Cari Blog Ini

Dua Hari Lepas Kapal Kargo Jepun, Kali Ini Lanun Bersenjata Rampas Kargo Diesel Kapal Thailand Pula, Apa Dah Jadi Dengan Perairan Malaysia ?


                    Lanun bersenjata rampas kargo diesel kapal Thailand pula

Lanun bersenjata merampas kargo diesel kapal tangki Thailand pula di perairan pantai timur Malaysia pada 17 April dengan mencederakan kapten, kata Biro Maritim Antarabangsa (IMB) semalam.

Dua hari lepas, perompak bersenjata merampas diesel dari kapal kargo Jepun.

Dalam kejadian 17 April, 16 lanun yang menggunakan bot laju itu menaiki kapal dalam suasana kegelapan malam, kata Ketua Pusat Laporan Lanun IMB yang berpengkalan di Kuala Lumpur, Noel Choong.

"Kapal dirampas di Pulau Aur dekat perairan pantai timur Malaysia. Lanun bersenjata itu mencederakan kapten dengan pedang dan merosakkan alat komunikasi," katanya kepada AFP.

Choong tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung keadaan kapten itu yang menjaga 14 anak kapal dalam pelayaran dari Singapura ke Kemboja.

"Lanun memindahkan sebahagian kargo diesel dan mencuri barangan berharga anak kapal sebelum melarikan diri," katanya yang menyebut IMB hanya diberitahu pada Khamis setelah alat komunikasi kapal itu dirosakkan.

Chong berkata IMB bimbang peningkatan serangan lanun di perairan Malaysia tahun ini.

Kira-kira 12 lanun bersenjata pada Selasa menahan kapal tangki Singapura di perairan Selat Melaka menculik tiga anak kapal warga Indonesia dan merampas diesel dari kargo.

Selat Melaka merupakan laluan yang menghubungkan Eropah dan Timur Tengah untuk ke Asia dan sejak sekian lama menjadi tumpuan lanun.

Serangan di kawasan itu berkurangan sejak beberapa tahun ini setelah kawalan dan kerjasama melibatkan beberapa negara jiran menjaga kawasan perairan itu.

Tiada serangan lanun di perairan Malaysia pada tahun lalu dan serangan di Selat Melaka pada Selasa merupakan yang pertama sejak 2010 mengikut data IMB. - The Malaysian Insider


Polis siasat 3 kru   kes rompak kapal tangki
Abd Rahim bercakap kepada wartawan selepas membawa pihak media melihat kapal tangki Naniwa Maru No 1 di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, semalam
                                           Polis siasat 3 kru kes rompak kapal tangki

Pelabuhan Klang: Polis turut menumpukan siasatan kes rompakan lapan lanun ke atas kapal tangki Naniwa Maru 1, dekat Pulau Ketam, awal pagi kelmarin, terhadap pembabitan orang dalam.

Kapten, jurutera dan pegawai pertama kapal terbabit yang semuanya rakyat Indonesia dipercayai boleh membantu siasatan.

berikutan siasatan awal mendapati dokumen penting dan barang milik peribadi mereka turut hilang dari kapal selepas rompakan kira-kira jam 1 pagi.

“Mereka mempunyai pengetahuan yang luas mengenai ilmu perkapalan dan tahu selok belok perairan di sini selain mengetahui barangan yang dibawa kapal ini.

“Lebih menghairankan, ketiga-tiga kru itu turut hilang bersama dokumen penting milik mereka sendiri termasuk dokumen perjalanan diri,” kata Timbalan Komander Operasi dan Risikan Polis Marin Bukit Aman, Asisten Komisioner Abd Rahim Abdullah, semalam.

Tiada wang tebusan diminta

Katanya, sehingga semalam, tiada wang tebusan diminta daripada pihak yang dikatakan ‘melarikan’ ketiga-tiga kru kapal berkenaan.

Abd Rahim berkata, siasatan juga mendapati butang kecemasan tidak ditekan ketika rompakan itu berlaku, sesuatu yang diragui polis.

“Walaupun kejadian berlaku pada jam 1 pagi, pihak berkuasa hanya menerima laporan daripada ejen kapal pada jam empat petang.

“Kami sudah mengambil keterangan daripada semua kru yang terselamat dan siasatan terperinci akan dijalankan,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, polis turut menemui sebilah parang yang ditinggalkan di dalam kapal selain tidak menolak kemungkinan pistol turut digunakan dalam rompakan itu.

Abd Rahim berkata, lapan suspek berkenaan mengambil masa kira-kira lapan jam untuk memindahkan 3.2 juta liter daripada 5.3 juta liter minyak diesel yang dibawa kapal berkenaan selepas ia dipintas penjenayah itu pada kedudukan 16 batu nautika dari Pulau Ketam, di sini.

Katanya, pihaknya kini sedang mendapatkan bantuan daripada polis Singapura, Thailand dan Indonesia, bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun bersenjata secara berkumpulan," katanya.

Difahamkan, suspek turut merosakkan peralatan komunikasi dalam kapal itu.

Dalam kejadian itu, 3.2 juta liter minyak diesel bernilai RM8.2 juta dilarikan lapan suspek dipercayai warga Indonesia dari kapal tangki Naniwa Maru 1 yang dalam perjalanan dari Singapura ke Yangoon, Myanmar.

Selain minyak diesel yang dicuri dengan memindahkannya ke dalam dua buah kapal lain, kru kapal itu turut kerugian RM55,546.69 apabila barangan dan wang mereka dilarikan suspek berkenaan.

Selain muatan diesel, kapal itu turut membawa 18 orang kru yang tujuh daripadanya warga Indonesia, 10 warga Thailand dan seorang warga India. - BH

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.