Cari Blog Ini

MH370 : Imej Yang Ditemui Pakar IT India Dipertikai, Ia Imej Tahun 2009


Dakwaan seorang penganalisis teknologi maklumat (IT) India yang dikatakan menemui imej satelit yang kononnya pesawat MH370, telah pun dipertikai.

Terdapat beberapa fakta daripada beberapa ahli forum laman Metabunk yang mengatakan imej tersebut bukanlah imej terbaru dalam pemetaan seperti yang disangkakan.

Menurut seorang ahli forum, Pete Tar, imej pesawat itu merupakan imej sekitar tahun 2009 hingga 2012 dan hanya wujud di lapisan asas pemetaan MapBox.

"Pesawat itu hanya wujud di lapisan asas MapBox, yang bertarikh sekurang-kurangnya dari tahun 2012 atau lebih awal. Ia bukannya imej semasa, dan oleh itu tidak menunjukkan (ianya) MH370," jelasnya.

Katanya, dia telah menyemak koordinat tempat pesawat itu kononnya dilaporkan dikesan iaitu 13.29431,92.99277 di Google Maps, namun tidak menemui sebarang tanda pesawat tersebut.

Bagaimanapun katanya, hasil kajian imej tersebut menunjukkan pesawat itu terbang pada ketinggian yang rendah kerana awan dilihat lebih tinggi dari pesawat, yang mana dia telah berpendapat bahawa ianya salah satu cara ia mengelak pengesanan radar.

Seorang lagi ahli forum, Mick West, turut menyokong pandangan Pete. Katanya imej Google Earth turut membuktikan ia bukan imej baru.

"Ia bukan dalam mana-mana lapisan satelit, ia juga bukan dalam imej QB02, tetapi ia adalah dalam lapisan asas Mapbox," tambahnya.

Dalam sebuah laporan Bernama pada Rabu, seorang pakar IT, Anoop Madhav Yeggina, 29, menemui imej satelit menunjukkan sebuah pesawat besar terbang rendah di Kepulauan Andaman pada 8 Mac, pada hari pesawat Malaysia Airlines hilang semasa dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke Beijing, menurut akhbar The Hindu.

Menurut laporan yang dipetik dari The Hindu itu, Anoop ialah antara beribu-ribu orang dari seluruh dunia yang melibatkan diri dalam projek 'crowdsourcing' iaitu khidmat luar kumpulan yang berusaha mengesan kapal terbang berkenaan yang telah melencong dari laluannya ke arah Lautan Hindi selepas menutup semua hubungan komunikasi ketika terbang merentasi Laut China Selatan.

 Khidmat luar kumpulan ini merujuk kepada usaha mendapatkan maklumat atau input bagi sesuatu tugas atau projek dengan menyenaraikan perkhidmatan sejumlah individu, sama ada dibayar atau tidak, biasanya melalui Internet.

The Hindu melaporkan bahawa Anoop telah meneliti sejumlah imej dari DigitalGlobe Satellite QB02 sejak beberapa hari lalu sehingga beliau terjumpa imej yang benar-benar membuatkannya terkejut.

Beliau memuat naik 'penemuannya' bersama penulisan yang menjelaskan perkara itu kepada laman web CNN pada 14 Mac dan sejak itu ia menerima lebih 16,000 pengunjung yang melihatnya dan komen daripada mereka. - astro awani

* MH370 : Pakar IT India Dakwa Temui Imej Satelit Kemungkinan Pesawat MH370 Yang Hilang

metabunk1
Imej diperolehi dari laman Metabunk
metabunk2
Imej diperolehi dari laman Metabunk
metabunk3
Imej diperolehi dari laman Metabunk
anoop
Imej yang ditemui oleh Anoop
                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.