Cari Blog Ini

MH370 Terbang Dengan Minyak Yang Dirancang, Tiada Minyak Tambahan



Pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu terbang dengan kapasiti minyak yang mencukupi untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing yang mengambil masa penerbangan selama enam jam setengah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya berkata, pesawat itu dibekalkan minyak seperti dijadual dan tiada penambahan dilakukan.

"Selalunya, kita tidak muatkan untuk enam jam setengah. Kita akan buat simpanan minyak antara 45 minit hingga ke sejam.

Ini dilakukan sekiranya terdapat sebarang lencongan sekiranya Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing tutup. Jadi kita perlu ke lapangan terbang berikutnya yang berdekatan.

"Saya berpendapat bahawa pesawat itu dapat mengisi sehingga tujuh jam setengah hingga ke lapan jam," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan terbaharu kehilangan pesawat MH370 di sini, Ahad.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab persoalan jika kapasiti pesawat MH370 ditambah dari kapasiti yang ditetapkan atau pesawat tersebut telah mendarat di mana-mana lapangan terbang di sepanjang laluannya untuk mengisi minyak.

Persoalan itu timbul setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mendedahkan dalam sidang media bahawa komunikasi terakhir antara pesawat itu dengan satelit adalah pada 8.11 pagi waktu Malaysia, pada 8 Mac lepas.

Pesawat yang membawa 239 penumpang itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Ditanya sama ada muatan kargo pesawat itu telah diperiksa, Ahmad Jauhari berkata: "Kami memeriksa manifesto kargo.

Ia tidak membawa barangan berbahaya. Muatan barangan sepatutnnya diperiksa dan diimbas mengikut prosedur standard,".

Menjawab satu soalan, Ahmad Jauhari mengesahkan bahawa MAS telah menjalankan lakonan semula laluan pesawat MH370 yang hilang.

"Kamu melakonkan semula pesawat pada sebuah simulator 777 dan kami mengesahkan, secara dasarnya ia mungkin 777 (MH370)," katanya.

BERNAMA


                     MH370 Tidak Mendarat Di Diego Garcia - Hishammuddin 

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 telah mendarat di pangkalan tentera Amerika Syarikat Diego Garcia di Lautan Hindi.

Bercakap pada sidang media berhubung perkembangan kehilangan pesawat itu di sini Ahad, beliau berkata setakat ini tidak ada mana-mana pihak menuntut wang tebusan.

"Tidak ada. Ini amat menyukarkan kami untuk mengesahkan sama ada ia dirampas atau tindakan pengganas.

Kami melihat segala kemungkinan. Kami tidak mengambil mudah sebarang kemungkinan," katanya.

Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabtu lepas.

Berikutan pengesahan bahawa pesawat itu melakukan penerbangan patah balik, wujud spekulasi media asing bahawa pesawat itu mungkin dilencongkan ke Diego Gracia.

Ditanya sama tahap keselamatan di lapangan terbang dipertingkatkan selepas dua penumpang MH370 didapati menggunakan pasport palsu, Hishammuddin berkata: "Tumpuan saya kini mencari MH370."

"Saya rasa tidak betul untuk menyatakan wujud pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) seperti diperjelaskan sebelum ini oleh ketua lapangan terbang.

Sebarang maklumat baharu yang kami terima sudah pasti akan disahkan mengikut SOP yang sedia ada," katanya.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, mengulangi bahawa pihak berkuasa menolak dua warga Iran yang menggunakan pasport palsu itu sebagai pengganas.

- BERNAMA

                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.