Cari Blog Ini

MH370 : Seluruh Dunia, Akhbar Dan Agensi Berita Ternama Sudah Mula Menyelar Malaysia !


Malaysia gagal beri petunjuk dalam misi mencari pesawat MH370
Di seluruh dunia, akhbar dan agensi berita ternama sudah mula menyelar Malaysia kerana “misteri, mengelirukan dan kekusutan” dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.

Setakat ini, pemimpin kerajaan daripada Datuk Seri Najib Razak ke bawah gagal dalam satu aspek penting: memberikan keyakinan dan jaminan kepada rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa bahawa mereka tahu apa yang perlu diperkatakan dan dilakukan.

Terdapat fakta yang tidak konsisten dan bercanggahan sehingga Vietnam terpaksa menggantung operasi pencarian udara mereka sehingga Putrajaya dapat memberitahu arah terbaru untuk mencari Boeing 777-200ER yang hilang.

Ironinya, China meminta Malaysia untuk “lebih terbuka” dengan maklumat mengenai pesawat penumpang itu di mana dua pertiga daripada 239 penumpang merupakan rakyatnya.

Faktanya, pemimpin tertinggi Malaysia dan ahli politik berkemungkinan menyembunyikan maklumat, tidak dapat membuat keputusan atau tidak begitu tahu dengan apa yang sebenarnya berlaku.

Tetapi rakyat Malaysia tidak seharusnya terkejut dengan prestasi pentadbiran Najib. Lagipun, mereka sudah beberapa kali tercabar dengan banjir di Pantai Timur beberapa bulan lalu.

Tidak ada sesiapa yang mengharapkan Najib mempengerusikan sidang akhbar harian atau mengetuai misi mencari dan menyelamat, tetapi tidak ada sesiapa menjangka beliau akan  terpinggir sementara pasukan tentera udara, polis, pihak berkuasa penerbangan dan Malaysia Airlines berlumba-lumba untuk memberikan maklumat bercanggah.

Di antara maklumat membingungkan yang kedengaran semenjak pesawat penumpang itu hilang pada Sabtu adalah Malaysia Airlines pada awalnya mengatakan Boeing 777 terputus hubungan dengan pusat kawalan udara pada 2.40 pagi selepas dua jam berada di udara.

Kemudian Malaysia Airlines mengatakan mereka terputus hubungan pada 1.30 pagi, mengikut maklumat ditunjukkan dalam laman sesawang pengesan pesawat.

Maklumat mengenai waktu yang tidak tepat itulah yang menyebabkan spekulasi pesawat terhempas di antara Vietnam dan China.

Dua hari lalu, maklumat bocor dan disahkan kemudiannya bahawa pesawat tersebut berpatah balik ke semenanjung Malaysia dan menuju ke arah barat di Laut Andaman sebelum hilang pada 2.40 pagi.

Maklumat ini mengubah arah misi mencari dan menyelamat daripada Laut China Selatan di pantai timur Semenanjung Malaysia ke pantai barat di mana terletaknya Selat Melaka.

Bukan sahaja keluarga mangsa dan wartawan antarabangsa merasa jengkel, ini menyebabkan jiran Malaysia yang menghantar pesawat dan kapal-kapal penyelamat ternganga.

Nasib baik lebih banyak negara menyertai misi mencari dan menyelamat antarabangsa dengan harapan dapat menemui yang terselamat daripada 239 penumpang dalam pesawat tersebut.

India kini menyertai misi dan difahamkan Malaysia mencari lebih banyak maklumat daripada Thailand dan Myanmar mengenai kemungkinan pesawat MH370 sebenarnya terbang sepanjang semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Laut Andaman.

Mengapa? Tiada siapa yang tahu.

Tetapi seperti yang dikatakan akhbar The Guardian, “Pegawai-pegawai Malaysia memberikan maklumat samar-samar, tidak tepat dan kadangkala bercanggah semenjak pesawat itu hilang, menimbulkan kebimbangan di kalangan keluarga penumpang.”

Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines yang hilang diperluaskan lagi hari ini meliputi sebahagian Asia Tenggara, dari Laut China Selatan ke kawasan perairan India dengan pihak berkuasa masih tidak dapat menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat membawa 239 penumpang itu.

Vietnam mengecilkan operasi pencarian di kawasan perairannya, mengatakan mereka menerima maklumat tidak tepat dan mengelirukan daripada Malaysia berhubung ke mana pesawat itu mungkin terbang selepas terputus hubungan.

Kemudiannya Hanoi berkata, misi pencarian yang masuk hari keenam ini diteruskan seperti biasa dan diperluaskan ke kawasan darat.

China juga sudah mengatakan pasukan udaranya akan memantau kawasan perairan bagaimanapun, pencarian di darat tidak dilakukan buat masa ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein ketika sidang media di Hotel Sama-Sama semalam. Dalam memasuki hari keenam misi mencari dan menyelamat MH370, pemimpin tertinggi Malaysia dan ahli politik seperti tidak dapat membuat keputusan atau tidak begitu tahu dengan apa yang sebenarnya berlaku. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 13 Mac, 2014.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein ketika sidang media di Hotel Sama-Sama semalam. Dalam memasuki hari keenam misi mencari dan menyelamat MH370, pemimpin tertinggi Malaysia dan ahli politik seperti tidak dapat membuat keputusan atau tidak begitu tahu dengan apa yang sebenarnya berlaku
Laut Andaman India dan Pulau Nicobar kini menjadi kawasan pencarian beberapa hari selepas tentera udara mendapati mereka mempunyai data menunjukkan pesawat menuju ke luar semenanjung Malaysia.

Persoalan timbul, apakah rahsia ketenteraan sedang menggagalkan misi pencarian?

Apakah ini yang menyebabkan menteri dan timbalan menteri menghadapi kesukaran untuk memberikan penjelasan kepada umum?

Bekas penyiasat pesawat terhempas memberitahu The Telegraph terdapat faktor tidak diketahui dalam misi pencarian pesawat MH370 iaitu sejauh mana penerbangan Malaysia Airlines sedang dikesan oleh kuasa-kuasa serantau menggunakan sistem radar tentera mereka.

Apa pun, hari ini merupakan hari keenam operasi misi mencari dan menyelamat untuk mencari penumpang MH370.

Kita hanya mampu berharap kekeliruan ini berakhir bagi petugas penyelamat dan media berhubung arah pencarian.

Atau seperti yang dikatakan Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein,”Saya tidak fikir begitu.

Ia lebih daripada itu. Ia hanya mengelirukan apabila anda mahu melihatnya sebagai kekeliruan.”

The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.