Cari Blog Ini

Bantah GST Umno : 13 NGO Lapor Polis


Tiga belas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis bagi membantah perhimpunan haram dipercayai anjuran parti pembangkang yang akan diadakan di ibu negara pada 1 Mei ini.

NGO yang terlibat di bawah Gerakan Suara Anak Muda Kemaman itu termasuk Majlis Belia Felda, Puteri UMNO Bahagian Kemaman, Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Majlis Belia Daerah Kemaman, Pekida dan beberapa lagi NGO.

Laporan polis dibuat pukul 10 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman (IPD) yang diketui Naib Ketua Pemuda Umno bahagian Kemaman Mohd Fauzi Mat Adam.

Menurut Mohd Fauzi perhimpunan haram yang dirancang pihak pembangkang bagi membantah cukai barang dan perkhidmatan (CBP) itu tidak wajar diadakan kerana ia hanya menimbulkan lebih banyak masalah daripada kebaikan.

"Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak penganjur jika mereka meneruskan perhimpunan yang dirancang itu bagi mengelakkan perkara yang buruk,” katanya.

 "Jika dilihat perhimpunan jalanan seperti yang berlaku sebelum ini banyak menimbulkan keburukan daripada kebaikan serta patut dijadikan iktibar dan ia tidak sewajarnya berlaku," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.

Katanya pihak pembangkang mempunyai saluran yang sah di sisi undang-undang dengan menggunakan Parlimen jika mereka tidak bersetuju dengan dasar kerajaan dan bukannya dengan mengadakan perhimpunan.

Sebelum itu lebih 30 individu yang terdiri daripada ahli Gerakan Suara Anak Muda Kemaman berkumpul di hadapan pejabat anggota Parlimen Kemaman dan berarak sebagai tanda protes terhadap himpunan itu sehingga ke IPD Kemaman.

Fauzi berkata 1 Mei adalah tarikh meraikan Hari Pekerja yang sepatutnya dirayakan bagi meraikan pekerja yang begitu banyak menyumbang tenaga dan idea untuk pembangunan negara dan tidak sepatutnya disalahgunakan bagi tujuan mengadakan perhimpunan haram demi kepentingan politik pihak tertentu.

"Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak menyertai perhimpunan haram anjuran pembangkang itu sebaliknya digantikan dengan aktiviti yang berfaedah," katanya.

- Bernama

                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.