Cari Blog Ini

[Panas] MH370 : Raja Bomoh Ugut Saman Sesiapa Tuduh Ritualnya Langgar Syariat Islam



Salah seorang bomoh yang melakukan upacara ritual untuk bantu usaha mengesan pesawat MH370 yang hilang dalam perjalanan ke Beijing sejak Sabtu akan memfailkan saman terhadap mana-mana pihak yang mendakwa perbuatannya itu bercanggah dengan syariat Islam.

Ibrahim Mat Zin mendakwa upacara yang dilakukannya pada Isnin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, menggunakan ayat suci Al-Quran dan berlandaskan syariat Islam.

“Penggunaan barang itu hanya sebagai simbolik atau petua yang diturunkan oleh orang tua dan bukannya untuk dipuja.


“Saya harap orang ramai tidak mudah menuduh saya terpesong daripada ajaran Islam dan tindakan mahkamah akan diambil kepada mereka yang degil,” katanya kepada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan dakwaan Pakatan Rakyat bahawa kerajaan memberi kebenaran kepada bomoh itu untuk membantu mengesan lokasi pesawat Malaysia Airlines MH370 pada Isnin.

Beliau berkata, amat mustahil untuk kerajaan membenarkan upacara yang bertentangan dengan agama Islam dan khurafat itu untuk dilakukan.

Katanya, dakwaan yang mengaitkan bomoh yang terkenal di kalangan VIP itu dengan Umno sepatutnya tidak timbul.

Shahidan berkata, tidak semestinya bomoh yang dilaporkan memakai lencana 1Malaysia itu merupakan pengikut Umno dan dibayar oleh parti itu.

"Tidak, saya tidak percaya ia arahan daripada kerajaan. Tidak ada, kerana ia amat bertentangan dengan ajaran agama Islam,” katanya.

Ibrahim atau juga dikenali sebagai Raja Bomoh melakukan upacara untuk mencari di mana pesawat MH370 di KLIA pada Isnin.

Pada hari pertama, Ibrahim dan pembantunya datang dengan sangkar dan teropong buluh untuk mencari pesawat itu manakala hari kedua beliau datang dengan buah kelapa dan “tikar terbang”.

Ia dilakukan di tengah-tengah kesibukan KLIA dan menerima kecaman pelbagai pihak.

The Malaysian Insider


Usaha guna bomoh cari MH370 bertentangan ajaran Islam, kata Jakim
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyelar usaha beberapa pihak mendapatkan khidmat bomoh dalam usaha mencari penerbangan MH370, yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing Sabtu lalu, kerana langkah itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha menggesa masyarakat di negara ini, terutama umat Islam, agar tidak terpengaruh atau mengamalkan upacara perbomohan.

"Ia bukan sahaja satu usaha yang sia-sia malah boleh mengundang kemurkaan Allah.

Hukum mengamalkan perubatan alternatif atau kaedah berbomoh adalah harus dalam Islam namun mestilah tidak bertentangan dengan syarak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, umat Islam harus menyakini bahawa Allah adalah sebaik-baik tempat untuk mereka bergantung dan bertawakal.

"Setelah segala usaha pencarian dengan upaya manusia melalui ilmu sains, kepakaran dan teknologi sedang giat dijalankan, maka kita sebagai hamba Allah harus terus berdoa memohon kepada Allah yang Maha Kuasa.

Saya yakin kita akan berjaya temui petunjuk terhadap misteri kehilangan pesawat ini atas izin-Nya jua," katanya.

Beliau berkata, Jakim mengeluarkan Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam untuk diteliti dan difahami masyarakat yang boleh diakses melalui laman sesawang www.islam.gov.my.

"Semua pihak dilarang mengelirukan masyarakat dengan penggunaan kalimah Arab sebagai cara untuk menunjukkan ia adalah bertepatan dengan syarak sedangkan hakikatnya pengamalan, bacaan dan prosedur yang digunakan bertentangan dengan syarak," katanya.

- Bernama

                          

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.