Cari Blog Ini

Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani, Kerah Nelayan Laut Dalam Bantu Cari MH370


Malaysia Airlines, Boeing 777-200, MH370
Helikopter Tentera Laut Amerika Syarikat berlepas dari USS Pinckney untuk membantu dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 di Teluk Thailand,9 Mac,2014. (AP Photo/Navy Media Content Service)
                  Lebih 1,700 bot nelayan laut dalam dikerah bantu cari MH370 

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini bersetuju mengerah nelayan laut di kawasan di mana pesawat MH70 milik Malaysia Airlines dilaporkan hilang, bagi tujuan mencari dan menyelamat.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tujuan nelayan dikerahkan adalah sebagai membantu pihak berkuasa sedia ada dalam kerja seharian mereka menangkap ikan di laut dalam.

"Salah satu cara yang boleh kita bantu dalam usaha mencari dan menyelamat ialah dengan menggerakkan nelayan yang ada di seluruh negara terutama kawasan yang terlibat.

"Sebanyak 1,788 bot nelayan C dan C2 melibatkan laut dalam di Kelantan, Terengganu, Perak, Perlis dan Pulau Pinang diarahkan untuk membantu," katanya dalam satu sidang media di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau berbincang dengan Ismail supaya menggerakkan persatuan nelayan jika perlu untuk membantu memberikan maklumat bagi merungkai misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu.

Ismail berkata meskipun pihak berkuasa seperti polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) giat menjalankan operasi mencari pesawat MH370, namun bantuan nelayan yang dilengkapi dengan Sistem Kedudukan Global (GPS) dapat membantu pihak berkuasa.

Katanya, kira-kira 20,000 nelayan akan berada di laut dalam satu-satu masa sekaligus berperanan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat benda yang mencurigakan ditemui di lautan.

"Walaupun polis, tentera dan APMM dianggap kumpulan profesional dalam kerja menyelamat tetapi saya percaya nelayan yang sentiasa ada di kawasan lautan tersebut juga boleh membantu.

"Jika satu kapal mempunyai 10 orang nelayan maka lebih kurang 20,000 nelayan yang akan berada di lautan.

Mereka melakukan secara sukarela kerana tugas hakiki mereka tetap sebagai nelayan," katanya.

Pesawat Boeing 777-200 berlepas dari KLIA ke Beijing pada 12.41 pagi pada Sabtu, tetapi terputus hubungan pada jam 1.20 pagi ketika ia di ruang udara yang dikendalikan menara kawalan di Ho Chi Minh, Vietnam.

Pesawat itu membawa 239 penumpang, menurut senarai penumpang, dengan kebanyakannya adalah penumpang dari China, dan 12 kru.

The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.