskan kepada agenda-agenda yang dipersetujui bersama yang bilangannya jauh lebih banyak jika hendak dibandingkan dengan agenda tunggal hudud (Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993) yang merupakan agenda PAS secara solo yang diperjuangkan PAS jauh lebih awal sebelum pembentukan kerjasama politik di dalam Pakatan Rakyat.

Oleh kerana itu, PAS tidak mempunyai sebab untuk memusuhi rakan-rakan Pakatan Rakyat sekiranya Mereka tidak bersetuju dengan PAS dalam soal hudud ini dan Mereka berhak untuk tidak menyokong rang undang-undang yang akan PAS bawa di Parlimen kelak.

Perbezaan dalam soal hudud dengan rakan Pakatan Rakyat adalah terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan komitmen dan iltizam Pakatan Rakyat untuk membawa perubahan yang lebih baik dalam pemerintahan negara.

Justeru, kita bersetuju untuk tidak bersetuju dalam soal hudud ini namun ianya tidak akan sesekali memecahkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat yang membawa amanah yang diberikan oleh rakyat.

Akhir sekali, PAS masih tertanya apakah sebenarnya pendirian Umno terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 (undang-undang hudud) peringkat awal dulu mereka begitu bersungguh mencabar PAS dan menyatakan sokongan padu sekiranya PAS membawa perkara ini (rang undang undang) ke Parlimen.

Tetapi hipokrasi Umno terserlah apabila Kerajaan Terengganu di bawah Umno menyekat usaha PAS untuk membawa usul perlaksanaan undang-undang hudud di Dun Terengganu baru-baru ini.

Inilah sikap sebenar Umno terhadap Islam yang hanya menjadikan agama sebagai alat politik dan juga bahan untuk melagakan seteru politik mereka.

Dalam hal rang-rang undang-undang yang ingin dibawa PAS di Parlimen ini, Presiden Umno wajar menyatakan pendirian dan sikap sebenar dengan ikhlas dan berhenti dari berdolak dalik.

PAS bersedia memberi laluan kepada kerajaan untuk membawa cadangan pindaan undang undang untuk membolehkan Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 secara demokratik dan sedia menerima apa pun keputusan undian di Parlimen. - HARAKAHDAILY

                         

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.