Cari Blog Ini

Memeranjatkan, Tentera Malaysia Dakwa Berjaya Kesan MH370 Di Selat Melaka


MH370 IIIDalam perkembangan yang memeranjatkan, tentera Malaysia mendedahkan mereka mengesan pesawat MH370 milik Malaysian Airlines yang hilang menerusi radar ketika pesawat yang masih hilang itu merentasi Selat Melaka, jauh dari di mana ia melakukan komunikasi terakhir dengan menara kawalan trafik awam di teluk Thailand.

Sumber tentera mengesahkan kepada Reuters Boeing 777-200ER dengan 239 penumpang bertukar laluan dan menuju ke sebelah lain semenanjung Malaysia.

“Ia mengubah laluan selepas Kota Baru dan mengambil altitud lebih rendah. Ia terbang ke Selat Melaka,” kata pegawai tentera, yang diberi taklimat mengenai siasatan itu, kepada Reuters.

Selat Melaka, salah satu laluan perkapalan yang paling sibuk di dunia, berada di pantai barat Malaysia.

Syarikat penerbangan itu berkata, pada Sabtu lalu, pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal terputus hubungan selepas Kota Baru, bandar di pantai timur Malaysia.

Akhbar Berita Harian yang pertama melaporkan perkembangan itu, memetik Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud, sebagai berkata mereka menjejak isyarat itu ke Pulau Perak, pantai barat negara.

“Kali terakhir pesawat itu boleh dikesan oleh menara kawalan ialah berhampiran Pulau Perak, iaitu di Selat Melaka pada 2.40 pagi.

“Selepas itu, isyarat daripada pesawat itu hilang,” katanya.

Secara kebetulan, kenyataan pertama Malaysian Airlines mengenai kehilangan pesawat itu pada Sabtu menyatakan menara kawalan terputus hubungan dengan pesawat berkenaan pada 2.40 pagi tetapi ia kemudian dibetulkan kepada 1.30 pagi.

Ia juga dilaporkan bahawa unit kawalan dan pengawasan udara Singapura turut mendapati ada isyarat MH370 “berpatah balik sebelum ia dilaporkan berada pada ketinggian 1,000 daripada altitud asal di 10,000 meter”.

Ramai yang melaporkan pesawat itu, Boeing 777-200ER hilang kira-kira jam 1.30 pagi ketika terbang di atas Laut China Selatan di antara pantai timur Malaysia dan selatan pantai Vietnam.

Pesawat itu dilaporkan hilang daripada radar dan lokasi terakhir yang diketahui ialah 065515 Utara (longitude) dan 1033443 Timur (latitude).

Keadaan itu disokong dengan laporan polis yang dibuat beberapa penduduk di pantai timur yang mendakwa mereka terlihat cahaya besar dan kapal terbang terbang terbang rendah 1,000 meter dari aras laut di Kota Baru, Kelantan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemui petanda pesawat itu berada di dalam air di Laut China Selatan.

Indikasi yang menunjukkan MH370 mungkin berpatah balik mendorong operasi SAR diperluas ke Selat Melaka dan Laut Andaman.

Operasi mencari pesawat hilang itu membabitkan pasukan tentera dan pihak berkuasa dari Australia, China, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Amerika Syarikat selain Malaysia.

Hari ini adalah hari keempat operasi SAR dijalankan.

The Malaysian Insider


Kapal TUDM yang bertugas dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 di perairan Malaysia. Gambar fail.
Kapal TUDM yang bertugas dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 di perairan Malaysia [Gambar fail]
Pangkalan TUDM terima isyarat MH370 patah balik, lapor
akhbar

Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, menerima isyarat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 berpatah balik ketika di ruang udara Laut China Selatan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China lapor akhbar Berita Harian.

Misi mencari dan menyelamat pesawat MAS itu diperluas ke kawasan perairan Selat Melaka berhampiran Pulau Perak berikutan isyarat pesawat berkenaan berpatah balik dikesan di lokasi tersebut.

Turut menerima isyarat pesawat berkenaan berpatah balik sebelum dilaporkan tiba-tiba terbang dengan ketinggian paras 1,000 meter dari kedudukan asalnya 10,000 meter, adalah Unit Kawalan dan Pengawasan Trafik Udara di Singapura.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang pada mulanya dijalankan di kawasan terakhir pesawat dikesan berhampiran sempadan perairan antarabangsa Malaysia-Vietnam kemudiannya diperluaskan ke Selat Melaka yang turut meliputi perairan Sumatera dan Laut Andaman.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Sri Rodzali Daud, pada malam insiden kehilangan pesawat mengesahkan pangkalan udara di Butterworth, mengesan isyarat kedudukan pesawat berkenaan yang berpatah balik menghala ke laluan asalnya ke Kota Bharu, Kelantan, sebelum dipercayai melalui ruang udara pantai timur dan utara tanah air.

“Kali terakhir pesawat itu dikesan berada berhampiran Pulau Perak, di perairan Selat Melaka, pada jam 2.40 pagi oleh menara kawalan udara berhampiran sebelum isyarat hilang tanpa sebarang petunjuk,” katanya.

Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu kemudian dilaporkan memasuki ruang udara Selat Melaka sebelum isyaratnya kali terakhir dikesan ketika berada berhampiran Pulau Perak, yang masih dalam perairan negara.

Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia dengan dibantu pasukan keselamatan yang terbabit dalam SAR, menjalankan gerakan mengesan pesawat berkenaan di perairan Selat Melaka dengan skop kawasan dibahagikan kepada lima zon pencarian membabitkan pelbagai pasukan.

Kemungkinan itu disokong dengan laporan polis oleh beberapa penduduk yang mendakwa melihat kelibat cahaya lampu besar dan pesawat terbang rendah, dengan anggaran ketinggian 1,000 meter dari paras laut di Kota Bharu, Kelantan.

MAS menolak insiden kehilangan pesawat MH370 berpunca daripada masalah teknikal kerana pesawat berkenaan baru selesai menjalani penyelenggaraan 10 hari sebelum hilang pada 8 Mac, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Ahmad Jauhari berkata, pesawat berkenaan turut dijadualkan menjalani pemeriksaan pada 19 Jun hadapan.

"Pesawat B777-200 menjalani pemeriksaan 23 Februari, 10 hari sebelum berlepas pada 8 Mac," katanya dalam satu kenyataan hari ini di Kuala Lumpur.

"Pesawat turut dijadualkan menjalani pemeriksaan pada 19 Jun 2014 di hangar KLIA, jadi tidak timbul isu keadaan pesawat," katanya.

Katanya, MH370 seperti pesawat lain milik MAS yang dilengkapi sistem pengawasan data berterusan, Aircraft Communications Addressing and Reporting System (Acars) yang menghantar data secara automatik.

"Bagaimanapun tiada panggilan kecemasan atau maklumat yang disampaikan," katanya.

"Pesawat itu dihantar kepada MAS pada 2002 dan sejak itu merekodkan sejumlah 53,465.21 jam penerbangan dengan 7,525 kitaran," katanya.

MH370 yang berlepas dari KLIA dan dijadualkan sampai di Beijing hilang dari radar selepas dua jam berada di udara.

Hari ini memasuki hari keempat operasi pencarian dilakukan, namun masih tidak terdapat sebarang petunjuk terhadap lokasi pesawat berkenaan.

Lokasi terakhir pesawat malang itu sebelum hilang dari radar adalah pada 065515 Utara (longitud) dan 1033443 Timur (latitud).

Misi mencari dan menyelamat kini disertai beberapa negara termasuk Australia, China, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Amerika Syarikat.

Operasi mencari dan menyelamat itu turut melibatkan sejumlah sembilan pesawat dan 24 kapal laut.

The Malaysian Insider


    Agensi maritim tidak terima maklumat mengenai laporan MH370 patah balik

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih tidak menerima sebarang maklumat mengenai laporan mengatakan isyarat dikesan daripada penerbangan MH370 yang dikatakan berpatah balik.

Misi mencari dan menyelamat penerbangan Malaysian Airlines tersebut masuk hari keempat hari ini, bagaimanapun tiada sebarang petunjuk baru.

"Kami tidak menerima sebarang maklumat mengenai isyarat berpatah balik seperti dikatakan," kata sumber APMM kepada The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider sebelum itu memetik laporan akhbar Berita Harian mengatakan Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, menerima isyarat MH370 berpatah balik ketika di ruang udara Laut China Selatan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Misi mencari dan menyelamat pesawat MAS itu diperluas ke kawasan perairan Selat Melaka berhampiran Pulau Perak berikutan isyarat pesawat berkenaan berpatah balik dikesan di lokasi tersebut.

Turut menerima isyarat pesawat berkenaan berpatah balik sebelum dilaporkan tiba-tiba terbang dengan ketinggian paras 1,000 meter dari kedudukan asalnya 10,000 meter, adalah Unit Kawalan dan Pengawasan Trafik Udara di Singapura.

"Pihak tentera udara belum memberi kami maklumat tersebut," kata sumber.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang pada mulanya dijalankan di kawasan terakhir pesawat dikesan berhampiran sempadan perairan antarabangsa Malaysia-Vietnam kemudiannya diperluaskan ke Selat Melaka yang turut meliputi perairan Sumatera dan Laut Andaman.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Sri Rodzali Daud, pada malam insiden kehilangan pesawat, mengesahkan pangkalan udara di Butterworth mengesan isyarat kedudukan pesawat berkenaan yang berpatah balik menghala ke laluan asalnya ke Kota Baru, Kelantan, sebelum dipercayai melalui ruang udara pantai timur dan utara tanah air.

Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu kemudian dilaporkan memasuki ruang udara Selat Melaka sebelum isyaratnya kali terakhir dikesan ketika berada berhampiran Pulau Perak, yang masih dalam perairan negara.

Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia dengan dibantu pasukan keselamatan yang terbabit dalam SAR, menjalankan gerakan mengesan pesawat berkenaan di perairan Selat Melaka dengan skop kawasan dibahagikan kepada lima zon pencarian membabitkan pelbagai pasukan.

Kemungkinan itu disokong dengan laporan polis oleh beberapa penduduk yang mendakwa melihat kelibat cahaya lampu besar dan pesawat terbang rendah, dengan anggaran ketinggian 1,000 meter dari paras laut di Kota Baru, Kelantan.

Penerbangan Malaysia Airlines MH370 dilaporkan hilang pada jam 1.30 pagi Sabtu lalu selepas terputus hubungan dengan dengan menara kawalan trafik.

Sehingga hari ini, pesawat tersebut masih gagal ditemui dan tiada sebarang petunjuk baru, menjadikan kehilangannya semakin misteri.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.