Cari Blog Ini

MH370 : KD Kasturi Berlabuh Isi Bekalan


KD Kasturi berlabuh isi bekalan
KD Kasturi ditunda masuk ke dermaga kira-kira jam 10 pagi, bagi tujuan ulang isi bekalan termasuk diesel di pangkalan TLDM Tanjung Gelang, semalam
[sinar]- KD Kasturi, salah sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 di perairan Laut China Selatan sejak seminggu lalu berlabuh di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini, semalam.

Kapal bersama 140 anak kapal termasuk 18 pegawai itu berlabuh kira-kira jam 10 pagi bagi mengisi keperluan termasuk bekalan makanan dan bahan api.

Pegawai Pemerintah KD Kasturi, Komander Mohd Zaidi Ibrahim berkata, kapal yang berpangkalan di Lumut, Perak itu, singgah sementara di Pangkalan TLDM dekat sini, sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi SAR kira-kira jam 4 petang, hari yang sama.

Menurutnya, sebanyak 180,000 liter diesel dan bekalan makanan untuk keperluan anak kapal selama dua minggu diisi sebelum pelayaran.

“Ini kali pertama KD Kasturi berlabuh untuk ulang isi bekalan sejak menjalankan misi SAR di salah satu sektor membabitkan keluasan 60 x 60 batu nautika di Laut China Selatan bermula Ahad lalu,” katanya semasa sesi taklimat media di Pengkalan TLDM Tanjung Gelang, semalam.

Turut hadir Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Datuk Azhari Abdul Rashid.

Mohd Zaidi berkata, walaupun menjalankan misi dengan maklumat agak terhad tentang nasib pesawat dan penumpang serta anak kapal MH370, warga KD Kasturi tetap bersemangat meneruskan operasi bersama aset-aset pelbagai negara yang lain.

Katanya, KD Kasturi baharu selesai sesi latihan bersama Singapura sebelum kembali berlabuh di Lumut.

“Kami menerima arahan dan mula bergerak ke lokasi kira-kira jam 1 pagi 9 Mac lal, selepas segala keperluan diisi,” katanya.

Sepanjang tujuh hari melakukan SAR di kawasan seluas 3,600 batu nautika, KD Kasturi berjaya melakukan pemantauan di seluruh kawasan itu, namun tiada sebarang objek berkaitan MH370 ditemui.

“Kapal ini dilengkapi sonar air bagi mengesan objek logam di dasar laut, namun setakat ini belum menemui sebarang petunjuk,” katanya.

Beliau berkata, KD Kasturi mendapat kerjasama padu dalam perkongsian maklumat dan komunikasi dengan aset-aset semua agensi Malaysia dan negara jiran termasuk Vietnam, Singapura dan yang menjalankan SAR di Laut China Selatan.

Sebuah kapal dari China dan KD Perak, turut berlabuh di perairan Kuantan semalam, sebelum ketiga-tiga aset itu meneruskan perjalanan meneruskan misi mencari MH370.

“Kami akan meneruskan misi ini di bawah koordinasi KD Terengganu sehingga arahan baharu sama ada pencarian diperluaskan ke kawasan lain atau dihentikan jika ada perkembangan terbaharu," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.