Cari Blog Ini

MH370 : Lidah Rasmi Umno (Utusan) Mengeruhkan Hubungan Malaysia, Indonesia !


MH370: Kedutaan Besar Indonesia kesal dengan laporan Utusan Malaysia
Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) kesal dengan laporan Utusan Malaysia yang merujuk spekulasi dalam portal Cabal Times yang mengaitkan Indonesia terlibat dalam gerakan 'rahsia globalisasi' atau pakatan Barat yang mempunyai agenda tertentu.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, pihak KBRI menegaskan sejak pesawat MH370 hilang pada 8 Mac, pemerintah Indonesia merupakan antara negara pertama menghulurkan bantuan dalam usaha mencari dan menyelamat.

"Kedutaan Besar lndonesia dengan tegas juga membantah tuduhan baahwa lndonesia terlibat dalam gerakan "rahasia globalisasi" atau "koalisi barat" yang memiliki agenda tertentu.

Spekulasi tersebut jelas tidak memiliki data dukung sama sekali dan hanya menciptakan kebingungan publik.

Terlebih lagi, tulisan tersebut juga sangat melukai penumpang warga negara lndonesia, perasaan keluarga para penumpang, termasuk yang sedang dalam kondisi teramat sulit dan bersedih," kata kenyataan tersebut.

KBRI juga menegaskan komitmen yang diberikan Indonesia kepada semangat ASEAN dan hubungan dengan Malaysia yang sangat rapat.

"lndonesia juga akan terus memberikan dukungan dan kerjasamanya untuk mencari pesawat tersebut hingga ditemukan," kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu juga menjelaskan, lndonesia juga meminta agar spekulasi yang tidak bertanggung jawab dihentikan kerana tidak membantu usaha mencari pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) yang menjadi tujuan utama operasi SAR melibatkan 25 buah negara.

Dalam laporan Utusan Malaysia pada 17 Mac lalu, bertajuk "MH370 disembunyi di pangkalan AS di Diego Garcia?" dimuatkan dakwaan portal Cabal Times bahawa sekiranya spekulasi pesawat itu terbang ke pangkalan tentera AS di Diego Gracia adalah benar, radar Indonesia sudah pasti mengesan kedudukan pesawat tersebut.

Portal itu juga mendakwa Indonesia akan berdiam diri tentang apa yang dikesan pada radar mereka kerana negara tersebut dikatakan terlibat dalam gerakan 'rahsia globalisasi' atau pakatan Barat yang mempunyai agenda tertentu.

- astro awani


                         Malaysia manfaat hubungan baik dengan negara lain

Malaysia memanfaatkan hubungan baiknya untuk melibatkan 25 negara membantu dalam mencari pesawat MH370 yang hilang, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini.

Beliau berkata negara-negara berkenaan juga bersedia menghulurkan bantuan daripada aspek kemanusiaan dalam usaha mencari pesawat Boeing 777-200ER Malaysia Airlines (MAS) yang hilang pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Anifah berkata Malaysia setakat ini telah menghantar nota diplomatik kepada 12 negara di koridor utara, menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, dan kepada dua negara di koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi, memohon bantuan dalam misi mencari dan menyelamat.

"Dan respons mereka amat baik. Ini adalah hasil hubungan baik Kuala Lumpur dengan semua negara itu. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah menghubungi presiden (dan pemimpin) untuk memohon bantuan mereka," kata beliau pada sidang media mengenai maklumat terkini pencarian MH370, di sini hari ini.

Sabtu lepas, Najib mengumumkan bahawa pencarian pesawat MH370 telah memasuki fasa baharu dengan tumpuan beralih dari Laut China Selatan di bahagian timur Malaysia ke koridor utara dan selatan, di bahagian barat.

Anifah juga berkata sembilan negara lagi yang tidak tergolong di bawah kedua-dua koridor itu telah tampil untuk membantu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun.

Beliau berkata operasi sekarang amat kompleks oleh kerana Malaysia perlu berurusan dan menyelaraskan misi dengan 25 negara yang mengamalkan ideologi dan sistem kerajaan yang berbeza.

Ketika ditanya mengapa Malaysia tidak meminta bantuan daripada Iran, Anifah berkata berdasarkan siasatan sekarang, setakat ini tiada keperluan untuk Kuala Lumpur menghubungi Tehran.

"Kerajaan tidak memerlukan Wisma Putra menghubungi kerajaan Iran dan saya percaya apa jua keperluan akan dikemukakan kepada Wisma Putra sekiranya perlu," katanya.

Jumaat lepas, Duta Iran ke Malaysia Mohammad Jalal Firouznia berkata Tehran bersedia menawarkan sebarang bentuk bantuan jika diperlukan oleh Malaysia dalam mencari pesawat MH370.

- Bernama



                          

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.