Cari Blog Ini

Hanya Perlu ‘Tiga Minit’ Untuk MH370 Hilang Daripada Radar



Tiga minit. Itulah masa yang diperlukan untuk memadamkan transponder pesawat dan menghilangkan diri daripada radar tanpa menimbulkan syak wasangka jika mereka terbang di antara kawasan udara Malaysia dan Vietnam, kata seorang juruterbang.

Seorang juruterbang yang biasa dengan laluan tersebut berkata, terdapat kawasan udara di IGARI di Laut China Selatan di mana juruterbang komersial perlu menggunakan radio untuk berkomunikasi dengan pengawal trafik udara kerana pesawat akan keluar daripada jangkauan radar awam.

Pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 orang hilang di kawasan IGARI, Sabtu lalu dalam perjalanan ke Beijing. Penerbangan itu tidak pernah sampai dan ia masih tidak dapat dikesan sejak tujuh hari lalu.

"Terdapat peluang tiga minit untuk ini dan transponder hanya boleh dimatikan secara manual," kata seorang juruterbang kepada The Malaysian Insider dengan syarat namanya dirahsiakan.

Beliau berkata, transponder memegang semua data tentang pesawat atau dikenali sebagai IDENT, altitut, lokasi dan data diperlukan pengawal trafik udara bagi memastikan pesawat terbang melalui koridor yang betul.

"Sebaik sahaja transponder dipadamkan, pesawat tidak dapat dikesan dengan radar awam," katanya dan menambah radar utama tentera tidak dapat mengesan data tersebut.

ABC News melaporkan hari ini Amerika Syarikat (AS) percaya penutupan dua sistem komunikasi dalam pesawat Malaysia Airlines MH370 yang berlaku secara berasingan, memberi petunjuk ia adalah tindakan yang disengajakan.

Menurut laporan itu, dua pegawai AS berkata, mereka percaya sistem laporan data ditutup pada 1.07 pagi sementara transponder dipadamkan pada 1.21 pagi pada Sabtu, ketika pesawat yang membawa 239 penumpang itu hilang daripada skrin radar.

“Ini menunjukkan ia mungkin tindakan yang disengajakan,” kata konsultan penerbangan, John Nance seperti dilaporkan oleh ABC.

- The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Artikel Terbaru

 
IdaMan - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.