Cari Blog Ini

MH370 : Timbul Pula Persoalan Kebolehan Radar Dan TUDM



Biarpun semua persoalan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 belum terjawab, debat sudahpun bermula mengenai kesediaan tentera udara Malaysia, penswastaan ketenteraan dan perkhidmatan radar awam.

Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Abdul Aziz dari DAP hari ini mempersoalkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana tidak memeriksa pesawat yang terbang misteri merentasi Semenanjung Malaysia pada hari pesawat Boeing 777-200ER milik MAS hilang.

Pesawat misteri itu kini dikenali sebagai pesawat MH370 menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang dari radar 1.30 pagi pada 8 Mac. Ia masih belum ditemui.

“Pada masa apa-apa sahaja radar mengesan pencerobohan udara oleh pesawat yang tidak dikenal pasti, mengapa TUDM tidak berbuat apa-apa? Di mana 18 Sukhoi dan MiG kita?” soalnya menerusi kiriman blognya hari ini.

Bekas ahli politik Umno itu mengulas mengenai tentera India yang mendakwa mengesan pesawat yang tidak dikenali berada di ruang udara mereka berkemungkinan diserang jet pejuang.

“Itulah caranya kita mengesan sama ada objek tersebut musuh atau pun tidak dengan menunggu objek tersebut memberi tindak balas.

“Di Malaysia, pencerobohan diambil ringan atau lebih buruk lagi, jet pejuang kita tidak berada dalam keadaan bersedia 24/7.

“Ia cabang penting terhadap keselamatan negara,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Panglima TUDM Tan Sri Rodzali Daud yang menyatakan radar tentera mengesan MH370 berkemungkinan berpatah balik setelah pesawat itu beberapa jam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Radar yang mana mengesan ia berpatah balik? Radar komersial di Pengkalan Chepa atau radar pengawasan udara milik Zetro Aerospace Corporation. Radar berkenaan bernilai RM72 juta dan ia tidak boleh mengesan berpatah balik?

“Adakah radar itu berkebolehan mengesan secara berterusan atau ia mudah hilang dari sistem? Adakah radar tersebut berfungsi?” katanya.

Zetro Aerospace merupakan salah satu kontraktor pertahanan terbesar di Malaysia pakar dalam bidang avionik dan memiliki kontrak dengan TUDM sejak 1998.

Ia memiliki tiga kontrak kerajaan bagi menyelenggara dan membaiki radio pesawat, radar udara, menara kawalan udara dan komunikasi pertahanan serta bantuan navigasi.

Ia menerima kontrak RM43 juta bagi memodenkan sistem radar di dua pengkalan TUDM di Kuantan dan Butterworth pada 2005.

Antara jururundingnya adalah bekas panglima TUDM Tan Sri Nik Ismail Nik Mohamad yang menerajui tentera udara semasa sistem radar dibangunkan.

Sistem baru di Kuantan dan Butterworth menggantikan teknologi pemantauan Astrid yang digunakan TUDM sejak lebih 20 tahun lalu.

- The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.