Cari Blog Ini

PRK Kajang : Bukti Pemimpin Umno BN Lidah Bercabang, "Serang Peribadi Wan Azizah" !



Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang daripada Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mempunyai "terlalu banyak tanggungjawab" untuk menjaga kawasan DUN Kajang sekiranya memenangi PRK pada 23 Mac depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin dalam ceramah kempen Barisan Nasional (BN) di Taman Mewah, Kajang malam tadi berkata, berbanding calon mereka, Datin Paduka Chew Mei Fun, Dr Wan Azizah perlu menguruskan "keluarga yang bermasalah" dan menyukarkan beliau mengambil berat permasalahan pengundi di DUN Kajang.

"Nanti rakyat Kajang hendak berjumpa siapa?" kata Muhyiddin dalam ucapannya di atas pentas bergerak BN.

"Ini kita memakai logik, tidak perlu politik, calon kita mampu tumpukan sepenuh masa, berdedikasi, dan saya tidak fikir Dr Wan Azizah mampu buat.

"Sebagai seorang isteri beliau ada tanggungjawab, kita tahu Anwar ada banyak masalah," katanya.

Beliau berkata, disebabkan perkara itu, pengundi di Kajang sudah pasti akan lebih terbela sekiranya mereka memilih Chew untuk mewakili mereka di DUN Selangor.

"Saya kira antara Chew dengan Dr Wan Azizah lebih senang berjumpa Chew.

"Saya tidak tahu Dr Wan Azizah boleh buat atau tidak, tetapi Chew tiada masalah keluarga.

Tiada masalah suami," katanya. Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menggunakan "elemen simpati" dalam kempen ceramah beliau ketika membantu kempen Dr Wan Azizah melalui isu hukuman penjara lima tahun yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata, hukuman yang dijatuhkan mahkamah pada Jumaat, 7 Mac lalu ke atas Anwar adalah atas kehendak ketua pembangkang itu sendiri yang mahukan hukuman dibuat pada masa itu, sedangkan mahkamah berkata tidak bercadang untuk menjatuhkan hukuman pada tarikh tersebut.

"Hakim tidak mahu jatuhkan hukuman, Anwar yang meminta hukuman dijatuhkan hari itu juga.

"Saya tiada, Najib tiada (di mahkamah), tetapi beliau tuduh ini perbuatan zalim BN," katanya merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. "Apabila beliau menang tidak pula kata mahkamah tidak adil.

Apabila dihukum beliau kata mahkamah tidak adil," katanya di hadapan sekitar 200 penyokong BN yang hadir.

Timbalan Presiden Umno itu turut berkata, Anwar sengaja menjadikan perkara itu sebagai isu kerana ahli Parlimen Permatang Pauh itu mahu menggunakan PRK DUN Kajang sebagai platform beliau.

"Kenapa mahu dipolitikkan, sedangkan mahkamah sudah membuat keputusan ... sebab ada platform, PRK Kajang," kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, berdasarkan kempen dan jelajah beliau di kawasan DUN Kajang ketika tempoh berkempen, beliau merasakan sokongan pengundi di kawasan berkenaan semakin meningkat kepada BN.

"Memang betul jika kita menang takkan berubah kerajaan Selangor. Chew menang tidak merubah pentadbiran negeri.

Pembangkang di negeri seperti ini yang kita mahu, bawa suara rakyat ke DUN.

"Tetapi daripada pertemuan dengan pengundi, bahasa badan mereka, saya sudah nampak petanda peningkatan sokongan untuk membantu calon kita menang di Kajang," katanya. - TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.