Cari Blog Ini

MH370 : FBI Bantu Siasat Simulator Juruterbang


Kapten Zaharie Ahmad Shah bersama simulator penerbangannya. Terkini masuk hari ke-13 misi mencari dan menyelamat pesawat MH370, FBI meningkatkan usaha menganalisis data daripada simulator penerbangan yang diambil daripada kediaman Kapten Zaharie. – Gambar diambil dari YouTube, 20 Mac, 2014.
Kapten Zaharie Ahmad Shah bersama simulator penerbangannya. Terkini masuk hari ke-13 misi mencari dan menyelamat pesawat MH370, FBI meningkatkan usaha menganalisis data daripada simulator penerbangan yang diambil daripada kediaman Kapten Zaharie
Dengan pencarian ke atas pesawat MH370 masuk hari ke 13 tanpa sebarang perkembangan penting, FBI meningkatkan usaha dengan menganalisis data daripada simulator penerbangan yang dirampas dari rumah juruterbang pesawat Kapten Zaharie Ahmad Shah minggu lalu.

Malaysia menyerahkan data elektronik yang diperolehi daripada cakera keras simulator Kapten Zaharie dan juga media elektronik yang digunakan oleh pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid, kata seorang penguatkuasa undang-undang Amerika.

Pegawai itu bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sebahagian data dipadamkan daripada simulator dan menegaskan tidak ada jaminan analisa FBI boleh menghasilkan maklumat baru untuk pencarian itu.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata dalam sidang media hariannya semalam, pakar tempatan dan antarabangsa diminta membantu menyiasat simulator penerbangan itu.

"Sebahagian data dipadamkan daripada simulator itu, namun kerja forensik sedang dijalankan untuk cuba mendapatkannya kembali," kata Hishamuddin.

Katanya, siasatan ke atas simulator itu adalah sebahagian daripada siasatan menyeluruh yang dibuat ke atas semua penumpang dan anak kapal dalam pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu itu.

"Kami berkongsi semua maklumat berkaitan dengan semua agensi perisikan antarabangsa," kata menteri itu.

Penyiasat Amerika melahirkan rasa kecewa sejak beberapa hari lepas kerana pihak berkuasa Malaysia tidak meminta bantuan mereka.

FBI mempunyai pengalaman luas dalam penyiasatan tentang kapal terbang yang terhempas, termasuk TWA 800 dan EgyptAir 990 daripada pantai timur Amerika pada tahun 1990an dan Pan Am Pesawat 103 di Lockerbie, Scotland.

Dalam kes EgyptAir 990, FBI yang membantu penyiasat keselamatan udara mengesahkan bahawa puncanya adalah tindakan bunuh diri pembantu juruterbang, manakala dengan kes Pan Am 103, agensi itu bekerja dengan British dan penyiasat Amerika terhadap kerja yang melibatkan kerajaan Libya.

Dalam sidang medianya di Sepang semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga berkata data dari simulator itu dipadamkan pada 3 Februari.

"Pegawai forensik daripada unit jenayah siber, MAS dan pakar antarabangsa sedang cuba mengembalikan maklumat itu.

"Pakar sedang melihat apakah data yang dipadamkan," kata Khalid.

Sehingga kini tidak ada tanda-tanda penemuan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia yang hilang daripada radar kawalan trafik pantai timur Malaysia pada 1.21 am waktu Malaysia pada 8 Mac, selepas tidak sampai sejam selepas berlepas ke Beijing, China.

Kekurangan maklumat penting menyebabkan keluarga penumpang sangat kecewa dan menghamburkan rasa itu dalam sidang media di Hotel Sama Sama semalam.

Mereka mendakwa Putrajaya menyembunyikan maklumat dan memberikan maklumat palsu kepada orang awam tentang kerja mencari dan menyelamat itu.

Kumpulan itu juga membawa kain rentang besar dalam bahasa Mandarin menuntut jawapan daripada Putrajaya.

Seorang wanita China teresak-esak berteriak, "Tolong beritahu saya di mana anak saya, di mana dia."

Wanita yang kecewa ini terus mengulangi tuntutannya dan mendakwa kerajaan Malaysia sebagai "penipu".

