Cari Blog Ini

Petugas Bawahan MAS Terlibat MH370, Disiasat



Semua petugas bawahan Malaysia Airlines (MAS), yang terlibat dalam pengendalian pesawat bagi Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac telah disoalsiasat oleh polis, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata ini selain 239 penumpang dan kru pesawat berkenaan.

"Pihak berkuasa Malaysia kini memfokus semula siasatan mereka ke atas semua kru dan penumpang MH370, serta semua petugas bawahan yang mengendali pesawat itu," kata Hishammuddin pada satu taklimat akhbar mengenai pencarian pesawat MAS itu di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa Malaysia tidak sedia mengulas teori spekulatif berhubung apa yang menyebabkan penerbangan itu melencong dari laluan asalnya kerana bimbang ini boleh mengganggu siasatan.

Awal hari ini dalam satu kenyataan, beliau berkata jurutera MAS, yang ada urusan dengan pesawat itu sebelum ia berlepas, juga disiasat.

Mengenai operasi mencari dan menyelamat, Hishammuddin berkata bilangan negara yang terlibat dalam operasi itu kini meningkat dari 14 kepada 25.     

"Dalam 24 jam lepas, Perdana Menteri telah bercakap dengan Perdana Menteri Bangladesh, Presiden Turkmenistan, Presiden Kazakhstan dan Perdana Menteri India.

"Semalam, Kementerian Luar memberi taklimat kepada wakil-wakil dari negara-negara di sepanjang koridor utara dan selatan," kata beliau.

Menyentuh soal penyenggaraan pesawat, beliau berkata MAS mengesahkan pesawat itu memang tertakluk kepada program senggaraan yang diperlukan iaitu 'the Boeing Maintenance Planning Document' dan pesawat berkenaan telah diservis sepenuhnya serta layak untuk terbang.

Beliau berkata, pengendali rangkaian satelit global, pasukan Inmarsat tiba semalam untuk membantu pasukan penyiasat dari Malaysia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

- Bernama


Siasatan tidak tumpu juruterbang, pembantu sahajaSiasatan tidak tumpu juruterbang, pembantu sahaja

Siasatan tidak hanya tertumpu kepada juruterbang dan pembantu juruterbang sahaja, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid menegaskan bahawa siasatan ke atas penumpang serta pihak terlibat dengan pesawat tersebut adalah secara menyeluruh tanpa ada pengecualian langsung.

"Tidak (tumpu pada juruterbang dan pembantu sahaja). Seperti saya sebut sebelum ini, siasatan kami tertumpu kepada semua orang di dalam pesawat itu.

"Kita menyiasat semua termasuk empat fokus itu (rampasan pesawat, sabotaj, masalah psikologi penumpang serta anak kapal dan masalah peribadi mereka).

"Semua pihak terlibat dengan pesawat itu termasuk jurutera MAS, penarik kapal terbang sekalipun," katanya pada sidang media hari kesembilan kehilangan pesawat MH370, hari ini.

Mengulas lanjut soal hasil siasatan ke atas setiap penumpang, Khalid memberitahu pihaknya masih belum menerima maklum balas dari negara-negara lain lagi.

"Kami belum menerima respons pemeriksaan latar belakang terhadap semua penumpang lagi.

Masih ada beberapa negara yang belum respons. Yang sudah diterima adalah dari China dan India.

"Tapi ada beberapa agensi risikan yang telah mengesahkan bahawa semua penumpang 'bersih'," katanya.

                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.