Cari Blog Ini

Hudud : Ugut Saman, Jawapan Balas Terhadap Gerakan


Hudud: Umno tolak, Gerakan ugut saman
[hd]- Sehari selepas Ahli Parlimen Umno Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyatakan secara terbuka tidak menyokong perlaksanaan hudud di Kelantan, hari ini Gerakan selaku sekutu Umno pula bertindak serupa.

Sekumpulan Pemuda Gerakan hari ini menyerahkan satu notis kepada PAS, mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang jika Kelantan meneruskan hasrat melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II (1993)  melalui Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen.

Notis itu diserahkan ketuanya Tan Keng Liang bersama 12 anggotanya kepada Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Yusapiza Yaakob di Pejabat Agung PAS di sini tengah hari ini.

"Dengan ini kami memberi notis kepada PAS. Kami akan mengambil tindakan undang-undang di mahkamah untuk menegakkan perlembagaan persekutuan negara kita sekiranya PAS melaksanakan hukum hudud di Kelantan," kandungan notis itu dipetik.

Selain penyerahan itu, mereka juga dibenarkan menggunakan ruang sidang tingkat bawah bangunan itu bagi menyatakan pandangan berhubung undang-undang Islam itu.

Semalam, Nur Jazlan berkata beliau secara peribadi tidak menyokong usaha untuk perlaksanaan hudud.

Katanya, usaha PAS mendekati Umno untuk menyokong perlaksanaan hudud adalah sia-sia kerana parti itu pasti telah melaksanakan hukum jenayah Islam itu jika ia menjadi satu keutamaan.

“Jika tidak, nenek moyang kita telah melaksanakannya (hudud) sejak lama dulu.

Secara peribadi saya tidak menyokong ini (pelaksanaan hudud)," kata Nur Jazlan kepada The Malay Mail Online.

Walaupun menentang, Nur Jazlan berkata adalah hak Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Islam di negeri itu, namun beliau mencadangkan PAS untuk mendapatkan pandangan daripada negeri-negeri lain bagi memastikan konsistensi dalam sistem perundangan negara.

Dalam pada itu, tiga ahli parlimen Umno telah menyatakan sokongan terhadap cadangan Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum jenayah syariah itu.

Mereka adalah Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar.

Selain itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga telah berjanji bahawa pusat akan membantu Kelantan dalam usaha ke arah perlaksanaan undang-undang Islam itu.


Hudud: Jawapan balas terhadap ugutan Gerakan
Pertama saya selaku Pengerusi Lajnah Undang Undang PAS mengucapkan terima kasih pada Parti Gerakan di atas surat atau notis undang undang bertarikh 24.4.2014 yang dihantar kepada PAS berkenaan isu hudud.

Keduanya,PAS yang mendokong amalan demokrasi termasuk kebebasan bersuara menghormati hak dan kebebasan parti Gerakan melalui sayap pemudanya atas pandangan mereka berkenaan hudud itu.

PAS mungkin tidak setuju dengan pandangan Gerakan namun yakin dan percayalah kami akan mempertahankan hak dan kebebasan bersuara anda dengan segala kudrat kami.

Ketiganya, jika dilihat kepada isi kandungan surat itu sebab utama penentangan Gerakan kepada hasrat perlaksaaan hudud oleh PAS adalah berkisar kepada isu Perlembagaan.

Gerakan berpendapat undang undang hudud bertentangan dengan Perlembagaan kerana dikatakan tiada peruntukkan dalam Perlembagaan bahawa hudud boleh dilaksanakan.

Amat malang pihak Gerakan hanya menyatakan secara umum bahawa hudud bertentangan dengan Perlembagaan namun tidak dinyatakan peruntukan mana di dalam Perlembagaan yang dikatakan dilanggar oleh PAS atau Kerajaan Kelantan.

Ketiadaan perincian dakwaan mereka ini menimbulkan andaian adakah pihak Gerakan menghantara notis tindakan undang undang kepada PAS hanya berdasarkan sentimen semata mata dan sikap gopoh tanpa terlebih dahulu menghalusi Perlembagaan dan peruntukkan di dalamnya.

Dakwaan Gerakan dalam Notis mereka kepada PAS bahawa kewujudan hukum hudud akan mengakibatkan kewujudan dua sistem perundangan jenayah dalam negara kita adalah, dengan hormat, satu dakwaan yang gopoh, tidak berasas dan juga menunjukkan ketidakfahaman mereka tentang  perjalanan sistem undang undang jenayah dalam negara ini.

Untuk makluman Gerakan, kewujudan dua sistem jenayah dalam negara ini telah pun wujud sejak Perlembagaan Persekutuan itu wujud.

Sejak awal lagi negara kita dan Perlembagaan merestui kewujudan dua sistem jenayah itu iaitu jenayah yang dibicarakan di Mahkamah Sivil dan jenayah syariah yang dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Oleh itu sama ada hudud wujud atau tidak , hakikatnya negara kita telah pun mempunyai dua sistem jenayah dan ini diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Nampaknya bukan Pas yang melanggar Perlembagaan sebaliknya hujah Gerakan yang menyalahi Perlembagaan.

Malahan jika kita mengambil kira wujudnya Mahkamah Tentera yang membicarakan kes jenayah yang melibatkan tentera maka terdapat lebih dari dua sistem jenayah dalam negara kita.

Bagaimana pula dengan kewujudan mahkamah seperti Mahkamah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang juga diberi kuasa membicarakan kes saman berunsur jenayah!

Apa pun kita patut memuji Gerakan kerana meskipun mereka menghantar Notis yang boleh dikatakan pra matang kepada PAS, mereka tidaklah dilihat menghina hukum hudud seperti para pemimpin Umno, sekutu mereka yang beragama Islam , yang pernah dan diketahui menghina hukum hudud  secara terbuka sebelum ini.

Alexender Pope menyatakan " Little knowledge is dangerous thing" maka atas ruh kata kata tersebut saya ingin menasihatkan pemimpin Gerakan pelajarilah hukum hudud sebelum kamu ingin menentangnya.

Adil kah menentang hudud tanpa mengetahui dan  memahami undang undang hudud itu terlebih dahulu ?

Saya juga berharap Gerakan juga perlu bersikap konsisten. Mengapakah kita tidak mendengar Gerakan menentang undang undang zalim dan drakonian seperti ISA , Akta Hasutaan, Akta Penerbitan Dan Pencetakan, SOSMA , Akta Pencegahan Jenayah dan banyak lagi.

Mengapakah apabila kerajaan BN luluskan Akta Pencegahan Jenayah yang mengembalikan kuasa menahan tanpa bicara Gerakan tidak membantah malahan menyokong.

Bukankah ia adalah Akta yang zalim dan melanggar hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan?Mengapakah tiada notis dihanta kepada Umno , MCA dan MIC?

Adakah Gerakan sedar dan tahu bahawa tiada penahanan tanpa bicara dalam hudud malahan prinsip dalam undang undang jenayah Islam jauh lebih baik iaitu "lebih baik hakim tersilap bebaskan 10 orang bersalah dari hakim tersilap sabitkan seorang yang tidak bersalah sebagai bersalah".

Saya mengambil kesempatan ini mengajak Gerakan untuk kita sama sama berdialog atau berdebat secara rational dan matang dalam isu hudud ini.

Gerakan sediakanlah tempat, tarikh dan masa insya Allah PAS bersedia datang bila bila masa.

*Penulis adalah Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS merangkap Ahli Parlimen Sepang.

Minta Umno Sokong Hudud Kerja Sia-Sia Kata Ahli Parlimen BN

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.