Dia juga menuntut Beijing menekan Malaysia dan menuntut jawapan di manakah pesawat MH370 itu.

Seorang lagi ahli keluarga memarahi Putrajaya dalam Mandarin dan mendakwa pemimpin Malaysia sebagai "penipu" yang membiarkan mereka dalam keadaan tertanya-tanya selepas hampir dua minggu mencari pesawat itu.

Polis yang bertugas di hotel itu cuba membawa keluarga yang kecewa itu keluar dari auditorium tetapi suasana menjadi kecoh sebentar apabila jurugambar berebut merakamkan kejadian itu.

Ini adalah kali pertama keluarga penumpang MH370 bertukar marah dan menyebabkan hiruk-pikuk di Kuala Lumpur yang sedang melakukan kerja mencari dan menyelamat.

Sebelum ini, kejadian sebegitu hanya berlaku di Beijing di mana keluarga penumpang mendakwa mereka tidak diberikan maklumat yang lengkap dan secepat mungkin.

Beberapa saudara mara yang kekal di Beijing menuduh Putrajaya bercakap karut dan bersubahat menutup maklumat, bukannya melakukan kerja mencari dan menyelamat, lapor Financial Express.

"Hanya kerajaan Malaysia tahu kebenaran tentang penerbangan Malaysia.

Mereka bercakap karut sejak awal," kata Wen Wancheng, salah seorang daripada saudara penumpang, kepada akhbar selepas pertemuan dengan pegawai syarikat penerbangan di Beijing pada hari Isnin.

"Anda menyembunyikan di mana pesawat ini daripada awal, dan selepas tujuh hingga lapan hari anda menemuinya?

"Itu adalah masa terbaik untuk kerja menyelamat," tambah Wen yang berusia 63 tahun dari wilayah timur Shandong.

Anaknya salah satu penumpang yang berada dalam pesawat MH370 itu.

Seorang lagi keluarga penumpang berkata selepas mesyuarat itu: "Sudah tentu tidak ada maklumat yang berguna bagi kita, tidak pernah ada."

Hishammuddin mengeluarkan kenyataan semalam bagi menangani kekecewaan keluarga penumpang.

"Kita boleh membayangkan penderitaan yang mereka lalui. Malaysia melakukan segalanya yang ada dalam bidang kuasanya untuk mencari MH370 dan diharapkan ia membawa kepada pengakhiran yang baik kepada ahli keluarga yang hilang.

"Saya mengarahkan siasatan segera ke atas semua yang berlaku dalam bilik media hari ini."

Paparan kemarahan oleh saudara mara penumpang serentak dengan kritikan lebih pedas terhadap Putrajaya daripada media kerajaan China dan pengguna media sosial.

Akhbar harian China dalam editorialnya bertanya sama ada Malaysia berkongsi semua maklumat yang dikumpulkan.

"Maklumat yang bercanggah dan maklumat sedikit demi sedikit penerbangan Malaysia dan kerajaannya menyebabkan usaha pencarian menjadi sukar dan seluruh kejadian ini lebih misteri," akhbar itu berkata.

"Apa lagi yang diketahui yang tidak dikongsi dengan dunia?"

Dua pertiga daripada penumpang di atas kapal pesawat itu adalah warga negara China.

Reuters berkata jangkaan bahawa operasi mencari oleh 26 negara akan mendapat hasil yang lebih cepat nampaknya semakin berkurangan, bagaimanapun, penyiasat mengesahkan mereka memberi tumpuan kepada bahagian selatan Lautan Hindi selepas gagal menemui sebarang kesan jet di utara.

"Keutamaan kami adalah kepada kawasan itu," Hishammuddin berkata pada sidang akhbar.

Australia mengetuai carian di bahagian selatan koridor selatan, dengan bantuan daripada Tentera Laut Amerika Syarikat.

Kawasan pencarian semakin kecil berdasarkan data pengesan satelit dan analisis cuaca dan arus, tetapi ia masih meliputi kawasan seluas 600,000 km persegi, kira-kira saiz Sepanyol dan Portugal.

Pencarian Boeing 777-200ER sebelum ini memberi tumpuan kepada dua koridor; satu menuju ke utara melalui darat dari Laos ke arah Laut Caspian, dan kedua ke arah selatan, di seluruh Lautan Hindi dari barat pulau Sumatera Indonesia di barat Australia.

"Andaian sekarang ialah ia pergi ke arah selatan, dan ke hujung koridor selatan itu," kata sumber yang rapat dengan penyiasatan itu kepada Reuters.

Pandangan itu adalah berdasarkan ketiadaan tanda daripada negara di sepanjang koridor utara bahawa pesawat memasuki ruang udara mereka, dan kegagalan untuk mencari kesan bangkai dalam pencarian di bahagian atas koridor selatan.

Reuters melaporkan, beberapa sumber yang terlibat dalam penyiasatan menyuarakan kebimbangan ia boleh gagal disebabkan keengganan negara di rantau untuk berkongsi data radar sensitif yang mungkin boleh memberikan harapan baru kepada arah yang diambil oleh pesawat ini.

Dua orang yang mengikuti siasatan tersebut berkata, carian terganggu kerana kelewatan dalam mendapatkan kebenaran untuk membolehkan pesawat pengawasan maritim asing memasuki perairan wilayah tanpa permohonan rasmi diplomatik.

"Ini sebenarnya pesawat pengintip; ia direka untuk tujuan itu," kata satu sumber yang rapat dengan penyiasatan itu kepada Reuters, menjelaskan keraguan beberapa negara untuk memberi kebenaran penuh bagi negara lain untuk meneroka wilayah mereka.

Hishammuddin mengesahkan bahawa beberapa aset yang terlibat dalam pencarian ini masih menunggu pelepasan diplomatik.

"Pencarian MH370 melibatkan cabaran diplomatik, teknikal dan logistik," beliau berkata semasa taklimat berita.

- The Malaysian Insider


Pakar cuba dapatkan data yang dipadam dalam simulator penerbangan, kata Hishammuddin

Pihak polis bersama-sama pakar ketika ini sedang mencari jalan untuk mendapatkan data yang dipadam daripada simulator penerbangan Kapten Zaharie Ahmad Shah, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.‎

Pemangku menteri pengangkutan itu berkata, pakar tempatan dan antarabangsa sedang meneliti simulator milik juruterbang tersebut.

"Beberapa data dipadam daripada simulator dan pasukan forensik cuba mendapatkan semula data tersebut," kata Hishammuddin pada sidang media di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini.

Dalam sidang media sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu media, data tersebut dipadamkan pada 3 Februari.

"Pasukan forensik kami daripada unit jenayah siber, MAS dan pakar antarabangsa cuba mendapatkan semula maklumat tersebut,"  kata Khalid.

Daripada siasatan simulator tersebut, Khalid berkata pihaknya menemui tiga jenis permainan masih berada dalam simulator tersebut.

"Kita mendapati tiga permainan simulator penerbangan.

"Pertama Flight Simulator X, kedua Flight Simulator 9 dan ketiga X Flight N," kata Khalid.
 
Khalid juga berkata sepanjang siasatan dijalankan, pihak polis mendapat kerjasama yang baik daripada ahli keluarga kedua-dua  juruterbang dan pembantunya.

Sabtu lalu, pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas simulator penerbangan Kapten Zaharie Ahmad Shah di  rumahnya di Shah Alam.

Ia kemudian dipasang semula semalam di ibu pejabat Bukit Aman bagi mencari petunjuk kehilangan MH370 yang masih misteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang media khasnya petang Sabtu lalu berkata, siasatan kini beralih dan tertumpu  kepada anak kapal pesawat berdasarkan kepada petunjuk baru.

Menafikan terdapat unsur rampasan, Najib berkata, pesawat MH370 berpatah balik ke arah barat selaras dengan tindakan yang disengajakan oleh seseorang dalam kapal terbang itu.

Usaha mencari dan menyelamat MH370 kini masuk fasa kedua melibatkan koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand manakala koridor selatan, dari Indonesia hingga selatan Lautan Hindi.

MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal hilang daripada radar selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dalam perjalanan ke Beijing.

The Malaysian Insider

                         
                   

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.